Sasaran Kim Pan-gon Di Piala Asia Lebih Tinggi Daripada Impian Satu Mata Hamidin

Harimau tanpa mengira spesis sama ada Harimau Siberia, Harimau Bengal, Harimau Malaya atau Harimau Selatan sememangnya dikenali sebagai haiwan pemangsa yang ganas.

Karakter pemangsa yang dimiliki seekor Harimau, membuatkan haiwan yang digelar Raja Rimba itu sentiasa digeruni oleh ‘mangsa-mangsanya’.

Seekor harimau boleh berlari sepantas 60 kilometer sejam, selain memiliki kemahiran menyerang hendap untuk menerkam mangsanya.

Namun demikian, di sebalik personaliti ganas yang digeruni ramai, gelagat comel harimau mampu mencairkan hati ramai pencinta haiwan – mungkin kerana ia adalah kucing paling berat di belantara.

Mengambil identiti dan personaliti seekor Harimau, maka tidak hairanlah skuad bola sepak negara turut dikenali dengan gelaran Harimau Malaya.

Ganas di padang sepertimana membelasah Papua New Guinea 10-0 baru-baru ini, Harimau Malaya juga disayangi ramai penyokong bola sepak dan rakyat Malaysia.

Selepas gagal melayakkan diri ke kejohanan Piala Asia secara merit sejak 43 tahun lalu, Harimau Malaya kembali layak ke kejohanan antarabangsa paling berprestij di benua Asia ini.

Walaupun kini Harimau Malaya berada di ranking dunia yang lebih rendah berbanding pembabitan pasukan itu di peringkat awal pertandingan sekitar 1970 an, harapan untuk melihat Harimau Malaya mengaum garang di bumi Qatar pada Januari hadapan sentiasa membuak-buak di dalam sanubari peminat bola sepak tempatan.

Namun demikian, semua pihak harus realistik. Korea Selatan (ke-27), Jordan (ke-84), dan Bahrain (ke-85) yang diundi di dalam kumpulan yang sama dengan pasukan negara memiliki ranking yang jauh lebih tinggi berbanding Harimau Malaya yang sekadar berada di kedudukan ke-138 dunia.

Tidak salah untuk bermimpi. Lagi pun bola itu bulat. Dan kerana impian tersebut, Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon meletakkan sasaran tersendiri di Piala Asia 2023 nanti.

Bercakap kepada media seperti dilaporkan Bernama, Kim Pan-gon dipetik sebagai berkata:

“Maksud saya Piala Asia bukanlah pentas yang mudah. Ada pasukan yang lebih baik daripada kami,’’ ujar pengendali kelahiran Korea Selatan itu menurut sumber laporan Bernama.

“Semua perlu bersedia untuk ini, dalam apa jua situasi kita mesti bersatu, saling memberikan semangat dan mendorong pemain, ini penting.”

“Kami akan cuba yang terbaik , kami mahu memberikan permainan yang baik, menang dan layak (ke pusingan 16) dan menghadiahkan kejayaan buat Malaysia.’’

“Namun, kami perlu melakukannya langkah demi langkah,’’ tambah Kim Pan-gon lagi.

Apa yang jelas sasaran yang diletakkan oleh Pan Gon jauh lebih tinggi daripada sasaran yang diletakkan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Melalui kenyataan Hamidin sebelum ini, beliau hanya enggan melihat pasukan Malaysia dibelasah dan pulang dengan tangan kosong.

“Harapan saya dan FAM adalah sekurang-kurangnya membawa mata pulang ke Malaysia, tak kosong. kata Hamidin.

Mungkin merasakan kata-kata awal itu seperti tidak yakin langsung dengan kemampuan Harimau Malaya, Hamidin kemudiannya menambah.

“Kalau layak ke pusingan 16 akhir pun satu pencapaian yang bagus.

“Kita perlu berhati-hati kerana pasukan di sana nanti adalah terbaik dalam Asia. Kalau kita lihat, Korea Selatan bukan sahaja terbaik di Asia tetapi mereka memiliki standard pasukan Piala Dunia.,” tambahnya lagi.

Sebenarnya sasaran Hamidin bawa pulang 1 mata tidak salah. Ini kerana beliau adalah Presiden FAM.

Kim Pan-gon pula adalah pengendali Harimau Malaya. Sudah tentu jurulatih dari Korea Selatan itu lebih mengenali kemampuan barisan pemainnya. Beliau juga pakar taktikal.

Akhir kata, “In Kim Pan-gon We Trust!!! Terus pertahankan kepimpinan K.P.G!!!

BACA:  Prestasi Syihan Hazmi Hampakan Siam Pukau Peminat Negara