Sancho Hampir Singkir Man Utd Daripada Champions League Musim Hadapan

Jadon Sancho berpotensi menjadi duri dalam daging buat Manchester United apabila majikannya itu berkemungkinan tidak layak beraksi di Champions League musim hadapan selepas jaringan pemain sayap itu membantu kemenangan Borussia Dortmund pada awal pagi tadi.

Pada masa ini Sancho beraksi secara pinjaman untuk Dortmund bersama United sehingga ke penghujung musim selepas bertelagah dengan Erik ten Hag.

Perseteruan dengan Ten Hag menyebabkan pemain sayap England itu disingkirkan daripada skuad utama United, dan pemain itu turut tidak dibenarkan menjalani latihan sejak September, sebelum menyertai bekas kelabnya di Jerman pada jendela perpindahan Januari lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu pada mulanya bergelut dengan prestasi namun selepas beberapa perlawanan, Sancho kelihatan semakin tajam dan berjaya mengembalikan prestasi lamanya bersama Dortmund.

Prestasi lamanya bersama Dortmund sebelum ini berjaya meyakinkan United untuk membayar £73 juta kepada Dortmund untuk membawa pemain itu ke Old Trafford.

Selepas seri 1-1 menentang PSV di perlawanan pusingan pertama kalah mati Champions League, Sancho memastikan Dortmund di hadapan di perlawanan kedua di Signal Iduna Park – dan jaringan tersebut dilakukan dengan penuh bergaya.

PSV cuba bangkit menyamakan kedudukan namun harapan pasukan pelawat kemudiannya dimusnahkan oleh Marco Reus yang memanfaatkan kesilapan di bahagian pertahanan untuk menggandakan kedudukan pada masa kecederaan.

Dortmund kini layak ke suku akhir Champions League buat kali pertama sejak musim 2020/21.

Sumbangan Sancho jelas memainkan peranan membawa Dortmund mara tetapi pada masa yang sama ia juga boleh memudaratkan United.

Pada masa ini skuad kendalian Erik ten Hag masih berusaha untuk menamatkan saingan Premier League sekurang-kurangnya di kedudukan kelima.

Kedudukan tersebut berkemungkinan mencukupi untuk melayakkan United ke Champions League musim hadapan. Pada masa ini United berada di kedudukan keenam Premier League.

Pada masa ini hanya empat kelab Premier league layak beraksi di pentas elit Eropah itu.

Namun musim hadapan jumlah pasukan yang menyertai pertandingan tersebut ditambah daripada 32 pasukan menjadi 36 pasukan. Ini juga bermakna lebih banyak pasukan boleh beraksi di pertandingan tersebut berdasarkan kedudukan ranking liga domestik UEFA.

Untuk penerangan lebih ringkas, dua lagi negara yang menampilkan prestasi terbaik secara kolektif di Eropah pada pada musim ini akan diberikan slot tambahan.

England pada ketika ini jelas ketinggalan setelah Newcastle dan united sendiri tersingkir seawal peringkat kumpulan – apabila kedua-dua kelab mengakhiri saingan di kedudukan tercorot kumpulan masing-masing pada Disember lalu.

England kini berada di kedudukan ketiga senarai UEFA di belakang Itali dan Jerman.

Kejayaan Sancho membantu Dortmund setakat ini hanya memperkukuhkan kedudukan Jerman di kedudukan kedua. Pada ketika artikel ini ditulis, Jerman memiliki kelebihan 0.625 mata berbanding England.

Ini bermakna sekiranya United mengimpikan untuk layak ke Champions League musim hadapan, mereka harus berharap Manchester City dan Arsenal mampu mara lebih jauh di pertandngan tersebut untuk mengutip sebanyak mungkin mata, selain menamatkan saingan Premier League di kedudukan kelima.

BACA:  Man United Tolak Tawaran Barca Yang Berminat Mahu Dapatkan Harry Maguire