Bernardeschi Jelaskan Kenapa Itali Patut Bermain Di Piala Dunia Walaupun Tidak Layak

Mungkin kerana sudah tidak dapat menahan perasaan melihat betapa seronok rakan-rakan bermain di Piala Dunia, Federico Bernardeschi tampil menjelaskan kenapa Itali patut bermain di Piala Dunia walaupun tidak layak.

Impian Itali yang merupakan juara EURO 2020 untuk beraksi di Piala Dunia tidak kesampaian apabila telah dinafikan oleh pasukan kerdil yang bernama North Macedonia.

Itali terpaksa bermain di pusingan play-off selepas terlepas slot automatik kerana kesilapan sendiri di mana Itali hanya sekadar seri dalam dua perlawanan terakhir ketika menentang Switzerland dan Nothern Ireland.

Di pusingan play-off Itali bersama Portugal, Turki dan North Macedonia. Pada ketika itu ramai meramalkan Portugal tidak akan ke Piala Dunia.

Namun kekalahan Itali kepada North Macedonia telah memberi laluan mudah kepada Portugal yang menewaskan North Macedonia untuk ke Piala Dunia dan Itali terpaksa berputih mata.

Setelah memenangi Piala Dunia pada tahun 2006, rekod Piala Dunia Itali dalam tempoh 16 tahun selepas itu agak teruk dan kurang memberangsangkan. Lebih banyak surut dari pasang.

Itali telah gagal melepasi peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2010 dan 2014, dengan kehadiran Roberto Mancini, Itali sangat cemerlang dan bangkit dari kecewa gagal ke Piala Dunia 2018 dengan rekod kemenangan tanpa kalah sehingga muncul juara EURO 2020.

Dengan status juara Eropah, Itali gagal untuk ke Piala Dunia dan kerana status itulah Federico Bernardeschi berkata Itali sepatutnya ke Piala Dunia.

Federico Bernardeschi telah mendakwa Itali sepatutnya layak secara automatik ke Piala Dunia 2022 selepas memenangi Euro terbaru.

“Ia menyakitkan kerana saya fikir kami berhak mendapatnya, empat negara yang memenangi pelbagai kejohanan benua mempunyai hak untuk ke Piala Dunia.” katanya kepada Football Italia.

“Cukup fikir, saya adalah juara Eropah dan saya tidak pernah bermain dalam Piala Dunia, tidak masuk akal.”

Dengan tiada perlawanan Piala Dunia untuk dipertandingkan, Itali bermain perlawanan persahabatan menentang Albania dan Austria bulan ini – memenangi perlawanan pertama sebelum tunduk kepada kekalahan 2-0 pada perlawanan kedua mereka.

Federico Bernardeschi meninggalkan Juventus pada musim panas dan menyertai kelab MLS Toronto FC secara percuma, menandatangani kontrak selama empat tahun.

Dia menikmati kehidupan di Kanada, menjaringkan lapan gol dan mencatatkan tiga bantuan dalam 14 penampilan – dan bekas pemain sayap Fiorentina itu mengesahkan dia menyokong pasukan bimbingan John Herdman iaitu Kanada di Piala Dunia Qatar.

Dia menambah:

“Betul dan saya gembira dengan cara mereka bermain pada penampilan sulung mereka di Qatar kerana kemudian semua orang dapat melihat betapa tingginya tahap bola sepak Amerika telah meningkat.”

“Dan dengan Piala Dunia 2026 di Amerika Utara dalam dua hingga tiga tahun akan datang, pertumbuhan akan menjadi eksponen.”

Bekas pemain sayap Juventus itu membincangkan pasukan pilihan untuk menjadi juara Piala Dunia dan Brazil, Perancis dan Sepanyol menjadi sebutan.

“Saya mempertaruhkan Brazil, rakan saya Danilo dan Alex Sandro kerana mereka pasukan kebangsaan paling lengkap, pertahanan yang sangat mantap dan juara luar biasa di setiap posisi, dengan Neymar sebagai senjata yang tidak dapat diramalkan.

“Kemudian ada Perancis, yang mempunyai barisan pemain hebat, dan Sepanyol.”

Komen Bernadeschi seperti mengulangi pendapat dari legenda Itali, Roberto Baggio, yang berkata adalah “memalukan” dan “kegilaan” bahawa Itali tidak diberi slot automatik.

Baggio berpandangan semua pasukan mempunyai hari buruk mereka dan pasukan ini layak menerima ganjaran dengan apa yang mereka capai dan ganjaran bagi Itali sebagai juara Eropah adalah slot Piala Dunia.

BACA:  Bernardeschi Meraung Kesakitan Kena Terajang Dengan Max Allegri