“Nampak Kasar Tapi Itu Tanda Kasih” – Wan Zack Buka Mulut Insiden Lempang Pengadil Selepas Kecoh Sehingga Ke Luar Negara

Tindakan penyerang sayap Perak FC, Wan Zack Haikal melempang pipi pengadil perlawanan turut menarik perhatian akaun media sosial luar negara yang turut berkongsi tindakan pemain itu.

Kejadian tersebut berlaku ketika barisan pemain Perak FC dan Sabah FC sedang bersalaman dengan pegawai perlawanan sebelum sepak mula suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Perak pada malam tadi.

Walaupun istilah ‘lempang’ digunakan, ia sebenarnya hanya sekadar tindakan manja daripada Wan Zack yang mengenali dan sudah biasa dengan pengadil utama perlawanan, Razlan Jofri Ali.

Menyedari tindakan spontannya itu mendapat liputan meluas sehingga tular ke luar negara, Wan Zack melalui komen Instagram di akaun malaysiafootballleague menyampaikan permohonan maafnya.

“Sory to abe Leh sy🙏🏻🙌🏻 munkin nampak kasar tapi itu tanda kasih🙏🏻🙌🏻,” tulis pemain berusia 32 tahun itu ringkas di ruangan komen.

Setelah video lempang manja Wan Zack terhadap Razlan tular di beberapa akaun media sosial peminat bola sepak tempatan, ia turut meraih perhatian Out Of Context Football yang sentiasa berkongsi insiden aneh bola sepak dari seluruh dunia.

Dalam perlawanan pada malam tadi Wan Zack menjadi wira Perak FC apabila jaringan tunggal pemain itu membantu pasukannya mencipta kejutan menewaskan Sabah FC 1-0 di halaman sendiri sekali gus mara ke separuh akhir Piala Malaysia dengan agregat 3-2.

Menanti Wan Zack dan Perak FC di pusingan seterusnya nanti adalah JDT yang juga juara bertahan pertandingan tersebut.

BACA:  Piala Malaysia 2021 Suku Akhir Kedua: Kedah 0-1 JDT (Agg. 0-1)