“Saya bukan marah, tetapi kecewa,” kata Roberto De Zerbi, mengungkapkan kekecewaannya dengan nada seorang bapa yang menegur anak.
Kekecewaan itu berasas. Pasukannya, Marseille baru sahaja tewas 2-0 di tangan Nice di Allianz Riviera pada Ahad lepas. Ia sekaligus terlepas peluang untuk merapatkan jurang dengan pendahulu Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG). Akui jurulatih dari Itali itu tiada sebarang sisi positif yang boleh diambil daripada kekalahan tersebut.
Sejak mengambil alih Marseille musim ini, De Zerbi telah membawa pasukan itu keluar dari kemerosotan prestasi musim lalu untuk menduduki tempat ke-2 liga. Namun harapan untuk mencabar kejuaraan semakin tipis. PSG kini 10 mata di hadapan dan sasaran yang lebih realistik untuk Marseille adalah memastikan kelayakan ke Liga Juara-Juara.
Bagi De Zerbi, pencapaian itu masih dianggap sebagai kejayaan. Lebih penting lagi, ia perlu bagi mengekalkan reputasinya sebagai jurulatih bertaraf tinggi. Lagipun, dia pernah menarik minat Manchester United selepas meninggalkan Brighton & Hove Albion. De Zerbi telah membawa kelab itu ke kejohanan Eropah buat pertama kali dalam sejarahnya. Namun, memilih untuk menyertai Marseille, sebuah kelab Ligue 1 yang tidak beraksi di peringkat Eropah membawa risiko besar terhadap reputasinya.
“Saya Gembira dengan Pilihan Ini”
Saya gembira dengan keputusan yang saya buat, kata De Zerbi kepada selepas kekalahan kepada Nice. Saya tidak menyesal. Ia satu cabaran yang sukar, tetapi ada keindahannya. Saya benar-benar gembira berada di sini dan berharap untuk kekal lama.
De Zerbi menandatangani kontrak selama 3 tahun dengan Marseille dan buat masa ini kelab itu kelihatan sebagai padanan yang sesuai untuknya. Kedua-duanya berkongsi sifat yang sama iaitu intensiti tinggi dan sukar dikawal tetapi mampu menghasilkan sesuatu yang luar biasa pada waktu terbaiknya.
Pada musim ini terdapat detik-detik yang meyakinkan seperti kemenangan besar 5-1 ke atas Brest pada minggu pembukaan serta kemenangan 5-0 ke atas Montpellier. Namun ada juga kekalahan yang mengecewakan termasuk tewas 3-0 kepada PSG dan 3-1 kepada Auxerre pada bulan November. Kekalahan kepada Auxerre begitu teruk sehingga De Zerbi hampir meletak jawatan hanya beberapa bulan selepas menandatangani kontrak.
Jika saya adalah masalahnya, saya sanggup pergi, katanya kepada wartawan malam itu. Saya akan pergi tanpa menuntut bayaran. Saya tidak peduli.
Selepas episod itu Marseille berjaya bangkit dengan rekod tanpa kalah selama lebih 2 bulan. Tetapi momentum itu kembali terhenti selepas Marseille tersingkir dari Coupe de France di tangan Lille dan seri 1-1 menentang Strasbourg. Sementara itu, PSG terus melangkah dengan yakin di bawah bimbingan Luis Enrique.
Impian De Zerbi untuk menjulang trofi musim ini hampir musnah sebelum Januari berakhir.
Keputusan yang Betul?
Salah satu cerita paling menarik dari era De Zerbi di Marseille muncul pada November apabila akhbar sukan Perancis, L’Equipe, melaporkan bahawa dia pernah menunjukkan tawaran kontrak dari Manchester United kepada pemainnya semasa sesi taklimat pasukan. Dia didakwa cuba membuktikan bahawa dia memilih semangat dan cabaran berbanding wang.
Minat United terhadap De Zerbi bukan sesuatu yang mengejutkan. Pada musim panas lalu, mereka sedang mencari pengganti Erik ten Hag dan turut melihat calon lain seperti Thomas Tuchel dan Thomas Frank. Namun mereka memilih untuk mengekalkan Ten Hag.
