Cerita Belakang Tabir Bagaimana City Berjaya Dapatkan Erling Haaland

Erling Braut-Haaland sememangnya dikenali sebagai seorang penyerang yang sangat padu dan tajam di hadapan gol. Maka tidak hairanlah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak kelab besar berminat untuk mendapatkan tandatangan pemain ini.

Malah kelab yang tak berapa besar seperti Manchester United juga dikhabarkan turut menyimpan hasrat untuk membawa pemain ini ke Old Trafford. Tapi, itu lah…

Daripada kelab-kelab besar ini, ada sebahagian daripadanya telah mengadakan perbincangan dengan wakil bintang Norway tersebut dengan Real Madrid dan Barcelona pernah membawa pemain ini menjelajah pusat latihan berkelas dunia mereka.

Bersama-sama Kylian Mbappe, Haaland adalah pemain yang menduduki tangga teratas senarai 89 pemain bawah 21 tahun yang disenaraikan oleh ESPN, dan kedua-dua pemain ini dilihat bakal mengambil alih takhta G.O.A.T daripada dua legenda zaman moden – Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Pada minggu ini, Haaland telah sah mengatur destinasi berikutnya dalam karier yang masih panjang, apabila dia telah mengumumkan bakal menyertai gergasi England, Manchester City dengan yuran perpindahan sekitar 60 juta Euro.

Selaku media yang berpengaruh, The Sukan telah mendapat berita sumber primer tentang kisah di sebalik tabir bagaimana City berjaya mendapatkan pemain ini. [Tipu je, penulis The Sukan baca berita kat internet jewwwwww].

Peninjau bakat [selepas ini akan disebut sebagai scout] pasukan The Citizens, sememangnya telah mula menghidu bakat Haalad sejak melakukan debut pasukan senior bersama pasukan Bryne pada usia 15 tahun pada 2016 dan reputasinya sebagai penyerang prolifik mirip Azman Adnan dan memiliki kekuatan yang mengagumkan semakin bertambah pada setiap tahun.

Selepas menimba ilmu daripada Ole Gunnar Solsksjaer di Molde, Haaland telah berpindah ke Austria dengan menyertai kelab RB Salzburg dan menjaringkan 29 gol dalam 27 perlawanan.

Pada bulan Disember 2019, Haaland mengorak langkah yang lebih jauh dengan menyertai pasukan kedua terbaik Jerman, Borussia Dortmund. Ketajamannya di hadapan gol semakin menjadi-jadi di mana dia menjaringkan 85 gol dalam 88 perlawanan sepanjang tempoh dua tahun setengah.

Kalau nak ikutkan, pasukan Manchester United adalah pasukan yang hampir pasti mendapatkan tandatangan pemain ini namun dinafikan oleh ketegasan ejennya, mendiang Mino Raiola, untuk memasukan klausa perlepasan pada nilai 60 juta Euro.

Tup tap tup tap, Borussia Dortmund setuju dengan syarat ini dan dipendekkan cerita, City berjaya membawa pemain ini ke Ettihad.

Walaubagaimanapun, perpindahan ini mungkin tidak akan terjadi sekiranya City berjaya membeli penyerang tulen pada musim panas tahun lalu. Dengan Sergio Aguero telah sah menyertai Barcelona, Pep Guardiola agak terdesak untuk mendapatkan penyerang yang prolifik, lalu menghantar bidaan untuk mendapatkan pemain Tottenham Hotspur, Harry Kane.

Pun begitu, selepas perbincangan demi perbincangan dan sudah banyak bihun goreng dihabiskan, kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat lantas membuatkan Kane mengeluarkan kenyataan bahawa dia akan kekal di kelab London Utara tersebut. Andai kata Kane sertai City, tak mungkin Haaland akan terbang ke England pada musim panas nanti.

Selepas gagal mendapatkan Kane, City telah menghubungi Dortmund dan bertanya tentang Haaland, namun dengan Jadon Sancho sudah sah menyertai pasukan Manchester United, pasukan yang bertapak di North Rhine-Westphalia tersebut enggan kehilangan dua pemain utama dalam satu jendela perpindahan dan segala perbincangan telah menemui jalan buntu.

Sebaik sahaja sah menyertai City pada 1 Julai nanti, Haaland bakal bergelar jutawan muda yang mampu memandu kereta Ford Mustang yang bukan disewa di mana dia akan menjadi penerima gaji yang tertinggi di kelab pak Arab tersebut. Akan tetapi, sumber rapat dan boleh dipercayai dari kelab tersebut mengatakan bahawa gaji Haalad tidak akan lebih tinggi daripada gaji yang diterima oleh pemain bintang mereka, Kevin de Bruyne, yang menerima GBP 375,000 seminggu.

Keharmonian bilik persalinan sememangnya menjadi keutamaan Guardiola tanpa mengira siapa pun pemain itu, manakala orang yang rapat dengan Haaland pula memberitahu bahawa duit bukanlah matlamat utama dalam perpindahan penyerang ini ke England.

Sumber dalaman juga memberitahu bahawa, jika Haaland mahu duit yang lebih, dia boleh sahaja memilih pasukan merah dari Manchester, namun keputusan United memecat Ole – kawan rapat kepada ayah Haaland, Alf-Inge – pada tahun lalu telah memutuskan segala jenis hubungan yang terbina antara kelab dan pemain ini.

Meskipun Alf Inge Haaland mempunyai hubungan baik dengan Ralf Rangnick ketika pengurus sementara United tersebut berkhidmat sebagai pengarah bola sepak di RB Salzburg, keputusan kem Haaland untuk menolak Syaitan Merah adalah semata-mata kerana bukan lagi satu pasukan yang mampu memberikan saingan dalam Liga Perdana Inggeris dan juga Liga Juara-Juara UEFA.

Satu sumber yang boleh dipercayai berkata, Haaland mempertimbangkan projek masa depan dengan mengambil kira faktor seperti pengurus, corak permainan dan kemampuan pasukan untuk muncul pemenang di atas padang.

Tambahan pula, Haaland dikhabarkan sangat berkehendak untuk memenangi anugerah Ballon d’Or – anugerah paling berprestij untuk mana-mana individu yang bergelar pemain bola sepak termasuklah Loris Karius.

Perpindahan Haaland ke City boleh dikatakan satu perpindahan yang bagus untuk kedua-dua pihak tetapi risikonya tetap ada.

Chelsea sebelum ini dikatakan mempunyai satu kegusaran di mana mereka khuatir sama ada cara permainan pemain ini sesuai atau tidak di bumi England kerana dia tidak akan menerima ruang pergerakan yang banyak seperti di liga lain.

Real Madrid pula memandang serius rekod kecergasan pemain ini yang telah terlepas 17 perlawanan pada musim ini kerana masalah otot. Tambahan pula, rasa cinta Madrid terhadap Mbappe yang diluahkan secara umum, telah sedikit sebanyak membuatkan Haaland agak tawar hati untuk menyertai kelab ibu kota Sepanyol tersebut.

Apapun, Haaland baru sahaja berusia 21 tahun dan segala peluang masih kekal terbuka.

Kita akan lihat dalam tempoh dua hingga tiga tahun nanti sama ada Haaland akan mengubah statusnya daripada wonderkid kepada megastar seperti Cristiano Ronaldo, ataupun kekal wonderkid sampai pencen seperti Jesse Lingard.

Sumber : ESPN.

BACA:  Hanya 8 Kali Haaland Menyentuh Bola Dalam Perlawanan City vs Liverpool