De Ligt Dedah Bagaimana Beliau Sering Diketawakan Di Juventus Kerana Gaya Pemakaiannya

Pertahanan Belanda, Matthijs de Ligt mendedahkan yang beliau sering diketawakan orang ramai orang di Turin kerana sering memakai pakaian tidak berjenama.

Pemain centre-back berusia 21 tahun itu ditandatangani oleh Juventus dari Ajax pada musim panas 2019 dengan yuran perpindahan bernilai £68 juta.

Ketika dalam satu temu bual bersama media Belanda, de Volkskrant, De Ligt telah mendedahkan kisah yang menarik tentang kehidupannya di Turin.

Beliau membincangkan tentang beberapa topik menarik termasuk tentang bagaimana reaksi para penyokong di Itali dan cara beliau belajar sesuatu dari Giorgio Chiellini dan Cristiano Ronaldo.

Pemain kebangsaan Belanda itu juga turut memberi pandangan jujurnya tentang pemakaian beliau dan bagaimana reaksi yang beliau terima dari semua orang berkait pemakaiannya itu.

“Saya berpakaian seperti mana saya berpakaian sekarang. Saya memang bukan orang yang sukakan pakaian mahal atau berjenama.”

Jelas De Ligt kepada de Volkskrant.

“Saya adalah Matthijs, saya adalah diri saya dan kamu tak akan lihat saya pergi ke padang latihan dengan pakaian bergaya, ia semudah itu. Kerja utama saya adalah pemain bola sepak. Saya mahu menjadi bintang di padang bola sepak.”

“Ada masa saya diketawakan oleh mereka atas kerana gaya pemakaian saya, tapi saya tak peduli. Selagi saya rasa selesa dengan tingkah laku dan pemakaian saya sendiri, saya sangat berpuas hati.”

“Perkara paling penting sekali adalah untuk beraksi dengan baik di atas padang, baru lah orang akan lebih menghormati kita berbanding mengharap orang menilai pemakaian saya.”

Dalam temu bual itu juga, De Ligt turut mendedahkan tentang perbezaan antara penyokong dari Itali dengan penyokong di negara kelahiran beliau.

“Di Belanda, para penyokong sangat ghairah dan mahukan pasukan mereka untuk menang, tapi semuanya berakhir selepas wisel penamat dibunyikan. Di Itali, tiga hari selepas perlawanan pun mereka masih bercakap tentang penalti lah dan macam-macam lagi. Mereka tak berhenti memikirkan tentang bola sepak.”

“Jika pasukan kamu kalah kepada seteru, para penyokong akan lalui minggu yang teruk dan kami juga akan merasai hal yang sama.”

Beliau turut memuji rakan sepasukannya, Giorgio Chiellini dan pemenang lima kali gelaran Ballon D’or, Cristiano Ronaldo.

“Secara mentalnya saya sudah semakin bagus di sini dan saya rasa saya jauh lebih matang sejak saya bersama Juventus.”

Jelas de Ligt.

“Saya perlu membiasakan gaya permainan yang berbeza di Itali, cara bagaimana penyerang bergerak. Ketika bersama Ajax, tumpuan utama saya lebih tertumpu kepada penyerang utama, yang mana sekarang saya perlu lihat dari pelbagai arah.”

“Tak selalu mengejar orang dengan bola, tapi lebih memerhatikan penyerang yang berlari mencari ruang. Ia lebih kepada cara bagaimana memanfaatkan kesempatan yang ada.”

“Chiellini merupakan pakar dalam bidang itu. Dia sangat berpengalaman, saya banyak belajar benda hebat dari dia. Pertahanan merupakan satu seni di Itali, ia sangat membanggakan untuk mampu menunjukkan apa yang saya boleh lakukan di sini. Itulah sasaran utama saya.”

“Cara bagaimana Cristiano Ronaldo hidup dengan dunia bola sepak, membuatkan dia mampu mengekalkan kemampuan dia dan dia sangat bermotivasi di usia dia sekarang. Dia sungguh menakjubkan.”

“Ia sama seperti Chiellini dan lihat Buffon sendiri, dia sudah 43 tahun. Mereka semua sangat professional dan luar biasa menakjubkan.”

Beliau ketika ini sedang bersama skuad kebangsaan Netherlands untuk aksi saingan Euro yang akan dilangsungkan beberapa hari sahaja lagi.

Ketiadaan Van Dijk menjadikan De Ligt sebagai nadi penting di barisan pertahanan Belanda yang bakal berdepan dengan Ukraine pada 14 Jun nanti.

BACA:  Liverpool Berpotensi Untuk Mendapatkan Khidmat De Ligt Dari Juventus