Kenyataan Mahu Jatuhkan Selangor Punca FAM Gantung ‘Ronaldo Malaysia’ 4 Bulan?

Faisal Halim sah digantung selama 4 bulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas kenyataan lantangnya kepada media mengkritik pengadil.

Hukuman gantung terhadal Faisal diumumkan oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman melalui satu kenyataan media semalam selepas desas desus mengenai perkhabaran tersebut mulai tersebar di media sosial.

Menurut Noor Azman hukuman pergantungan terhadap Faisal dilakukan selepas Jawatankuasa Tatatertib FAM yang bersidang pada 25 Julai mendapati Faisal melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM berkaitan kenyataan akhbar oleh pemain.

Pada 27 April Selangor bertandang ke Likas untuk perlawanan Liga Super dan tewas 2-1 kepada pasukan tuan rumah.

Tonggak utama skuad Harimau Malaya itu mendakwa beberapa keputusan pengadil cukup untuk menimbulkan tanda tanya sehingga menyebabkan Selangor FC terpaksa pulang dengan hampa.

Ia termasuk tindakan pengadil perlawanan, Hasrol Amir menghadiahkan sepakan penalti serta sepakan percuma walaupun dikatakan tiada kekasaran dilakukan pemain lawan.

“Kita tahu ramai yang ingin menjatuhkan pasukan Selangor, ramai yang tak senang hati dengan pasukan Selangor. Tapi inilah bola sepak, kita perlu bermain dengan adil dan kita perlu ingat tentang kejujuran,” kata Faisal selepas perlawanan pada ketika itu.

Walaupun Faisal sepatutnya menjalani hukuman gantung selama 4 bulan, Noor Azman berkata pemain itu hanya akan menjalani hukuman selama sebulan.

“Mengikut keputusan, Faisal sebenarnya digantung empat bulan bermula 25 Julai hingga 21 November 2023.

“Bagaimanapun, Faisal hanya dikenakan penggantungan selama sebulan (25 Julai hingga 23 Ogos 2023) yang mana penggantungan tiga bulan seterusnya ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada kelakukan baik selama 12 bulan bermula tarikh 24 Ogos 2023,” kata Noor Azman melalui kenyataan tersebut.

Perkhabaran mengenai pergantungan Faisal bermakna pemain itu akan terlepas 4 perlawanan Liga Super bermula dengan perlawanan menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada hujung minggu ini, selain dua perlawanan timbal balik menentang PDRM FC di pertandingan Piala Malaysia.

BACA:  Ong Kim Swee Yakin Faisal Halim Akan Bantu Malaysia Benam Indonesia