Billy Ketkeo Pemain Naturalisasi Yang Berhak Dapat Pujian Atas Sikap Yang Ditunjukkan

Billy Ketkeophomphone mencuri perhatian ramai atas semangat juang serta aksi hebat yang beliau tunjukkan ketika beraksi untuk skuad kebangsaan Laos.

Tak kenal erti diva, beliau bolehlah dianggap sebagai pemain terbaik untuk skuad Laos, dan Billy Ketkeophomphone juga boleh dijadikan contoh pemain paling merendah diri dalam saingan AFF Suzuki Cup kali ini.

Beliau jelas sekali merupakan bintang besar dalam skuad Laos kerana pengalamannya beraksi dalam saingan Ligue 1 sebelum ini.

Beliau sudah beraksi di pentas yang besar dalam saingan bola sepak Eropah dan beliau juga masih lagi pemain utama yang beraksi di Perancis pada ketika ini.

Melihat kepada pengalaman beliau bermain di pentas yang besar, mungkin ramai akan merasakan yang Billy Ketkeo bakal menjadi diva.

Namun hal itu sama sekali salah dengan beliau telah menunjukkan sikap merendah diri yang selayaknya untuk dipuji.

Billy Ketkeophomphone dilahirkan di Perancis dan beliau kini telah dinaturalisasikan oleh Persatuan Bola Sepak Laos (LFF).

Walau bagaimanapun, agak terlambat juga sebenarnya untuk Laos menaturalisasikan Ketkeophomphone kerana beliau pada ketika ini sudah pun berusia 31 tahun.

Billy merupakan pemain pertama dari benua Asia Tenggara yang pernah beraksi dalam liga division pertama saingan bola sepak Perancis.

Lebih menakjubkan lagi, Billy bukan hanya sekadar pernah beraksi dalam saingan Ligue 1, beliau bahkan merupakan pemain tetap untuk skuadnya dan turut pernah meledak gol di sana.

Pengalaman yang dimiliki oleh pemain ini jelas sekali sangat berguna untuk dikongsikan kepada rakan sepasukannya yang lain.

Bagaimana Billy Ketkeophomphone boleh dinaturalisasikan oleh Laos?

Mungkin akan ada yang mempersoalkan mengapa beliau boleh dinaturalisasikan jika Billy dilahirkan di Perancis dan bermain di sana.

Hal ini kerana Ibu dan bapa Billy sebenarnya berasal dari Laos, namun pada tahun 1980-an lalu mereka telah melarikan diri ke bumi Perancis dan memohon perlindungan suaka.

Dek kerana beliau mempunyai susur galur yang cukup kuat dari Laos, maka urusan beliau untuk dinaturalisasikan adalah sangat mudah.

Beliau lebih dianggap sebagai pemain warisan, sama seperti Corbin Ong, Natxo Insa, Brendan Gan, Sam Somerville di Malaysia.

Walau bagaimanapun, di Laos tiada istilah pemain warisan dengan mana-mana pemain sahaja yang menukar kerakyatan mereka, ia akan dianggap sebagai naturialisasi.

Ini bukan Billy Ketkeo tapi ini adalah Melati Ketkeophomphone

Perjalanan karier Billy Ketkeophomphone

Billy Ketkeophomphone memulakan karier awalnya bersama Racing Paris, kelab divisyen ketiga dalam liga bola sepak Perancis.

Beliau kemudiannya telah meneruskan perjalanan kariernya untuk menyertai akademi bola sepak Clairefontaine dalam usahanya untuk mengasah bakat yang ada dalam dirinya.

Setahun selepas menyertai Clairefontaine, bakat Billy Ketkeophomphone mula dikesan oleh RC Strasbourg dan pada tahun 2008 beliau sudah mula menjadi bintang utama kelab tersebut.

Pada ketika itu juga, Strasbourg sedang bergelut dengan pelbagai hal dengan mereka pada ketika itu turut baru sahaja tersingkir dari saingan Ligue 1.

Masalah demi masalah yang berlaku, termasuk bergelut dengan masalah kewangan menyebabkan Strasbourg jatuh ke division ketiga dalam tempoh dua tahun.

Billy Ketkeophomphone kemudiannya memutuskan untuk meninggalkan Strasbourg dan berkelana ke Sweden untuk beraksi bersama Sion.

Gagal menyerlah bersama Sion, Billy Ketkeophomphone memutuskan untuk kembali ke Perancis dan beraksi bersama Tours FC dalam saingan Ligue 2.

Billy berjaya mendapatkan rentak persembahan terbaiknya bersama Tours dengan beliau membuat 100 penampilan serta meledak 20 gol dalam tempoh tiga musim bersama kelab.

Hal itu menyebabkan beliau ditandatangani oleh Angers yang ketika itu baru sahaja dinaikkan ke saingan Ligue 1.

Dan di situ jugalah beliau pernah beraksi bersama Dickson Nwakaeme dan Nicolas Pepe dengan Billy berjaya menjaringkan enam gol dari 53 penampilan dalam semua pertandingan.

Billy Ketkeophomphone pemain paling merendah diri

Melihat kepada sejarah pencapaian beliau dalam dunia bola sepak, keputusan beliau untuk tetap beraksi bersama skua kebangsaan Laos ini selayak dipuji.

Walau seorang pemain bintang, Billy Ketkeo menunjukkan yang beliau bermain benar-benar demi lencana di dada dan turut menunjukkan kerja keras yang sungguh mengagumkan.

Beliau tak henti-henti berlari turun dan naik untuk memenangi bola, membuat hantaran-hantaran yang cantik mencari rakan sepasukan dan turut gigih memburu gol.

Ketkeo juga tidak keterlaluan untuk dianggap sebagai pemain paling bekerja keras di atas padang dengan beliau sentiasa berada di mana-mana untuk mencari bola.

Ketika beliau dikasari, beliau langsung tak menunjukkan reaksi yang berlebih-lebihan dan Ketkeo kebiasaannya akan terus bangun untuk meneruskan permainan.

Ketika ada pemain lawan yang jatuh, beliau segera melihat sama ada pemain itu dalam keadaan baik-baik atau tidak dan lebih mudah untuk dijelaskan, yang Ketkeo mempunyai semangat kesukanan yang sangat tinggi.

Beliau juga sangat-sangat jarang mahu membantah keputusan pengadil atau mempertikaikan macam-macam hal di atas padang.

Billy Ketkeo boleh dianggap sebagai pemain contoh, dan walau Laos ketika ini masih belum mampu menjaringkan gol dan sudah mencatatkan enam bolos, kemuliaan hati beliau tetap tidak boleh dipandang enteng.

BACA:Β  AFF Suzuki 2020 : Malaysia 4-0 Laos