Comeback Ikonik Brendan Gan Dengan Voli Ketika Selangor Benam Sarawak 7-0

Saingan Liga Super 2022 kembali bersambung selepas berehat panjang lantaran penganjuran terkejut kerana menyedari Sukan SEA dan juga kelayakan Piala Asia berlangsung pada bulan yang telah berlalu.

Nama Brendan Gan menjadi sebutan sebelum sepak mula berlangsung kerana bakal membuat penampilan pertamanya di Liga Super bagi musim 2022.

Brendan Gan tidak dapat dinafikan lagi sebagai seorang pejuang sejati yang sudah beberapa kali bangkit selepas dilanda ujian yang sangat besar.

Pemain tengah kental itu kembali beraksi selepas disahkan menghidap kanser testis dan telah menjalani pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan itu setahun yang lalu.

Brendan Gan yang sememangnya terkenal dengan sikap yang optimis serta bersemangat waja berjaya mengharungi tempoh pemulihannya dan kembali untuk beraksi menentang Sarawak United FC.

Brendan Gan juga nyata teruja dengan kepulangan semula dan tidak sabar untuk kembali beraksi:

“Bola sepak adalah salah satu cinta saya dalam hidup ini, dan apabila saya berada di luar sana di padang, tiada perasaan yang lebih baik. Saya akan sentiasa berikan 100%.”

Hanya tujuh minit sahaja yang diperlukan oleh Brendan Gan untuk terus menggegarkan jaring dan memberitahu dunia bola sepak Malaysia bahawa beliau sudah kembali.

Quentin Cheng Jiun Ho melakukan satu larian penembusan disebelah kanan padang memasuki kotak Sarawak United FC dan membuat hantaran mencari Brendan Gan.

Hantaran Quentin Cheng sudah berjaya dipotong pemain Sarawak United FC namun tidak kemas serta lemah dan bola melantun dihadapan Brendan Gan.

Tanpa sempat bola jatuh ke tanah, Brendan Gan terus melepaskan satu sepakan voli yang hanya mampu dilihat oleh penjaga gol Sarawak United dan bola menjerit sebelum terkulai di gawang.

Kepulangan semula sensasi penuh ikonik dari Brendan Gan dengan jaringan yang teramat padu ditambah pula dengan ulasan yang penuh berseni.

Pasukan Selangor melalui laman Twitter telah memuat naik ciapan dengan ayat power dan penuh berinspirasi dari kisah kebangkitan semula Brendan Gan seperti yang dilontarkan oleh pengulas perlawanan.

“Jatuh 1 kali, bangkit 5 kali. Bagaikan burung phoenix yang bangkit dari abu.”

Pesta gol dari Selangor seolah-olah mahu meraikan kepulangan semula Brendan Gan apabila telah berjaya membelasah Sarawak United FC dengan 7 gol tanpa balas.

Jaringan pembukaan Brendan Gan menjadi pemula kepada pesta gol sebelum Hyuri Henrique menggandakan kedudukan pada minit ke-22 dengan menanduk masuk sepakan penjuru Mukhairi Ajmal.

Sejurus sebelum tamat tempoh 45 minit pertama, Herlison Caion de Sousa Ferreira atau nama pendeknya Caion menjaringkan gol ketiga dengan satu tolakan mudah menyempurnakan hantaran Hein Htet Aung.

Enam minit bersambung perlawanan, Selangor terus menjarakkan kedudukan sejauh yang mungkin, hantaran lambung gelembung buaya, Sharul Nazeem pantas disambar Nor Hakim Hassan.

Cubaan penjaga gol Sarawak keluar dari kotak untuk mencari Nor Hakim Hassan gagal dan memudahkan bola ditolak ke gawang terbuka.

Pada minit ke-74 Herlison Caion de Sousa Ferreira menjaringkan gol kelima sebelum melengkapkan hatrik pada minit ke-88 dengan satu penyudah yang tajam.

Ketika perlawanan dilihat seperti berakhir dengan jaringan enam gol sahaja, Aliff Haiqal yang baru kembali dari kecederaan menjaringkan gol ketujuh di masa kecederaan 90+2.

Kepulangan semula Brendan Gan dan jaringan volinya lebih menjadi bualan peminat bola sepak berbanding kemenangan besar Selangor dan menjadi trending di Twitter.

Rata-rata peminat bola sepak kagum dengan apa yang ditujukkan Brendan Gan yang sebelum ini dua kali telah mengalami ACL dan mampu kembali ke prestasi sebenar.

Diusia 33 tahun Brendan Gan diuji lagi dengan ujian lebih berat dan sekali lagi Gan bangkit untuk menewaskan kanser lalu kembali beraksi sekali lagi.

Tanpa keazaman, kekentalan, disiplin serta semangat seorang pejuang sejati yang next level sangat sukar untuk mana-mana pemain bola sepak kembali jika ditimpa musibah seperti Gan lantaran faktor usia.

BACA:  Faisal , Brendan, Safawi Beri Ceramah Kepada Ultras Malaya Sebagai Tanda Penghargaan