Analisa EPL : Pasukan Manakah Yang Bakal Menduduki Tangga Keempat Pada Hujung Musim Nanti?

Setiap kali Liga Perdana Inggeris menaikkan tirai pada musim baharu, pasukan Manchester City seringkali mendapat perhatian dan menjadi pilihan untuk menjuarai liga sejak kedatangan Joseph Guardiola ke tanah Inggeris.

Sejak 2016 menjadi pengurus The Citizens, Guardiola telah memenangi tiga kejuaraan liga, di mana mereka gagal melakukannya pada musim pertama ketibaan pengurus berbangsa Sepanyol ini dan juga ketika Liverpool menjulang trofi liga pada musim Covid mula melanda dunia.

Musim 2021-2022 juga tidak berkecuali di mana Manchester City dilhat bakal menjulang trofi liga buat kali keempat dalam tempoh lima tahun selepas jauh meninggalkan pencabar terdekat, Chelsea dan Liverpool.

Dengan tiada lagi debaran untuk mengetahui siapakah bakal juara, kemeriahan liga telah beralih kepada persoalan – siapakah yang bakal menduduki tempat keempat liga?

Tempat keempat liga EPL ini tuan-tuan, tidak sama kepentingannya tempat keempat Liga Malaysia. Pasukan yang berjaya menduduki tangga keempat liga akan mendapat slot untuk bertanding di kancah Liga Juara-Juara UEFA – pertandingan bola sepak yang terbesar di peringkat kelab.

Pada musim ini, rebutan tempat keempat adalah antara empat pasukan – West Ham United, Arsenal, Manchester United dan Tottenham Hotspur. Keempat-empat pasukan ini dibezakan dengan kutipan mata yang tidak jauh dan kesemua mereka dilihat sangat tidak konsisten dalam mencatatkan keputusan yang baik.

Jadi, dengan merujuk kepada satu artikel di laman ESPN, kami bawakan satu analisa dan ramalan siapakah yang bakal mengisi slot terakhir ke UCL pada musim hadapan.

West Ham United

Anak buah David Moyes telah memenangi lima daripada 12 perlawanan liga mereka, tetapi kemenangan penting ke atas Watford pada minggu ini telah menyaksikan mereka kembali naik ke tangga keempat liga selepas tewas berturut-turut kepada Leeds dan Manchester United. Persoalan utama yang membelenggu skuad ini adalah pilihan pemain atau squad depth yang ada, sama ada Moyes mempunyai pemain berkualiti atau tidak untuk terus beraksi cemerlang memandangkan mereka masih lagi bersaing dalam Liga Europa dan juga Piala FA.

Kalau ikutkan sebelum ini, Moyes adalah seorang pengurus yang konsisten membawa pasukan kendaliannya untuk berada di 10 teratas liga, bukan mencabar kedudukan untuk ke UCL.

Dengan Liga Europa dan Piala FA, mampukah Moyes menggilirkan pemainnya dengan betul untuk mara sejauh mungkin dalam setiap pertandingan yang mereka sertai dengan pada masa yang sama ingin memburu tangga keempat liga?

Masalah yang ada pada Moyes adalah sama dengan apa yang ada pada pengurus Leicester City, Brendan Rodgers di mana pasukan kendaliannya sering kali tercekik pada hujung musim sehingga gagal untuk memenangi perlawanan-perlawanan penting dalam kalendar liga.

Ramalan kedudukan : 7

Manchester United

Seperti biasa setiap kali musim baru bermula, penyokong United akan disajikan dengan mimpi dan angan-angan bahawa mereka akan mencabar kejuaraan liga dengan pembelian pemain-pemain yang mahal dan berprofil tinggi. Tetapi sebaik sahaja separuh daripada jadual liga dimainkan, gelaran juara liga sudah jauh daripada genggaman.

Musim lalu mereka agak konsisten dan berjaya menekan City tetapi pada musim ini, United terkulai sebelum tahun 2021 tamat.

