Bernardeschi: Ronaldo Lebih Bagus Dari Messi

Pemain sayap Juventus, Federico Bernardeschi berkata Cristiano Ronaldo merupakan pemain terbaik dunia ketika ini sambil menambah kapten Portugal itu berada satu tahap lebih tinggi dari Lionel Messi.

Juventus membayar €100 juta kepada Real Madrid untuk mendapatkan khidmat Ronaldo pada jendela perpindahan musim panas lalu dan Bernardeschi percaya Juventus kini memiliki pemain paling bagus di planet Bumi buat masa sekarang.

Messi tidak sebagus Ronaldo menurut Bernardeschi

Bernardeschi juga berkata beliau sentiasa akan memilih Ronaldo jika disuruh untuk membuat pilihan sama ada Ronaldo atau Messi.

Sudah hampir sedekad lamanya, Messi dan Ronaldo merupakan ikon bola sepak moden dan dianggap berada di tahap tertinggi yang mampu dicapai pemain bola sepak. Kedua-dua pemain ini masing-masing memiliki 5 Ballon d’Or dan telah memenangi pelbagai kejuaraan di peringkat domestik.

Pelbagai rekod telah dipecahkan Messi dan Ronaldo dalam dekad ini dan ramai percaya rekod itu akan bertahan buat satu tempoh yang lama sebelum dapat dipecahkan lagi.

Selama 9 tahun, Ronaldo dan Messi bersaing sesama mereka dalam kancah bola sepak Sepanyol untuk bergelar pemain terbaik dunia dan memacu pasukan masing-masing meraih lebih banyak trofi.

Pemain Juventus mula mengambil giliran ‘menjilat’ Ronaldo.

Namun begitu, segalanya berakhir 3 bulan yang lalu apabila Ronaldo mengambil keputusan untuk berhijrah ke Itali untuk mencari cabaran baru. Bernardeschi merupakan antara pemain Juventus yang gembira dengan peluang untuk menjalinkan kerjasama dengan pemain yang dianggap beliau sebagai yang terbaik di dunia.

“Kami sudah mengenali Ronaldo sebagai seorang pemain dan individu. Saya sentiasa meletakkan Ronaldo sebagai pemain terbaik dunia.”

“Saya sentiasa memilih Ronaldo berbanding Messi. Apa yang saya temui selepas berkenalan dengan Ronaldo adalah beliau seorang individu yang menakjubkan, dan juga merendah diri. Personaliti beliau telah mempengaruhi seluruh pasukan. Sebab itulah saya akan sentiasa memilih Ronaldo berbanding Messi.”

“Saya ingat lagi perlawanan akhir Euro dimana beliau terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama kerana kecederaan. Tetapi ketika berada di bangku simpanan, beliau bertindak seperti jurulatih tambahan untuk pasukan Portugal.”

Bernardeschi juga mendakwa Ronaldo sepatutnya memenangi anugerah Ballon d’Or 2018, bukan Luka Modric.

Modric tidak patut menang. Pemain lain hanya boleh menang selepas Ronaldo dan Messi bersara.

“Modric adalah seorang juara. Tetapi jika saya perlu menilai untuk anugerah individu, pada pendapat saya pemenang yang sepatutnya adalah Ronaldo. Beliau mencipta perbezaan dalam setiap perkara, termasuk sebagai seorang insan biasa.”

“Beliau berada setahap lebih tinggi dari mana-mana pemain. Lebih 10 tahun, Ronaldo dan Messi berada di tahap tertinggi dan tiada pemain yang mampu mencabar mereka. Pemain lain hanya akan memenangi anugerah Ballon d’Or setelah mereka bersara.”

BACA:  Lima Pemain Yang Ada Gaya Permainan Ala Cristiano Ronaldo