Dani Alves Menyarankan Kepada Barca Supaya Kejar Mbappe Bukannya Haaland

Legenda Barcelona, Dani Alves telah memberi amaran kepada kelab supaya jangan membazirkan duit untuk menandatangani Erling Haaland.

Beliau walau bagaimanapun percaya yang kelab sepatutnya lebih memilih untuk mendapatkan Kylian Mbappe berbanding pemain kebangsaan Norway itu.

Haaland dan Mbappe merupakan dua pemain terhebat dalam dunia bola sepak hari ini dan jelas sekali kebanyakan kelab gergasi yang sangat berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Kedua-dua mereka juga berkemungkinan akan berpindah menyertai kelab lain pada jendela perpindahan musim panas nanti.

Kontrak Mbappe yang kini berusia 23 tahun itu bersama Paris Saint Germain akan tamat pada penghujung musim ini dengan beliau sehingga kini masih belum menandatangani kontrak baru bersama kelab.

Real Madrid hangat dikaitkan dengan Kylian Mbappe dan mereka pernah menawarkan€200 juta (£171.7 juta) kepada PSG untuk mendapatkan khidmat bintang Perancis itu.

Walau sudah menawarkan yuran perpindahan yang sungguh luar biasa lumayan, namun gergasi Ligue 1 itu tetap menolak dan mahu terus berusaha memujuk pemain utama mereka itu agar menandatangani kontrak baru bersama kelab.

Real Madrid pada masa sama turut berminat mahu mendapatkan khidmat Erling Haaland dari Borussia Dortmund dengan klausa perlepasan bintang Norway itu sudah boleh diaktifkan pada musim panas ini.

Namun begitu, Real Madrid perlu bersaing dengan Manchester City untuk mendapatkan Erling Haaland dengan Juara bertahan saingan Premier League itu turut terdesak mahu mendapatkan khidmat bekas pemain Red Bull Salzburg itu.

Barcelona juga sebenarnya turut dikaitkan dengan kedua-dua pemain itu dengan Alves telah ditanya siapa yang beliau rasakan patut ditandatangani oleh kelab antara dua pemain itu.

“Saya tidak akan melaburkan segalanya kepada Haaland.”

Jelas Alves kepada media Sepanyol, Sport.

“Sejujurnya, saya tak akan berbelanja banyak duit untuk dia. Pada Mbappe, ya, tapi bukan Haaland.”

“Saya memainkan peranan sebagai sporting director di sini, tapi saya lebih memilih Mbappe terlebih dahulu. Dia nampak lebih sempurna dari segala aspek.”

“Jika kamu mahu lakukan pelaburan yang besar, kamu perlu lakukan untuk dapatkan yang terbaik. Jika semuanya diserahkan kepada saya, saya pilih Mbappe.”

Mbappe setakat ini telah berjaya menjaringkan 160 gol dari 209 perlawanan untuk PSG sejak beliau ditandatangani dari Monaco pada tahun 2017 yang lalu.

Haaland sementara itu telah berjaya menjaringkan 80 gol dari 84 penampilan untuk Borussia Dortmund sejak awal beliau ditandatangani dari Red Bull Salzburg pada tahun 2020 yang lalu.

Barcelona sememangnya sangat berminat mahu menandatangani kedua-dua pemain tersebut pada jendela perpindahan musim panas ini.

Walau bagaimanapun, Presiden kelab, Joan Laporta baru-baru ini telah mengakui yang pihak kelab sepertinya tidak akan mampu untuk menandatangani sesiapa antara dua pemain itu.

“Kedudukan ekonomi kelab seperti apa saya tahu tak mengizinkan kami untuk mendapatkan mereka. Kami tak mampu tanggung kos untuk dapatkan mereka. Mustahil.”

Jelas beliau.

“Saya boleh katakan mereka tak akan ke Nou Camp.”

Kylian Mbappe sepertinya lebih hangat dikaitkan dengan Real Madrid berbanding mana-mana kelab lain dengan beliau kini sedang dipujuk oleh PSG supaya menandatangani kontrak baru.

Paris Saint Germain dilaporkan sanggup menawarkan gaji yang sungguh luar biasa lumayan, dan bonus penandatanganan yang menakjubkan asal saja Mbappe bersetuju untuk kekal.

Erling Haaland pula sebelum ini dilaporkan sudah hampir pasti bakal menandatangani kontrak bersama Manchester City dengan ejen beliau turut memberi bayangan hal yang sama akan berlaku.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Nilai Pasaran Mbappe Turun Sebanyak 26.5%