Doan Van Hau Gelar Marc Klok Aktor Yang Dramatis

Pemain terpaling kontorversi di Piala AFF 2022 dari Vietnam, Doan Van Hau telah mengejek Mark Klok dan telah menggelar pemain naturalisasi Indonesia itu sebagai aktor yang dramatis.

Agak parah juga sebenarnya apabila seorang pelakon terbaik mengiktiraf pelakon lain sebagai yang terbaik, dah macam seorang scammer menuduh orang lain sebagai penipu.

Ejekan ini hadir gara-gara insiden di pertengahan permainan separuh masa kedua apabila Marc Klok tiba-tiba jatuh dan rebah ke tanah seperti ditembak penembak tepat.

Pada minit ke-73, Vietnam mendapat sepakan penjuru dan Marc Klok dilihat mengawal ketat Doan Van Hau, ketika bergesel-gesel, Mark Klok merebahkan diri ke tanah tanpa sebarang sentuhan.

Pada ketika itu jelas kedua-dua belah tangan jahat Doan Van Hau diletakkan di belakang dan sedang bersedia untuk menerima bola dari sepakan penjuru.

Marc Klok jelas sekali bersimulasi meniru perbuatan yang menjadi kepakaran dan selalu dilakukan oleh Doan Van Hau yang pasti tidak termakan dengan lakonan itu.

Malangnya Ricky Kambuaya yang masuk dari bangku simpanan sebagai pemain gantian terpedaya dengan lakonan Marc Klok lalu tampil untuk memberi reaksi yang berlebihan.

Ricky Kambuaya terus datang dan menolak Doan Van Hau yang mengambil peluang ini untuk merebahkan badan lantaran ada sentuhan yang jelas dari pihak lawan.

Suasana terus menjadi panas dan pemain mula berkerumun pengadil datang mengawal situasi dan Ricky Kambuaya menjadi mangsa rakan sepasukan apabila dilayangkan kad kuning.

Doan Van Hau ternyata sekali lagi menjadi pemenang dalam situasi ini. Dalam perlawanan itu juga dapat dilihat Doan Van Hau mahu berjabat tangan dengan pemain kelahiran Belanda itu namun tidak diendahkan.

Ketika ditemuramah selepas perlawanan mengenai insiden tersebut lakonan yang terkantoi itu, pemain berusia 23 tahun itu telah mengejek Marc Klok.

“Dia seorang pelakon yang dramatis.”

Doan Van Hau juga tidak mengambil kisah siapa lawan Vietnam di perlawanan akhir samada Malaysia atau Thailand kerana mereka sudah bersedia.

“Lawan mana yang bakal bertemu Vietnam di final? Apakah itu Malaysia atau Thailand? Kedua-duanya sama-sama bagus, kami pasti akan membuat persiapan terbaik untuk perlawanan ini.”

Dua minit sahaja diperlukan Vietnam untuk membuka tirai jaringan melalui Nguyen Tien Linh yang telah menyempurnakan hantaran jauh dari ketua pasukan, Do Hung Dung.

Jelas dan nyata Vietnam mengawal dan mendominasi perlawanan, Indonesia masih bergelut dan bermain di hadapan penyokong sendiri memberi semangat tambahan buat Vietnam.

Pada minit ke-23 kontroversi tercetus apabila pemain Indonesia, Dendy Sulistyawan dijatuhkan dalam kotak penalti dan sepertinya disiku. Namun tiada sepakan penalti dari pengadil dan membuatkan pemain Indonesia bingung, Shin Tae Yong jelas tidak percaya dengan apa terjadi.

Dua minit bersambung babak kedua, Vietnam terus menggandakan kedudukan sekali lagi melalui Nguyen Tien Linh selepas menanduk masuk sepakan penjuru Do Hung Dung menewaskan Nadeo Arga Winata.

Dua gol untuk Nguyen Tien Linh dengan dua assist dari Do Hung Dung. Indonesia tersentak dan mula merencanakan serangan walaupun agak huru hara.

Menurut Shin Tae Yong, rumput di Stadium Nasional My Dinh sangat teruk dan telah menjejaskan rentak permainan Indonesia dan menjadi faktor kekalahan.

Namun Vietnam telah mencipta permainan tanpa bolos setakat ini walaupun sudah mengharungi 6 perlawanan untuk mara ke final membuktikan betapa kentalnya tahap disiplin mereka ketika bertahan.

BACA:  Shin Tae Yong Sebarkan Video Aksi Keji Van Hau Cederakan Pemain Lawan