Alisson Becker Dua Kali Dilayangkan Kad Merah Sebelum Ditarik Balik Oleh Pengadil Perlawanan

Alisson Becker melalui hari yang sungguh mengecewakan bersama skuad kebangsaan Brazil pada awal pagi tadi selepas beliau dua kali dilayangkan kad merah.

Walau bagaimanapun kedua-dua kad merah itu telah ditarik balik dan membenarkan beliau untuk terus berada di atas padang hingga tamat perlawanan.

Alisson Becker diturunkan sebagai penjaga gol utama Brazil ketika aksi kelayakan Piala Dunia bertemu Ecuador awal pagi tadi.

Selain Virgil Van Dijk yang menerima pujian menggunung dari para peminat kerana membawa impak positif kepada skuad Liverpool, tidak dinafikan yang Alisson juga turut menunjukkan impak yang sungguh menakjubkan sejak dari awal beliau ditandatangani.

Penjaga gol utama Liverpool itu senantiasa mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan dan kerap menyelamatkan The Reds dalam perlawanan penting.

Beliau bahkan turut pernah menjaringkan gol penting yang membantu Liverpool untuk menamatkan saingan Premier League di kedudukan empat teratas pada musim lalu.

Walau bagaimanapun, ketika bersama skuad kebangsaan dalam aksi awal pagi tadi, bekas penjaga gol Roma itu sepertinya tidak berada di tahap persembahan terbaiknya.

Beliau telah dua kali dilayangkan kad merah sebelum kedua-duanya ditarik balik oleh pengadil perlawanan.

Pada minit ke-30 permainan, pemain berusia 29 tahun itu telah dilayangkan kad merah kerana mengangkat kaki tinggi mengenai Enner Valencia.

Pengadil kemudiannya menarik balik kad merah tersebut selepas melihat ulang tayang dan menganggap Enner Valencia sendiri yang berlari ke arah kaki Alisson Becker.

Penjaga gol utama Brazil itu kemudiannya sekali lagi dilayangkan kad merah selepas beliau terlibat dengan insiden pelanggaran dengan Ayrton Preciado dan menyebabkan pasukan lawan dihadiahkan sepakan penalti.

Preciado berlari masuk ke dalam kotak penalti dengan Alisson segera keluar mahu menyelamatkan keadaan dengan beliau telah terlanggar Ayrton Preciado ketika mahu mengeluarkan bola.

Pengadil kemudiannya sekali lagi menyemak semula insiden tersebut, dan mendapati yang Alisson terlebih dahulu memenangi bola jadi kad merah tersebut turut ditarik semula.

Oleh yang demikian, sepakan penalti tersebut ditarik balik dan secara tak langsung menyelamatkan gawang Brazil dari dibolosi.

Insiden pertama Alisson bukanlah drama pertama dalam perlawanan ini dan ketika beliau dilayangkan kad merah buat pertama kali, sudah dua pemain yang dihantar mandi awal.

Pada minit ke-15 permainan, penjaga gol Ecuador, Alexander Dominguez telah dilayangkan kad merah kerana mengangkat kaki terlalu tinggi.

Dengan beliau ketika itu berlari dan telah mengasari Matheus Cunha lalu menyebabkan pengadil perlawanan melayangkan kad merah kepadanya.

Selepas tamat perlawanan tersebut, bintang Atletico Madrid, Cunha menunjukkan kesan yang ada pada badannya selepas terlibat dengan insiden tersebut.

Melihat kepada gambar tersebut, ia jelas membuktikan yang pengadil perlawanan telah membuat keputusan yang tepat.

Gambar yang dikongsikan oleh Cunha

Kelebihan bermain dengan 11 pemain yang Brazil miliki sepertinya tidak bertahan lama dengan empat minit selepas itu bintang Tottenham Hotspur, Emerson Royal turut dilayangkan kad merah.

Pemain right back itu telah mengutip kad kuning pada minit pertama permainan dan 18 minit kemudian beliau dilayangkan kad kuning kedua.

Perlawanan tersebut berkesudahan dengan keputusan terikat 1-1 dengan Ecuador berjaya mengutip satu mata penting dalam usaha mereka melayakan diri ke saingan Piala Dunia Qatar tahun ini.

Casemiro membuka tirai jaringan pada minit keenam permainan sebelum Felix Torres menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-75 permainan.

Seandainya VAR tidak masuk campur, pasukan tuan rumah sudah berpeluang untuk menjaringkan gol menerusi sudut sepakan penalti.

Ia jelas sekali merupakan malam yang penuh dramatik dalam perlawanan yang dilangsungkan di Estadio Rodrigo Paz Delgado.

Sumber: SPORTbible

BACA:Β  Karius Sedia Cabar Kedudukan Alisson Di Liverpool