Harimau Malaya Sah Berhadapan Pasukan Ranking Ke-96 Dan Ke-80 Dunia September Ini

Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon berhadapan ujian getir di jendela perlawanan antarabangsa FIFA pada September akan datang.

Melalui satu kenyataan media pada hari ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengesahkan lawan yang akan dihadapi pasukan negara pada September nanti.

Setelah beberapa pasukan disebut bakal menguji Harimau Malaya termasuk Mesir, FAM akhirnya mengesahkan dua pasukan yang akan berhadapan pasukan negara nanti adalah Syria dan juga China.

“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengumumkan bahawa skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon akan menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Syria pada 6 September dan China pada 9 September 2023, kedua-duanya berlangsung di Chengdu, China.

“Berdasarkan Ranking FIFA terbaharu yang dikemas kini pada 20 Julai lalu, Malaysia berada di kedudukan ke-136 dunia, sementara Syria di kedudukan ke-94 dunia dan China di kedudukan ke-80 dunia,” ujar Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman melalui kenyataan tersebut.

Noor Azman turut mengesahkan pemilihan kedua-dua pasukan iatu Syria dan China dibuat setelah penelitian dan perbincangan dilakukan oleh FAM bersama Kim Pan-gon.

Untuk rekod skuad kebangsaan kini menduduki ranking ke-136 dunia setelah merekodkan 4 kemenangan sejak Mac lalu, termasuk membelasah Papua New Guinea 10-0 pada Jun lalu.

Perlawanan persahabatan pada September dianggap penting untuk mempersiapkan pasukan negara menuju pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang bermula pada Disember selain pertandingan Piala Asia di Qatar pada Januari 2024.

BACA:  Tri-Nations Series 2022: Malaysia 2-0 Filipina