Borussia Dortmund Hanya Akan Terima €40 Juta Sahaja Hasil Penjualan Haaland

Borussia Dortmund hanya akan terima €40 juta sahaja dari hasil penjualan Erling Haaland kepada Manchester City dengan baki €20 juta lagi akan diberikan kepada Red Bull Salzburg.

Erling Haaland sah akan menandatangani kontrak bersama Manchester City pada jendela perpindahan musim panas nanti.

The Citizens sendiri sudah mengesahkan yang mereka telah mendapat persetujuan dari Haaland dan Dortmund sendiri untuk melengkapkan urusan pembelian pemain Norway itu pada musim panas nanti.

Haaland bahkan sudah berjaya melepasi ujian kesihatan untuk menyertai The Citizens dan beliau akan sah menjadi pemain Man City bermula Julai nanti.

Juara bertahan saingan Premier League itu akan membayar yuran perpindahan bernilai £60 juta kepada Borussia Dortmund untuk mendapatkan Haaland.

Apa yang menariknya tentang rundingan tersebut adalah Dortmund akan berkongsi duit hasil penjualan Haaland itu dengan salah satu bekas kelabnya, Red Bull Salzburg.

Satu kenyataan rasmi dari Borussia Dortmund telah dikeluarkan dengan mereka menyatakan bahawa:

“Dengan berhasilnya urusan perpindahan ini, pihak pengurusan menjangkakan kesan positif ke atas angka pendapatan utama (EBITDA, EBIT) untuk tahun kewangan 2022/23 dengan magnitude sekitar 35.0 juta- 40.0 juta Euro.”

Haaland merupakan pemain penyerang muda yang dianggap sebagai pemain terhebat dalam dunia bola sepak hari ini.

Bersama Manchester City, beliau dijangka akan menjadi antara penerima gaji tertinggi kelab.

Gaji Haaland bersama Man City

Selepas beberapa bulan dikaitkan bakal ke Etihad, Erling Haaland akhirnya akan benar-benar menyertai juara bertahan saingan Premier League itu pada musim panas ini.

Manchester City dilaporkan akan mengaktifkan klausa perlepasan bernilai €75 juta (£64 juta) dalam kontrak Haaland selepas rundingan antara kedua-dua pihak berjaya mencapai kata sepakat.

Beliau dilaporkan akan menandatangani kontrak selama lima tahun di Etihad bermula musim panas ini sehingga musim panas 2027 nanti.

Pemain penyerang berusia 21 tahun itu bakal menjadi antara penerima gaji tertinggi kelab dengan laporan terbaru mendakwa beliau bakal menerima tawaran gaji bernilai £21 juta semusim.

Memandangkan Manchester City berjaya menandatangani Erling Haaland dengan harga dua kali ganda lebih murah dari nilai pasarannya, mereka memutuskan untuk bersetuju memberinya gaji yang sangat tinggi.

Gaji yang bakal diterima oleh Erling Haaland sama seperti gaji yang diterima oleh Kevin De Bruyne, Jack Grealish dan Raheem Sterling.

Haaland sememangnya pemain penyerang terhebat dalam dunia bola sepak dan kualiti penyudah yang beliau miliki tidak perlu diragui sama sekali.

Sejak kemunculan beliau bersama Red Bull Salzburg pada tahun 2019 dan Borussia Dortmund, beliau jelas sekali dikenali sebagai mesin pencetak gol berkualiti tinggi.

Beliau telah berjaya menjaringkan 85 gol dari 88 penampilan dalam semua pertandingan bersama Borussia Dortmund.

Musim lalu beliau berjaya menjaringkan 41 gol dan ia jelas sekali satu rekod yang sungguh menakjubkan.

Musim ini walau kerap diketepikan kerana dibelenggu masalah kecederaan namun itu tidak menghalang Erling Haaland untuk meledak 28 gol sepanjang musim ini.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp percaya selepas Man City berjaya membawa Haaland ke Etihad, jelas sekali The Citizens akan menetapkan satu tahap baru dalam persaingan Liga.

“Saya tandatangani kontrak baru kerana tahu City tidak akan berhenti berkembang. Jadi ia bukan tentang City menentukan sama ada kita boleh gembira atau tidak.”

Jelas Jurgen Klopp.

“Jika Erling Haaland pergi ke sana, ia tidak mungkin akan lemahkan mereka. Jelas sekali tidak.”

“Saya tahu pada ketika ini banyak orang di luar sana akan bercakap tentang duit, tapi urusan perpindahan ini sebenarnya akan tetapkan tahap baru, biarkan saya cakap seperti ini.”

Haaland jelas sekali akan menambah kekuatan di bahagian jentera serangan Manchester City dengan skuad kendalian Pep Guardiola itu pada ketika ini beraksi tanpa pemain bernombor 9.

Walaupun skuad Manchester City turun tanpa pemain penyerang utama, namun mereka tetap berjaya menjaringkan gol yang sangat banyak.

Mereka pada musim ini merupakan pasukan paling banyak menjaringkan gol dalam saingan Premier League dan rekod tersebut dicipta tanpa pemain penyerang utama.

Bayangkan saja bagaimana hebatnya Manchester City musim hadapan andai mereka turun beraksi bersama pemain penyerang berkualiti tinggi seperti Erling Haaland.

Pemain seperti IIkay Gundogan, Jack Grealish, Raheem Sterling, Kevin De Bruyne, Riyad Mahrez, Bernardo Silva dan Phil Foden jelas sekali akan membantu Erling Haaland untuk terus menjadi mesin pencetak gol di Etihad.

Tidak mustahil juga untuk melihat Haaland akan mampu membantu Manchester City untuk akhirnya memenangi gelaran Champions League yang mereka impikan selama ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Haaland Letakkan Syarat Khas Kepada Man City Untuk Menandatanganinya