Kisah Juara Champions League Penuh Skandal Dan Paling Kontroversi Di Dalam Sejarah Pertandingan

Di dalam sejarah 30 tahun Uefa Champions League (UCL), tidak ada Sang Juara yang begitu kontroversi dibandingkan dengan juara pertama edisi pertandingan itu sendiri.

Marseille kekal sebagai satu-satunya kelab dari Perancis pernah bergelar juara Champions League sejak Piala Eropah dijenamakan semula bermula musim 1992/93.

Perlawanan akhir pertandingan tersebut pada 1993 menyaksikan Marseille kendalian Raymon Goethals menewaskan skuad legenda AC Milan yang dibarisi pemain seperti Franco Baresi, Paulo Maldini, Frank Rijkaard dan Mar van Basten.

Dalam perlawanan akhir yang dilangsungkan di Munich itu, gol tunggal perlawanan daripada pemain sweeper, Basile Boli memberikan kemenangan 1-0 untuk kelab itu bergelar juara eropah pertama zaman moden.

Selepas itu, tidak pernah ada mana-mana kelab dari Perancis mampu mengulangi pencapaian tersebut walaupun kelab sehebat Paris Saint-Germain yang memiliki barisan pemain handalan dunia seperti Lionel Messi, Kylian Mbappe dan Neymar.

Kejayaan tersebut bagaimanapun dibayangi oleh skandal mengatur perlawanan yang menyebabkan Marseille dilucutkan kejuaraan Ligue 1 mereka pada musim yang sama, sebelum disingkirkan daripada divisyen utama bola sepak Perancis itu sebagai hukuman.

Pertandingan UCL pada ketika itu jauh berbeza daripada segi cabaran berbanding apa yang perlu dilalui di pertandingan tersebut pada hari ini.

Hanya ada lapan pasukan bertanding dan dibahagi kepada dua kumpulan untuk peringkat kumpulan, dan juara setiap kumpulan layak terus ke perlawnaan akhir.

Marseille menghasilkan prestasi menakjubkan apabila melalui semua perlawanan tanpa kalah.

Presiden Marseille pada ketika itu, Berbard Tapie -ingat nama ini – melabur dengan banyak untuk membentuk skuad pada ketika itu selepas kekalahan kepada Red Star Belgrade di perlawanan akhir Piala Eropah pada musim 1991.

Di bahaguan pertahanan, penjaga gol adalah Fabian Barthez selain daripada Marcel Desailly sebagai bek tengah. Alen Boksic turut dibawa masuk untuk mengetuai jentera serangan.

Penyerang antarabangsa Croatia itu menjaringkan 6 gol sepanjang kempen 1992/93. Begitu juga dengan pemain tengah, Franck Sauzee yang turut menghasilkan jumlah jaringan yang sama.

Selepas menghasilkan 3 kemenangan dan 3 seri daripada 6 perlawanan peringkat kumpulan termasuk menidakkan tentangan sengit wakil Scotland, Rangers, Marseille ditemukan dengan AC Milan yang merupakan pilihan utama kejuaraan di perlawanan akhir.

Kelab Itali itu sebelum itu telah muncul juara Piala Eropah pada 1989 dan 1990, dan muncul juara kumpulan selepas menang semua enam perlawanan yang dilalui di peringkat itu.

Malang sekali dalam perlawanan akhir pada 26 Mei 1993 itu, Milan gagal menembusi benteng Marseille, dan membenarkan Boli menanduk masuk sepakan lintang unik Abedi Pele pada minit ke-44 perlawanan – menewaskan Sebastiano Rossi yang hanya berdiri pegun di hadapan gawang.

Kontroversi di Ligue 1

Kejayaan Marseille di pertandingan elit eropah pada musim 1992/93 itu bagaimanapun diulit kontroversi kerana kejadian yang berlaku beberapa hari sebelum perlawanan akhir tersebut.

Selain mengejar kejuaraan di Eropah, mereka juga sedang bersaing untuk kejuaraan Ligue 1 bersama-sama PSG dan Monaco, sehingga memerlukan hari terakhir liga untuk menentukan pemenang – iaitu seminggu sebelum perlawanan akhir UCL.

Di hari terakhir pertandingan Ligue 1, Marseille bertandang ke Valenciennes yang berada di zon penyingkiran. Marseille memerlukan kemenangan untuk muncul juara. Manakala Valenciennes juga wajib menang untuk peluang kekal di Ligue 1 pada musim berikutnya.

