Pernah Bersinar Dalam Saingan Ligue 1, Billy Bakal Beri Masalah Kepada Skuad Malaysia

Selepas cemerlang menewaskan Kemboja 3-1 kemarin, skuad Harimau Malaya hari ini akan turun beraksi bertemu Laos.

Malaysia sepertinya bakal jadi pasukan kegemaran untuk menewaskan Laos dalam pertemuan mereka pada hari ini, selepas memperlihatkan bagaimana aksi cemerlang anak-anak buah TCH itu ketika aksi bertemu Kemboja.

Laos sementara itu turut beraksi cemerlang dalam perlawanan pertama mereka, walaupun mereka tewas 2-0 di tangan Juara bertahan, Vietnam.

Mengikut rekod tiada masalah untuk Malaysia menewaskan Laos dengan Harimau Malaya hanya pernah tewas sekali sahaja dalam sejarah pertembungan kedua-dua pasukan ini.

Walau bagaimanapun, Laos pada tahun ini tidak boleh dipandang rendah, dengan mereka turut mempunyai pemain naturialisasi yang bukan calang-calang orangnya.

Billy Ketkeophomphone merupakan salah seorang pemain yang beraksi di benua Eropah dan akan turun mewakili Laos dalam aksi saingan AFF Suzuki Cup tahun ini.

Apa yang menakjubkan tentang pemain ini adalah beliau pernah menjadi nadi penting untuk salah sebuah kelab yang beraksi dalam saingan Ligue 1, Angers SCO.

Billy Ketkeophomphone pernah beraksi bersama legenda import Pahang, Dickson Nwakaeme dan beliau juga pernah mencipta gandingan yang super mantap bersama bintang Arsenal, Nicolas Pepe.

Ketiga-tiga mereka merupakan tiro handalan untuk skuad Angers SCO pads musim 2016/17 lalu dan mereka bolehlah dianggap antara trio terbaik kelab.

Biodata Billy Ketkeophomphone

Billy Ketkeophomphone dilahirkan di Perancis dan beliau kini telah dinaturalisasikan oleh Persatuan Bola Sepak Laos (LFF).

Walau bagaimanapun, agak terlambat juga sebenarnya untuk Laos menaturalisasikan Ketkeophomphone kerana beliau pada ketika ini sudah pun berusia 31 tahun.

Billy merupakan pemain pertama dari benua Asia Tenggara yang pernah beraksi dalam liga division pertama saingan bola sepak Perancis.

Lebih menakjubkan lagi, Billy bukan hanya sekadar pernah beraksi dalam saingan Ligue 1, beliau bahkan merupakan pemain tetap untuk skuadnya dan turut pernah meledak gol di sana.

Pengalaman yang dimiliki oleh pemain ini jelas sekali sangat berguna untuk dikongsikan kepada rakan sepasukannya yang lain.

Bagaimana Billy Ketkeophomphone boleh dinaturalisasikan oleh Laos?

Mungkin akan ada yang mempersoalkan mengapa beliau boleh dinaturalisasikan jika Billy dilahirkan di Perancis dan bermain di sana.

Hal ini kerana Ibu dan bapa Billy sebenarnya berasal dari Laos, namun pada tahun 1980-an lalu mereka telah melarikan diri ke bumi Perancis dan memohon perlindungan suaka.

Dek kerana beliau mempunyai susur galur yang cukup kuat dari Laos, maka urusan beliau untuk dinaturalisasikan adalah sangat mudah.

Beliau lebih dianggap sebagai pemain warisan, sama seperti Corbin Ong, Natxo Insa, Brendan Gan, Sam Somerville di Malaysia.

Walau bagaimanapun, di Laos tiada istilah pemain warisan dengan mana-mana pemain sahaja yang menukar kerakyatan mereka, ia akan dianggap sebagai naturialisasi.

Perjalanan karier Billy Ketkeophomphone

Billy Ketkeophomphone memulakan karier awalnya bersama Racing Paris, kelab divisyen ketiga dalam liga bola sepak Perancis.

Beliau kemudiannya telah meneruskan perjalanan kariernya untuk menyertai akademi bola sepak Clairefontaine dalam usahanya untuk mengasah bakat yang ada dalam dirinya.

Setahun selepas menyertai Clairefontaine, bakat Billy Ketkeophomphone mula dikesan oleh RC Strasbourg dan pada tahun 2008 beliau sudah mula menjadi bintang utama kelab tersebut.

Pada ketika itu juga, Strasbourg sedang bergelut dengan pelbagai hal dengan mereka pada ketika itu turut baru sahaja tersingkir dari saingan Ligue 1.

Masalah demi masalah yang berlaku, termasuk bergelut dengan masalah kewangan menyebabkan Strasbourg jatuh ke division ketiga dalam tempoh dua tahun.

Billy Ketkeophomphone kemudiannya memutuskan untuk meninggalkan Strasbourg dan berkelana ke Sweden untuk beraksi bersama Sion.

Gagal menyerlah bersama Sion, Billy Ketkeophomphone memutuskan untuk kembali ke Perancis dan beraksi bersama Tours FC dalam saingan Ligue 2.

Billy berjaya mendapatkan rentak persembahan terbaiknya bersama Tours dengan beliau membuat 100 penampilan serta meledak 20 gol dalam tempoh tiga musim bersama kelab.

Hal itu menyebabkan beliau ditandatangani oleh Angers yang ketika itu baru sahaja dinaikkan ke saingan Ligue 1.

Dan di situ jugalah beliau pernah beraksi bersama Dickson Nwakaeme dan Nicolas Pepe dengan Billy berjaya menjaringkan enam gol dari 53 penampilan dalam semua pertandingan.

Ancaman Billy Ketkeophomphone

Beliau kini masih aktif bermain dalam saingan Ligue 2 bersama Dunkerque dan boleh dianggap sebagai pemain penting untuk kelab Perancis itu.

Beliau bermain secara tetap dan menyebabkan Billy tiada masalah jika melibatkan soal kecergasan.

Maka beliau bakal menjadi pemain tumpuan ketika aksi bertemu Malaysia nanti, dengan barisan pertahanan negara perlu bekerja keras untuk menghalang beliau dari dapatkan tahap persembahan terbaiknya.

Ketika aksi bertemu Vietnam, beliau berjaya dikunci mati oleh Xuan Truong Luong dan Duc Hoang Minh Nguyen dan menyebabkan Billy terpaksa dikeluarkan pada minit ke-83 permainan.

Seandainya pemain tengah negara melepaskan beliau dan hanya bergantung harap kepada pemain pertahanan untuk mengawalnya, Malaysia bakal berdepan masalah besar.

Selepas gagal bersinar dalam perlawanan pertama, beliau tentunya mahu menunjukkan kualiti sebenarnya dalam perlawanan pada hari ini.

Jadi skuad kebangsaan Malaysia perlu beri perhatian kepada gerakan dan ancaman dari Billy Ketkeophomphone agar beliau tidak memberi masalah.

Sumber: Semuanya Bola

BACA:  Piala AFF 2022: Kesebelasan Utama Malaysia vs Vietnam