Kalau dilihat kepada jadual perlawanan anak buah Ralf Rangnick ini, mereka sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk mencatatkan kemenangan di dalam liga kerana pasukan yang ditentang adalah kategori pasukan-pasukan bawahan.

Tetapi, para pemain United dilhat seolah-olah tidak mempunyai selera untuk mendapatkan tiga mata dalam setiap perlawanan dan ketumpulan barisan serangan telah banyak kali mengecewakan penyokong mereka di Malaysia yang sanggup berjaga di awal pagi untuk menonton perlawanan pasukan kesayangan mereka ini.

Cristiano Ronaldo, Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bruno Fernandes dilihat masih lagi tidak dapat menyelesaikan masalah yang sama membelenggu mereka sejak beberapa musim – menjaringkan gol ketika bertemu pasukan yang bermain dengan garisan pertahanan yang rendah.

Dengan beberapa lawan muktabar seperti Manchester City, Tottenham Hotspur, Arsenal dan Liverpool bakal menanti, United dijangka akan kehilangan banyak mata dan tidak mampu mencabar kedudukan di tangga keempat.

Ramalan kedudukan : 6

Arsenal

Pada awal musim, Arsenal menjadi bahan ketawa orang ramai apabila mereka tewas dua perlawanan pembukaan, terutamanya kepada Brentford yang baru sahaja naik ke EPL dalam perlawanan pertama.

Aaron Ramsdale diejek dengan begitu kejam oleh para penyokong pasukan lawan dan pembelian Ben White dipertikai.

Namun pengurus, Mikel Arteta tetap percaya dengan apa yang dilakukan. Pembelian dua pemain – Martin Odegaard dan Takehiro Tomiyasu telah mengubah pasukan Arsenal dan mereka mula mendapat rentak yang diharapkan dalam kempen liga.

Penyerang bermasalah, Pierre Emerick Aubameyang sudah dikeluarkan daripada pasukan dan dihantar ke Barcelona dan pemain muda yang tinggal dilihat sangat bernafsu untuk menang dan tidak banyak songeh.

Dengan tiada komitmen dalam pertandingan lain seperti Liga Juara-Juara UEFA atau Piala FA, Arsenal dijangka akan dapat fokus untuk perjuangan liga semata-mata.

Pada hujung musim ini, kemungkinan besar kita akan dapat lihat Arsenal berjaya mengakhiri kemarau yang lama untuk beraksi di pentas UCL di mana kali terakhir mereka berjaya memasang lagi Champions League di stadium mereka adalah pada musim 2016-17.

Ramalan kedudukan : 4

Tottenham Hotspur

Apakah persamaan antara pasukan yang digelar Spurs ini dengan matawang Crypto? Kedua-duannya lebih banyak turun daripada naik.

Sejak beberapa musim lalu, Spurs boleh dikatakan mempunyai barisan pemain yang boleh tahan seperti Harry Kane, Son Heung-min dan juga Hugo Lloris tetapi masalah utama pasukan ini adalah gagal untuk konsisten dalam setiap perlawanan, tak kiralah siapa yang memegang jawatan pengurus – Mouricio Pochettino, Jose Mourinho, Nuno Espirito Santo atau yang terbaharu, Antonio Conte.

Dua perlawanan mutakhir menyaksikan pasukan berjersi putih ini tewas berturut-turut, kepada Chelsea dan Southampton sekaligus menonjolkan lagi masalah yang ada di dalam pasukan ini.

Selepas ini Spurs akan berdepan jadual yang agak mencabar di mana mereka bakal bertemu Manchester City, Liverpool dan Manchester United.

Sukar untuk meletakkan harapan tinggi buat pasukan London ini dan mereka dijangka akant terlepas slot ke pentas UCL pada musim hadapan.

Ramalan kedudukan : 5

BACA:  Sumpahan Bundesliga - Istilah Yang Ramai Tak Tahu