Marseille mendapat keputusan yang mereka kehendaki apabila menang 1-0 untuk melengkapkan sebahagian daripada impian mereka meraih kejuaraan berganda pada musim tersebut.

Dan selepas kemenangan tersebut, timbul laporan dan dakwaan pemain Valenciennes, Jacques Glassmann mendakwa beliau ditawarkan 250,000 francs (pada ketika itu bernilai £30,000) untuk menjual perlawanan.

Tawaran tersebut datangnya daripada pemain tengah Marseille, Jean-Jacques Eydelie yang juga merupakan bekas rakas sepasukan Glasmann ketika kedua-duanya beraksi bersama Nantes.

Dua lagi pemain Valenciennes, Jorge Burruchaga dan Christophe Robert turut ditawarkan ganjaran kewangan (rasuah).

Isteri Robert dilaporkan telah pergi ke hotel penginapan skuad Marseille untuk mengambil beg berisi wang tunai. Beg dan wang tunai tersebut kemudiannya ditemui ditimbus di dalam tanah di belakang rumah ibunya.

Dan selepas siasatan dilakukan, Marseille dilucutkan daripada kejuaraan dan disingkirkan dari Ligue 1, dan hak mereka beraksi di UCL pada musim berikutnya turut dinafikan.

PSG pula menolak kejuaraan Ligue 1 dan menggantikan tempat Marseille di Champions League. Pemilik kelab-kelab lain dan syarikat penyiaran mulai risau bakal kehilangan ramai penonton kerana hilang kepercayaan, dan situasi tersebut mampu menjejaskan sumber kewangan kelab.

Selepas itu kejuaraan diberikan kepada Monaco yang menduduki tempat ketiga, dan kelab itu juga menjadi pengganti Marseille di UCL.

Walaupun dilucutkan kejuaraan Ligue 1, Marseille masih dibenarkan mengekalkan kejuaraan UCL pada musim itu kerana tiada bukti jenayah sama turut berlaku melibatkan pertandingan peringkat Eropah.

Maka Marseille kekal bergelar juara eropah tetapi dengan keraguan besar daripada segi estitika moral pada nama mereka.

Pemilik kelab, Tapie dijatuhkan hukuman penjara dua tahun – kemudiannya 8 bulan – manakala Eydelie yang berusia 27 tahun dan berada di kemuncak karier digantung daripada bola sepak selama 18 bulan.

Eydelie kembali beraksi selepas itu tetapi kariernya tidak lagi pernah sama seperti ketika di Marseille. Selepas beraksi bersama beberapa kelab bawahan, termasuk tempoh pinjaman di Walsall, pemain itu bersara pada 2003.

Pendedahan Eydelie

Skandal rasuah ini bukan satu-satunya perkara memalukan melibatkan dirinya dan Marseille.

Melalui buku autobiografi pada 2006, beliau mendedahkan dirinya dan rakan sepasukan lain dipaksa untuk menerima suntikan dengan bagan meragukan sebelum perlawanan akhir menentang Milan.

Dakwaan tersebut turut disokong oleh bekas rakan sepasukan, Chris Waddle dan Tony Cascarino.

“Pemain sentiasa diberikan suntikan di Marseille,” kata Waddle kepada The Sun pada 2003.

“Doktor kelab berkata suntikan tersebut membantu pemain untuk pulih segera selepas perlawanan. Saya turut diberikan beberapa suntikan, tetapi tidak melihat perubahan yang ketara.

“Saya tidak tahu suntikan apakah itu, tetapi memang belum ada pemain yang gagal ujian doping.”

Cascarino ketika menulis kepada The Times pada ketika itu turut berkata: “Sehingga hari ini saya tidak tahu apakah kandungan suntikan. Doktor hanya berkata ia adalah untuk menaikkan adrenalin, dan saya sentiasa dinafikan untuk bertanya mengenai butirannya.

“Apa pun kandungannya, prestasi saya meningkat. Saya sentiasa berdoa suntikan itu sah, walaupun 99% saya yakin ia sebenarnya tidak begitu.”

UEFA bertindak menyemak kembalu unit anti doping mereka dan mengesahkan semua ujian adalah negatif.

Cubaan Tapie menyaman Eydelie kerana didakwa menjadi punca skandal rasuah itu turut gagal.

Ini adalah salah satu kisah hitam dan memalukan di dalam bola sepak eropah. Selamanya juara edisi pertama Champions League akan kekal diselubungi kontroversi.

BACA:  UEFA Sahkan Ligue 1 Perancis Jatuh Status, Bukan Lagi Liga Bola Sepak Utama Eropah