Ten Hag Senaraikan Aspek Yang Buatkan Dirinya Kagum Dengan Maguire

Erik ten Hag memuji persembahan Harry Maguire selepas pemain pertahanan termahal dunia itu membantu Manchester United menang tipis menentang Sheffield United pada Sabtu lalu.

Pemain pertahanan England itu melakukan penampilan sebagai pemain kesebelasan utama buat kali kedua untuk United di saingan Premier League di Bramall Lane untuk membantu Setan Merah menang 2-1.

Menampilkan statistik luar buasa Maguire memenangi 100% tackle yang dilakukannya, menghasilkan tiga hadangan dan merekodkan lapan recoveries sepanjang perlawanan.

Bercakap kepada media United selepas perlawanan, Ten Hag tidak dapat menyembunyikan keterujaannya terhadap peningkatan prestasi pemain yang sering menjadi bahan jenaka dan diperlekehkan penyokong sendiri dan lawan itu.

“Saya harus bercakap mengenai penampilan Harry [Maguire dan juga Jonny [Evans]. Tetapi Harry, dia bermain seperti yang kami mahukan.

“Dia sangat proaktif. Bermain di luar kawasan dan mendominasi lawannya.

“Dia melakukan apa yang seharusnya dilakukan ketika situasi memerlukan. Bijak membaca permainan. Ketika pasukan mengusai bola, dia sangat proaktif melibatkan diri untuk melakukan hantaran penting.

“[Melakukan] Hantaran secara vertical. Mengubah haluan bola [gerakan]. Saya sangat gembira dengan prestasi yang ditampilkannya.

Pemain pertahanan England itu menampilkan aksi terpuji luar kebiasaan sejak beberapa minggu lalu, dan kini mulai mencabar kedudukan di dalam skuad kendalian Ten Hag tatkala kecederaan melanda beberapa pemain utama seperti Raphael Varane dan Lisandro Martinez.

Sebelum ini United sangat yakin untuk melepaskan Maguire di jendela perpindahan musim panas, setelah Ten Hag turut melucutkan lilitan kapten yang menjadi milik pemain itu sejak tiga musim lalu.

Malah pada satu ketika United dilaporkan turut telah mencapai persetujuan yuran perpindahan dengan West Ham untuk pemain itu meninggalkan Old Trafford.

Namun demikian pemain pertahanan berusia 30 tahun itu enggan menyerah kalah, dan memilih untuk kekal di Old Trafford untuk terus berjuang mendapatkan tempat di dalam skuad United.

Selepas kemenangan ke atas Sheffield, Maguire turut berkongsi perasaan bangganya membantu United mendapatkan tiga mata penuh di Bramall Lane.

“Saya tahu kami mampu beraksi dengan lebih baik. Itu sudah pasti. Ia bukan persembahan yang sempurna tetapi perkara terpenting buat masa ini adalah kemenangan.

“Anda sendiri boleh menilai bagaimana pasukan besar datang ke Bramall Lane dan bergelut. Sudah tentu itu tidak termasuk perlawanan menentang Newcastle musim ini.

“Kami tahu ia akan menjadi tempat yang sukar, tetapi kami cukup gembira dengan kemenangan ini dan sekarang kami mahu terus maju ke hadapan,” kata Maguire yang kembali yakin dengan kemampuannya.

Selepas cemerlang bersama United dalam dua perlawanan lalu, Maguire kini sudah pasti berharap turut berada di dalam kesebelasan utama United untuk perlawanan Champions League menentang FC Copenhagen pada pertengahan minggu ini.

BACA:  Pogba Kembali 'Menikmati' Bola Sepak Selepas Pemergian Mourinho