Brendan Gan Sah Tinggalkan Selangor FC

Pemain tengah skuad Harimau Malaya, Brendan Gan sah meninggalkan Selangor FC selepas empat musim bersama gergasi Lembah Klang itu.

Pemergian Brendan disahkan sendiri oleh Selangor FC melalui ciapan dan montaj khas yang disiarkan di media sosial rasmi pasukan itu pada malam tadi.

“Kelab bola sepak Selangor mengesahkan pemergian kapten pasukan Brendan Gan, selepas empat musim bersama.

“Pemain tengah itu tidak akan bersama Red Giants untuk musim 2024,” kata kenyataan tersebut.

Brendan adalah sebahagian daripada anggota skuad Harimau Malaya kendalian jurulatih Korea Selatan Kim Pan-gon di Piala Asia 2023 yang berlangsung di Qatar.

Pemergian Brendan dianggap mengejutkan kerana pemain itu dianggap sebagai antara nadi penting skuad Selangor sejak beberapa musim lalu.

Pada masa ini tidak dapat dipastikan ke manakah arah tuju dan masa depan pemain berdarah kacukan Australia-Malaysia ini.

Laporan Stadium Astro ada Disember lalu mengaitkan Brendan dengan JDT selepas kelibat pemain itu bercuti bersama beberapa pemain dari gergasi bola sepak dari selatan tanah air itu.

Semalam portal Makan Bola pula dalam laporannya mengatakan Brendan turut berkemungkinan beraksi di Liga Australia.

Spekulasi tersebut adalah berdasarkan perkongsian wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam pada Januari lalu.

“Ada kemungkinan walaupun usianya sudah mencecah 36 tahun tetapi Brendan tetap Brendan. Kalendar perpindahan A-League sudah dibuka pada 7 Januari 2024 dan berakhir 7 Februari 2024.”

“Liga Australia sangat kompetitif, melihat kepada situasi ini, mungkin beliau (Brendan) balik kampung, kitabtidak tahu sama ada beliau ditawarkan kontrak di sana atau tidak tetapi beliau masih relevan beraksi di mana sahaja,” ujar Zulhelmi.

Selain daripada JDT dan Liga Australia, Brendan turut dikaitkan dengan Sri Pahang FC.

BACA:  Kenyataan Mahu Jatuhkan Selangor Punca FAM Gantung 'Ronaldo Malaysia' 4 Bulan?