Barcelona Ikat Pedri Sehingga 2026 Dengan Klausa Pelepasan RM4.82 Bilion

Barcelona telah pun menyambung kontrak lanjutan pemain muda sensasi mereka, Pedro González López atau Pedri yang akan menyaksikan beliau akan terus kekal bersama kelab Catalan itu sehingga 30 Jun tahun 2026.

Lebih menarik didalam kontrak baru Pedri ini Barcelona telah memasukkan klausa pelepasan yang bernilai €1 bilion bersamaan RM4.82 Bilion jika ada kelab yang berminat untuk mengaktifkan klausa tersebut.

Kontrak Pedri sebelum ini akan tamat pada musim panas 2022, lantaran itu Pedri menjadi antara prospek perpindahan terpanas ketika ini termasuklah dikaitkan dengan Newcastle United yang sudah menjadi kaya-raya.

Barcelona telah pun mengumumkan secara rasmi bahawa pemain berusia 18 tahun itu akan kekal sehingga hujung musim ini berserta tambahan kontrak 4 tahun lagi dan ini nyata memberi kekecewaan kepada banyak kelab.

Tidak dapat dinafikan bahawa sepanjang 12 bulan yang lalu adalah fasa yang menarik buat pemain tengah muda Barcelona dan Sepanyol yang berasal dari Canary Island, Pedri.

Pada 20 Ogos 2020 Pedri tiba di Nou Camp dari kelab divisyen dua Las Palmas dan berjaya menempatkan diri dalam pasukan utama pada usia 17 tahun, dia mendapat pujian daripada ramai rakan pemain termasuk Lionel Messi dan Sergio Busquets.

Lebih manis, musim debut bersama kelab Catalan tersebut disudahi dengan kejayaan menjulang Copa del Rey.

Pada bulan September tahun lalu, dia mendapat panggilan pertama untuk menyarung jersi Sepanyol dengan memperkuatkan pasukan bawah-21 negara tersebut, kemudian dia mendapat kepercayaan daripada Luis Enrique untuk menjadi pemain tonggak skuad senior dalam kempen Euro 2020 di mana dia bermain hampir setiap minit buat pasukan La Furias Rojas, sehingga dinamakan sebagai pemain muda terbaik kejohanan.

Sebaik tamat Euro, Pedri dibawa pula ke Tokyo untuk mewakili pasukan bawah-23 negaranya untuk bertanding dalam sukan Olimpik, dan dia bersama rakan sepasukan berjaya pulang dengan pingat perak.

Cerita perjalanan karier pemain ini sangatlah padu sepanjang tempoh 12 bulan yang lalu.

Tiada pemain yang bermain lebih banyak perlawanan berbanding Pedri sepanjang setahun ini dan tahap permainan yang dipamerkannya juga sangatlah menakjubkan.

Akan tetapi, yang tak eloknya adalah permintaan untuk menggunakan kudrat pemain ini sangatlah tinggi.

Hanya lapan hari selepas musim 2020-21 buat pemain ini berakhir di Tokyo dengan perlawanan selama 120 minit ketika tewas kepada Brazil dalam perlawanan penentuan pingat emas sukan Olimpik, dia sudah memulakan kempen 2021-22 pula.

Dalam perlawanan pertama Barcelona menentang Real Sociedad di laman sendiri, Pedri diturunkan sepanjang 90 minit.

Mengikut sumber yang rapat kepada Pedri berkata pemain itu sangat suka bermain dan bersaing di peringkat yang setinggi mungkin, tapi pada masa yang sama mereka yang lebih berpengalaman sepatutnya mengambil langkah menariknya ke belakang demi kebaikan untuk jangka panjang.

BACA:  Pedri - Bintang Masa Depan Yang Sedang Dimusnahkan Sepanyol dan Barcelona