Lim Teong Kim Heret Perak FC Ke JPPM, Anggap Pemecatan Tidak Sah

Lim Teong Kim bersama peguamnnya Adam Yap membuat aduan rasmi kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia untuk membuat aduan rasmi mengenai pemecatannya oleh Perak FC.

Bekas jurulatih remaja Bayern Munich itu dipecat pada penghujung Mei lalu oleh Perak FC selepas dikatakan tidak lagi sehaluan dengan kelab itu.

Merasakan pemecatannya tidak mengikut lunas perundangan yang betul, Teong Kim yang turut pernah bergelar Pengarah Program Pembangunan  Bola Sepak Negara (NFDP) menfailkan dakwaan di Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia.

Jabatan tersebut memainkan peranan sama seperti Pejabat Buruh di negara ini, bertujuan memupuk serta memelihara perhubungan yang positif dan harmoni diantara majikan dan pekerja.

Berita Teong Kim membawa kes itu ke agensi tersebut dikongsi oleh portal Flash Sukan melalui akaun Twitter.

“Bekas Ketua Jurulatih Perak FC Datuk Lim Teong Kim hadir ke Jabatan Perhubungan Perusahaan membuat representasi berkenaan pemecatan yang tidak sah di bawah Seksyen 20 (1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Hadir bersama peguam, Adam Yap,” tulis portal tersebut.

Pemecatan Teong Kim dibuat dua hari selepas Perak tumpas 1-3 kepada Sabah pada 23 Mei lalu dalam saingan Liga Super.

Sebelum itu, Perak turut dibaham Selangor FC di Ipoh 4-0.

Bagaimanapun, sebab sebenar pemecatan itu dipercayai gara-gara Teong Kim gagal mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) selepas 12 perlawanan.

Perak hanya menang dua perlawanan serta seri tiga dan tumpas tujuh perlawanan.

Tindakannya jurulatih itu membuat aduan adalah kerana menuntut pampasan di mana kontraknya sepatut berakhir pada musim depan.

“Saya fikir ini bukan kerana saya sahaja, saya tiada ego…saya terima banyak pencapaian dalam karier bola sepak, jadi ini adalah (dipecat) sebahagian daripada bola sepak.

“Ia normal. Ada jurulatih yang lakukan baik di Bayern Munich, jurulatih Chelsea pun kena pecat. Jadi ia tiada apa-apa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat aduan berkenaan.

Sementara itu peguam Teong Kim, Adam Yap menyifatkan tindakan Perak FC menamatkan kontrak anak guamnya sebagai tidak sah ataupun pramatang.

“Kami membuat satu reprentasi atas alasan penamatan kontrak beliau (Datuk Lim Teong Kim) yang serta merta pada 24 Mei baru-baru ini adalah satu penamatan kontrak pramatang kerana kontraknya dengan Perak FC adalah dua tahun.

“Jadi hanya berlangsung lapan bulan dan ditamatkan serta merta, jadi kami berpendapat ia penamatan kontrak pramatang dan jumlah kepada satu pembuangan kerja yang tidak sah dan tidak adil. Datuk di sini mempunyai hak undang-undang buat aduan ke atas Perak FC,” kata Adam.

Satu jawatankuasa pendamai dijangka akan diwujudkan oleh agensi berkenaan bagi mencari jalan penyelsaian terbaik untuk kedua-dua pihak.

Namun jika Perak FC dan Teong Kim gagal mencapai persetujuan bersama, maka kes itu boleh dilanjutkan ke mahkamah.

BACA:  Penyokong 'Ditahan' di Tengah Padang, Cermin Bas Pecah Sulami Aksi Kelantan Menentang Perak