Kerana Nyanyi Negaraku, Saddil Geram Dituduh Mahu Tukar Warganegara

Pemain import Sabah FC, Saddil Ramdani meluahkan rasa kecewa dan geram di media sosial apabila dituduh enggan lagi mewakili Timnas Indonesia dan menukar warganegara menjadi rakyat Malaysia agar boleh beraksi bersama Harimau Malaya.

Sebelum ini video Saddil menyanyikan lagu kebangsaan Malaysia dengan penuh bersemangat sebelum perlawanan menentang Sri Pahang FC semalam telah tular di Indonesia.

Untuk rekod ini bukan kali pertama pemain sayap skuad Garuda itu berbuat demikian. Saddil turut pernah menyanyikan lagu Negaraku ketika Sabah menentang JDT pada pertengahan musim 2021.

Mungkin kerana ada segelintir penyokong Indonesia tidak berpuas hati dengan tindakan pemain itu, satu kandungan di YouTube turut didapati mempersoalkan tindakan Saddil.

Video singkat di YouTube itu berjudul “PENGKHIANAT BANGSA !!! Saddil Ramdani Pindah Kewarganegaraan Malaysia & Membela Timnas Malaysia ??”

Sementara itu, pada bahagian kapsyen turut terdapat keterangan yang berbunyi: “Saddil Ramdani Dinaturalisasi Malaysia, Dituding Penghianat Saddil Ramdani Pindah Kewarganegaraan Malaysia”.

Malah satu gambar kelihatan seperti pemain itu bersama-sama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin turut disunting.

Umum mengetahui ia tidak benar Saddil telah mengubah kewarganegaraannya. Malah ia dianggap mustahil kerana pemain itu sudah beraksi di pelbagai kejohanan bersama Indonesia di pentas antarabangsa.

Jelas sekali perbuatan tersebut berniat jahat, dan selepas berdiam diri sebelum ini kali ini Saddil meluahkan rasa tidak senangnya akan perbuatan itu.

“Saya bangga menjadi orang Indonesia. Kewarganegaraan saya tidak akan tertukar oleh apapun,” ujar Saddil di stories Instagramnya, @saddilramdanii, pada Isnin (17/7/2023) seperti yang dipetik daripada Bola.Com

“Saya di sini hanya mencari sesuap nasi dan dengan berita bahwa saya akan bertukar warga negara itu sangat tidak pantas untuk diberitakan.”

“Ini selalu menyudutkan saya. Semoga berita yang membuat nama saya tidak bagus atau tidak baik dan selalu membuat saya dicaci maki oleh warga Indonesia, bisa cepat sadar,” jelas Saddil Ramdani.

“Berita yang selalu merugikan saya, diampuni tetap mencari nafkah yang hal-hal saja tidak perlu, mencari sesuap nasi hanya dengan menjatuhkan orang lain. Terima kasih,” ungkap Saddil.

“Saya bangga menjadi orang Indonesia. Kewarganegaraan saya tidak akan tergantikan oleh apa pun. Saya di sini hanya mencari sesuap nasi. Dengan berita bahwa saya menjadi warga negara di sini itu berita sangat tidak pantas.”

“Semoga berita yang selalu memberikan hal negatif buat saya, cepat sadar dan tidak merugikan saya dan orang lain maupun keluarganya sendiri,” tulis Saddil Ramdani.

Saddil adalah antara pemain import yang sudah lama beraksi di Liga Malaysia. Kelab pertama yang disertainya adalah Pahang pada 2019.

Pada musim berikutnya Saddil kembali ke Indonesia untuk menyertai Bhayangkara FC sebelum disunting oleh Sabah FC ketika era Kurniawan Dwi Yulianto bergelar Ketua Jurulatih pasukan dari Borneo itu.

Aksi meyakinkan oleh Saddil menjadikan dia terus menjadi tunjang utama skuad Badak di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.

BACA:  Indonesia Sah Ganti Bangladesh Lawan Argentina Kalendar FIFA Jun Ini