Akui Sukar Lawan Malaysia, PSSI Hubungi Portugal Untuk Perlawanan Persahabatan

Selepas menafikan bakal menentang Malaysia, Persekutuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) kini sedang berusaha untuk mengatur perlawanan menentang Portugal.

Melalui sidang media beberapa hari lalu, Ketua Umum PSSI, Erick Tohir menyifatkan berita menentang Malaysia hanyalah khabar angin.

Beliau turut berkata ia tidak semudah sekadar menulis surat untuk menjemput pasukan menentang Indonesia untuk perlawanan persahabatan kerana kebanyakkan badan bola sepak termasuk Malaysia mengutamakan mata ranking pada hari ini.

Jadual pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 turut disifatkan sebagai halangan memandangkan Indonesia perlu beraksi di pusingan pertama kelayakan pada Oktober, berbanding Malaysia yang hanya akan turun padang pada November atau Disember untuk pusingan kedua kelayakan.

“FIFA Match Day tentu tempat kita mencari poin. Suka tidak suka FIFA Match Day kita tahun ini di bulan Oktober sulit diadakan, karena ada kualifikasi World Cup. Kita berbeda dengan Malaysia, mereka main di babak selanjutnya. Jadi kita harus main dulu Oktober, kalau menang main di November,” kata Erick

Sebelum menghadapi kelayakan Piala Dunia pada Oktober, PSSI mahu memastikan Indonesia benar-benar bersedia dan mencari lawan yang setara dengan mereka.

Kerana itu, PSSI tidak membuang masa untuk menghubungi pasukan yang menduduki ranking ke-9 dunia dan juara Eropah 2016, Portugal.

Di atas kertas, Indonesia berada di kedudukan yang jauh berbeza berbanding juara Euro 2016 itu kerana berada di kedudukan ke-149 dalam senarai kedudukan FIFA yang kali terakhir dikemaskini pada April lalu.

Namun kecemerlangan pasukan itu mengekang juara dunia, Argentina dan sekadar tewas tipis 0-2 diharap mampu meyakinkan Cristiano Ronaldo dan rakan-rakannya untuk hadir ke Jakarta.

“Kami ada keinginan mendatangkan Portugal.”

“Kami sudah komunikasi dengan Duta Besar Indonesia di sana,” dedah Zainudin Amali yang merupakan bekas Menteri Olahraga Indonesia dan kini adalah salah seorang Exco di dalam PSSI.

Menurut Zainudin impian untuk menentang pasukan seperti Portugal harus ada, dan takkan nak tunggu Cristiano Ronaldo bersara barulah perlawanan tersebut diadakan.

Portugal juga bukan satu-satunya calon pasukan yang dicabar Indonesia untuk perlawanan persahabatan pada September nanti.

Beberapa pasukan gergasi dunia lain seperti Maghribi, Sepanyol, Perancis dan Brazil turut berada di dalam radar PSSI.

BACA:  EURO 2020: Portugal 2-2 Perancis