Ahli Parlimen Ghana Buat Permohonan Maaf Terbuka Kerana Persenda Harry Maguire

Ahli Parlimen dari Ghana melakukan permohonan maaf secara terbuka kepada Harry Maguire kerana menjadikan pemain itu bahan jenaka ketika mengkritik ahli politik lawan pada tahun lalu.

Ahli Parlimen tersebut Isaac Adongo pada ketika itu sedang berdebat mengenai bajet dan ekonomi negara, dan mensasarkan Timbalan Presiden Mahamudu Bawumia yang disifatkanya suka menjaringkan gol sendiri, seperti Harry Maguire.

Komen tersebut berdasarkan prestasi buruk pemain pertahanan itu sepanjang musim 2022-23. Musim ini Maguire bagaimanapun melalui situasi yang berbeza apabila tampil cemerlang untuk United dan England dalam beberapa perlawanan lalu.

Peningkatan prestasi ditampilkan oleh Maguire memaksa Adongo sekali lagi menyebut nama Maguire di sidang parlimen.

Bezanya kali ini, Adongo memohon maaf tetapi tetap mengambil kesempatan untuk menyindir ahli politik lawan ketika menyampaikan hujahnya.

Bercakap dalam satu sidang parlimen di negara itu, Adongo dipetik sebagai berkata: “Jika anda ingat tahun lalu saya terlalu cepat menyamakan [Timbalan Presiden] Mahamudi Bawumia dengan Harry Maguire.

“Tuan Yang Di-Pertua, sekarang saya mahu memohon maaf kepada Harry Maguire.

“Tuan Yang Di-Pertua [yang merupakan penyokong Man Utd], anda amat marah apabila saya menggunakan pemain pertahanan anda sebagai contoh.

“Pada hari ini Maguire sudah mengubah keadaannya. Dia adalah pemain bola sepak yang telah melalui transformasi.

“Harry Maguire kini mulai menjaringkan gol untuk Manchester United.

“Tuan Yang Di-Pertua, Harry Maguire kini adalah pemain penting buat Manchester United. Malangnya kita punya ‘Maguire’, sedang bersiar-siar seolah-olah berada di syurga bersama dengan segelas minuman di tangannya.”

BACA:  Inter Mahu Dapatkan Maguire Ketika Jendela Hampir Ditutup