Pengadil Malaysia Dipuji Penyokong Garuda Kerana Kehebatan Adili Perlawanan Menentang Argentina

Pengadil Malaysia sentiasa mendapat perhatian dan kritikan peminat bola sepak tempatan kerana mutu pengadilan.

Ini menyebabkan mereka dilabel pengadil bertaraf liga amatur dan hanya layak mengadili perlawanan di peringkat pertandingan di kampung.

Namun begitu tidak semua pengadil di negara ini sedemikian rupa seperti yang dicanang ramai. Malah pengadil bola sepak di negara ini turut sering mendapat pujian daripada pihak luar kerana kehebatan mereka mengadili dan mengawal perlawanan antarabangsa.

Tidak terkecuali ialah tiga pengadil Malaysia yang mengadili perlawanan di antara Indonesia dan Argentina baru-baru ini.

Melalui satu kenyataan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia, tiga pengadil yang mendapat pujian dan menjadi pengiktirafan kepada pengadil di negara ini dan bertugas dalam perlawanan tersebut adalah Muhammad Usaid Jamal sebagai pengadil utama, Mohd Mu’azi Zainal Abidin sebagai pembantu pengadil pertama dan Nadziran Eziz sebagai pembantu pengadil kedua.

Prestasi yang ditunjukkan oleh mereka bertiga rata-rata telah mendapat pujian dan sanjungan daripada penyokong bola sepak di Indonesia,” kata FAM melalui satu kenyataan.

“Muhammad Usaid telah menunjukkan satu prestasi yang cukup matang dalam perlawanan tersebut. Ia bukanlah satu tugas yang mudah memandangkan juara dunia dan gergasi Amerika Selatan itu memiliki beberapa pemain yang terbaik dan terhandal di dunia.

“Beliau pernah terlibat dalam tiga perlawanan antarabangsa termasuk semalam, selain Singapura menentang Vietnam di kejohanan Piala AFF pada penghujung tahun 2022 dan perlawanan persahabatan Indonesia menentang Palestin baru-baru ini.

“Bagi Mohd Mu’azi yang kini berumur 36 tahun pula, beliau sudah memiliki pengalaman luas mengadili perlawanan tertinggi di FIFA dan AFC.

“Beliau merupakan antara Penolong Pengadil yang konsisten dengan prestasinya. Beliau juga telah terlibat dengan kejohanan Asia Cup 2018 di UAE.

“Manakala Nadziran Eziz merupakan seorang Penolong Pengadil yang sedang meningkat naik dan telah menunjukkan satu prestasi yang cemerlang di Liga Super Malaysia.

“Walaupun ada kalanya pengadil kita juga pernah melakukan kesilapan yang pernah dilakukan oleh pengadil-pengadil Piala Dunia FIFA dan ini merupakan adat permainan bola sepak.

“Ini tidak bermakna Pengadil dan Penolong Pengadil Malaysia tidak bertaraf antarabangsa, pegawai perlawanan ‘Man in Black’ dari Malaysia masih dipandang tinggi dan digeruni di peringkat Asia dan dunia,” ujar kenyataan tersebut.

Tahniah buat ketiga-tiga pengadil yang telah mengharumkan nama negara!

BACA:  Pengadil Ini Mengeluarkan Pistol Untuk Lindungi Diri Selepas Memutuskan Sepakan Penalti Yang Kontroversi