Bagaimana Kelab Portugal Menjana Keuntungan Berbillion Ringgit Dalam Jendela Perpindahan

Dalam tempoh sedekad, kelab dari Portugal telah menjana keuntungan berbillion ringgit dari segi penjualan pemain dan terbaru, Darwin Nunez telah muncul dalam senarai ini selepas dibeli oleh Liverpool dari Benfica pada harga 75 juta Euro.

Pada bulan September tahun lalu, FIFA telah mengeluarkan laporan berkenaan pasaran perpindahan pada ulangtahun kesepuluh pengenalan Transfer Matching System (Sistem Perpindahan Berjodoh), yang merekodkan perpindahan kesemua pemain dari segi perpindahan kekal, pinjaman mahupun percuma.

Laporan ini menunjukkan lebih USD 48.5 billion telah dibelanjakan untuk yuran perpindahan di antara 2011 sehingga 2020. Jika perpindahan pada tahun 2021 sehingga jendela perpindahan musim panas tahun 2022, angka ini mungkin meningkat melebihi USD 60 billion!

Kelab Inggeris merupakan pihak yang mengeluarkan belanja paling banyak dengan Chelsea dan Manchester City merupakan pembeli terbesar, manakala kelab Sepanyol pula merupakan penerima laba yang tertinggi.

Akan tetapi apabila berbicara tentang penjanaan keuntungan bersih dalam jendela perpindahan, kelab Primeira Liga dari Portugal, jauh meninggalkan pasukan-pasukan dari liga lain.

Sepanjang 2011 sehingga 2020, kelab dari Portugal telah berbelanja sebanyak USD 1319 juta untuk membeli pemain dan pada tempoh yang sama, mereka telah menerima pulangan keuntungan sebanyak USD 4275 juta, sekaligus membawa kepada keuntungan kepada USD 2956 juta.

Kesemua tiga kelab besar Portugal berada dalam sepuluh kelab yang menerima bayaran perpindahan tertinggi dalam tempoh tersebut dengan Benfica berada di tangga teratas, Sporting Clube de Portugal di tangga kedua dan FC Porto di tempat ketujuh.

Dalam tempoh tersebut juga, antara perpindahan termahal direkodkan adalah seperti penjualan Ruben Dias dan Ederson ke Manchester City yang secara kolektifnya bernilai USD 125 juta dan perpindahan Joao Felix ke Atletico Madrid berharga USD 150 juta.

Sporting pula mendapat sekitar USD 75 juta hasil jualan Bruno Fernandes ke Manchester United, manakal rekod tertinggi FC Porto adalah USD 60 juta – perpindahan Eder Militao ke Real Madrid.

Ketiga-tiga kelab ini juga merekodkan penjualan pemain lain pada harga yang berbaloi seperti Nelson Semedo, Raphinha dan Diogo Dalot – yang dijual pada harga lebih USD 20 juta.

Tetapi kata kuncinya adalah, kesemua kelab ini berjaya mendapatkan pemain pada harga yang sangat murah dan dijual pada harga yang menguntungkan.

Ada juga pemain yang ‘diternak’ dari akademi belia mereka sendiri seperti mana Benfica lakukan kepada Ruben Dias dan Joao Feliz, serta Porto bersama Fabio Silva yang dijual ke Wolverhampton Wanderers.

Pemain lain, seperti Raphinha dan Ederson pula dibeli daripada kelab-kelab yang kerdil di Liga Portugal. Sporting yang mendapat keuntungan USD 60 juta daripada penjualan Bruno Fernandes ke Manchester United, membeli pengganti pemain ini, Pedro Goncalves, dari seteru liga pada harga hanya USD 8 juta.

Jika Goncalves berjaya menarik minat kelab besar, dia pasti akan dijual pada harga yang tinggi seperti Bruno juga.

Laman sesawang Portugis, Tugascout melaporkan bahawa kelab-kelab lain di Eropah terlepas pandang di mana mereka tidak melihat kepada kelab-kelab di luar Big Three Primeira Liga tersebut, serta kelab keempat terbesar Braga.

Keempat-empat kelab ini mampu untuk mengenal pasti dan menyambar bakat-bakat mentah dari kelab yang lebih kecil seperti Rio Ave atau Maritimo pada harga yang sangat murah, kemudiannya menjual pemain yang sama dengan keuntungan yang sangat besar selepas satu atau dua musim.

Ini boleh membuka peluang kepada kelab Eropah yang lain untuk menaiktaraf scout mereka di Portugal, dan memotong ‘orang tengah’ seperti Sporting, Porto dan Benfica.

Sumber ketiga pemain di Liga Portugal adalah Brazil, di mana Porto mendapatkan Eder Militao dari Sao Paulo dan Sporting membeli Wendel dari Fluminense.

Menurut laporan FIFA, perpindahan pemain dari Amerika Selatan ke Eropah memegang rekod tertinggi antara dua badan bola sepak di bawah FIFA sepanjang sedekad lalu. 1556 pemain telah berpindah dari Brazil ke Portugal dalam tempoh tersebut, tetapi tidak merekodkan nilai perpindahan yang tinggi.

Dengan berubahnya peraturan permit kerja di United Kingdom gara-gara Brexit, Portugal mungkin berdepan saingan untuk mendapatkan bakat dari Brazil.

Pasukan-pasukan Inggeris sudah mula memperjudikan nasib untuk membawa pemain muda dan belum terbukti seperti pasukan Middlesborough yang membeli Martin Payero dari kelab Argentina dan Manchester United yang membawa Facundo Pellistri dari kelab Uruguay, Atletico Penarol.

Akan tetapi kelebihan bahasa yang dimiliki Portugal membuatkan negara kecil tersebut masih menjadi destinasi pilihan pemain dari Brazil yang tidak dikenali untuk memulakan karier di benua Eropah. Untuk makluman, Brazil merupakan negara yang menggunakan bahasa Portugis sebagai bahasa rasmi dan perbualan antara rakyat Portugal dan Brazil boleh diibaratkan seperti Malaysia dan Indonesia.

Dengan jendela perpindahan pada tahun ini baru sahaja dibuka, peminat bola sepak pasti akan disajikan lagi dengan berita perpindahan berprofil tinggi dari Liga Portugal ke kelab-kelab besar di seluruh Eropah.

Sumber : Forbes

BACA:  Champions League 2021/22: Benfica 1-3 Liverpool