Pengadil kontroversi Dari Qatar Disingkirkan Dari AFF

Pengadil kontroversi yang mengadili perlawanan antara Thailand bertemu Vietnam minggu lalu, Saoud Ali Al Abda dilaporkan sudah disingkirkan dari saingan AFF Suzuki Cup tahun ini.

Pengadil dari Qatar itu tidak dinafikan lagi sememangnya sedikit mencemarkan aksi pertembungan separuh akhir pertama antara dua pasukan gergasi Asia Tenggara di Stadium Nasional Singapura Khamis lalu.

Saoud Ali mencuri tumpuan ramai sebaik tamat sahaja perlawanan tersebut dek kerana beberapa keputusan beliau diragui oleh para peminat.

Perlawanan kontroversi tersebut berakhir dengan Thailand berjaya mencatatkan kemenangan selesa 2-0 menewaskan Vietnam.

Dua gol jaringan dari Chanatip Songkrasin pada aksi babak pertama perlawanan sudah cukup untuk memberikan kelebihan dua gol kepada Thailand untuk di bawa ke aksi leg kedua malam ini.

Tidak ada yang mempertikaikan tentang dua gol yang berjaya dijaringkan oleh skuad Thailand dalam perlawanan tersebut, namun ramai peminat yang mempersoalkan tentang keputusan-keputusan dari pengadil perlawanan dalam pertembungan pada malam itu.

Bahkan ramai juga yang menganggap Vietnam kalah dalam perlawanan itu dek kerana Thailand terlalu dimanjakan oleh pengadil perlawanan kerana banyak keputusan tidak memihak kepada Vietnam.

Dan kerana itu jugalah lama media sosial milik Ali Al Abda teruk diserang oleh peminat selepas tamat perlawanan tersebut.

Bukan hanya penyokong Vietnam, bahkan ramai juga penyokong-penyokong dari pasukan lain yang turut sama memaki hamun beliau di laman Facebook miliknya.

Antara keputusan beliau yang diragui dan dipertikaikan adalah ketika beliau memberi sepakan penalti kepada Thailand, padahal situasi ketika insiden tersebut berlaku adalah 50/50.

Bahkan pemain Vietnam sendiri yang mengalami kecederaan ketika insiden itu berlaku dan jelas sekali Park Hang-seo antara individu paling tidak gembira dengan keputusan ini.

Beliau juga tidak memberikan sepakan penalti kepada Vietnam selepas bola terkena tangan pemain Thailand di dalam kotak penalti.

Selain insiden di dalam kotak, pemain Vietnam kerap juga dikasari di luar kotak penalti, namun beliau sekadar buat tak nampak dan meneruskan permainan seperti biasa.

Menurut media Vietnam, Lao Dong, Ali Al Abda kini sudah pun meninggalkan Singapura dan tugasan beliau di Piala AFF dikatakan suda berakhir.

Selain Ketua Jurulatih skuad Naga Emas, Park Hang-seo, Vietnam melalui Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) turut vokal mengkritik kualiti pengadil selepas perlawanan.

Wakil kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Vietnam, Tran Quoc Tuan menjelaskan yang bola sepak di rantau Asia Tenggara ini sedang dalam momentum untuk terus berkembang ke arah yang lebih positif.

Jarak kemampuan dan kualiti setiap pasukan juga sudah tidak begitu jauh jurangnya dan ia menjadikan setiap perlawanan semakin lebih sengit dan mutu pengadilan harus bergerak seiring.

Kerana itulah beliau berpendapat yang AFF perlu memandang serius isu berkait mutu pengadilan dan memastikan kualiti mereka setaraf dengan perkembangan skuad-skuad kebangsaan yang bertanding.

Aksi Indonesia VS Singapura turut dicemari insiden pengadil dungu

Selain aksi Thailand bertemu Vietnam, pengadil yang mengadili perlawanan antara Indonesia dan Singapura malam semalam juga boleh tahan dungu beliau.

Kassem Matar Elhatmy merupakan pengadil yang mengadili perlawanan malam semalam, dan ramai yang mengakui beliau terlalu berat ke Indonesia.

Bahkan penyokong Indonesia sendiri turut bersetuju yang pengadil perlawanan sememangnya berat kepada mereka dan terlalu teruk menzalimi Singapura.

Tiga kad merah yang beliau layangkan kepada pemain Singapura sudah cukup untuk membuktikan yang Kassem memang tak ada hati perut.

Tidak dinafikan memang ada kekasaran dari pemain Singapura, namun ada juga kad amaran yang beliau keluarkan sebenarnya tidak perlu.

Singapura juga sebenarnya berpotensi untuk memenangi sepakan penalti pada aksi babak pertama perlawanan, namun Kassem pejam mata dan tidak mempedulikan hal itu.

Penyokong Singapura jelas sekali tidak akan gembira melihat kualiti pengadil yang mengadili perlawanan penting melibatkan skuad kebangsaan mereka.

Pihak penganjur perlu mencari jalan penyelesaian berkait isu ini, mungkin sistem VAR perlu diperkenalkan di kejohanan akan datang nanti.

Sumber: Semuanya Bola

BACA:  Netizen Indonesia Percaya Thailand Menang Hasil Bantuan Mafia Bola Sepak