De Zerbi juga dikaitkan dengan Chelsea sebelum kelab itu melantik Enzo Maresca. Sebelum itu, terdapat juga laporan minat daripada Liverpool, Bayern Munich dan Barcelona. Kemuanya kelab gergasi yang menunjukkan betapa tingginya reputasi De Zerbi sebagai seorang jurulatih.
Pada akhir musim lepas hubungan antara De Zerbi dan Brighton semakin renggang. Brighton dilaporkan bosan dengan pendekatan dan tuntutan pengurus itu. Kejayaan besar musim pertamanya di Brighton, kelab itu mengakhiri kempen liga di tempat ke-6 dan layak Liga Europa buat kali pertama. Ia gagal diulang pada musim berikutnya dan mereka berpisah secara baik.
Saya meninggalkan Brighton dengan berat hati, katanya. “Saya sangat rapat dengan semua orang di sana—kelab, pemain, penyokong. Tapi saya rasa, sudah tiba masanya untuk saya pergi.
Ramai menjangkakan De Zerbi akan meninggalkan Brighton untuk mencari cabaran lebih besar terutamanya selepas kejayaannya bersama Sassuolo di Itali dan Shakhtar Donetsk di Ukraine. Namun, reputasinya sebagai seorang jurulatih yang lantang telah membuatkan sesetengah kelab berasa ragu-ragu. Chelsea, misalnya melihat ‘red flag’ dalam cara De Zerbi mengendalikan hari-hari terakhirnya di Brighton.
Sebaliknya, Marseille lebih fokus kepada kelebihan De Zerbi sebagai seorang taktikal yang hebat. Presiden kelab, Pablo Longoria memilihnya untuk memimpin pasukan dengan sokongan penuh daripada pemilik kelab, Frank McCourt.
Kedatangannya menandakan permulaan babak baru yang penuh cita-cita, kata McCourt dalam kenyataan rasmi.
Projek Marseille di Bawah De Zerbi
Pada musim panas lalu, De Zerbi disokong melalui beberapa pembelian pemain dari Liga Perdana Inggeris. Neal Maupay (Everton), Pierre-Emile Højbjerg (Tottenham), dan Jonathan Rowe (Norwich) dipinjam manakala Ismael Koné dibeli dari Watford pada harga £15 juta.
Pembelian paling kontroversi ialah Mason Greenwood. Penyerang itu dibeli dari Manchester United dengan harga £26 juta. De Zerbi menegaskan bahawa penelitian mendalam telah dilakukan sebelum membeli Greenwood dan kepercayaannya terbukti benar. Greenwood kini merupakan penjaring terbanyak Ligue 1 dengan 12 gol.
Adrien Rabiot turut menyertai Marseille secara percuma selepas dilepaskan Juventus. Walaupun Rabiot mempunyai sejarah konflik dengan jurulatih terdahulu, De Zerbi berjaya menjadikannya pemain utama.
Secara keseluruhan, Marseille menunjukkan peningkatan besar. Mereka telah memenangi 11 daripada 19 perlawanan liga dan menjaringkan 40 gol. Kedudukan ke-2 di liga merupakan satu lonjakan besar berbanding tempat ke-8 musim lalu.
De Zerbi juga disukai oleh pemainnya. Jonathan Rowe memuji pengaruhnya dengan mengatakan jurulatih itu mengajarnya untuk terus berusaha tidak kira apa yang berlaku.
Namun cabaran sebenar masih menanti. Perlawanan menentang Lyon menjadi satu lagi ujian penting. Monaco, Nice dan Lille bersedia untuk mengambil kesempatan sekiranya Marseille terus mengalami kejatuhan.
De Zerbi yakin jawatan ini memberikan apa yang dicarinya tetapi kekalahan di Nice baru-baru ini mengingatkannya tugas di Marseille jauh lebih sukar daripada jangkaannya.