Empat Kelab Gergasi Berebut Dapatkan Khidmat Rudiger

Real Madrid, Paris Saint Germain, Bayern Munich dan Juventus kesemuanya sudah memulakan rundingan dengan wakil Rudiger dalam usaha mereka untuk mendapatkan khidmat pemain centre-back Chelsea itu.

Keempat-empat kelab tersebut mahu Rudiger menandatangani pra kontrak bersama kelab pada bulan ini memandangkan kontrak beliau bersama Chelsea akan tamat pada penghujung musim ini.

Rudiger yang kini berusia 28 tahun itu bakal meninggalkan Chelsea pada penghujung musim ini selepas kontraknya tamat.

Memandangkan beliau masih belum menandatangani kontrak baru, maka beliau dibenarkan untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana kelab luar untuk melengkapkan perpindahan pada musim panas nanti.

Pemain kebangsaan Jerman itu telah memainkan peranan cukup penting dalam membantu skuad Chelsea pada musim ini, dengan beliau tampil dalam semua perlawanan untuk The Blues pada musim ini.

Walau pihak kelab sangat berminat untuk mendapatkan khidmat beliau, namun Rudiger menolak untuk menandatangani kontrak baru di Stamford Bridge.

Beliau dilaporkan bakal menjadi pemain pertahanan yang menerima gaji tertinggi dalam dunia bola sepak seandainya meninggalkan Chelsea pada musim panas ini.

Sky Sports News melaporkan yang empat gergasi dalam dunia bola sepak sedang berebut untuk mendapatkan khidmat Rudiger pada musim hadapan.

Real Madrid, Paris Saint Germain, Bayern Munich dan Juventus merupakan empat gergasi dunia bola sepak yang sedang mengejar tandatangan Rudiger pada ketika ini.

Pengurus interim Manchester United, Ralf Rangnick juga dilaporkan berminat untuk mendapatkan tandatangan Antonio Rudiger pada jendela perpindahan musim panas nanti.

Walau bagaimanapun, tidak seperti empat kelab yang disebutkan, United masih belum boleh berunding atau menawarkan pra kontrak kepada Rudiger kerana terikat dengan peraturan dari Premier League.

Chelsea dalam pada itu, masih dalam usaha mereka untuk menawarkan lanjutan kontrak kepada Rudiger, dan bintang Jerman itu sendiri tidak menolak yang beliau mungkin akan memilih untuk kekal di Stamford Bridge.

Walau bagaimanapun, tawaran terakhir dari Chelsea sebelum ini untuk melanjutkan kontrak Rudiger telah ditolak oleh bintang Jerman itu bersama wakil beliau.

Chelsea pada ketika itu menawarkan hanya separuh sahaja dari kadar gaji tertinggi pemain Chelsea kepada Rudiger dan kerana itulah beliau menolak untuk menandatangani lanjutan kontrak bersama kelab.

Bercakap pada bulan lalu, pengurus Chelsea, Thomas Tuchel meminta semua pihak agar bersabar berkait rundingan kontrak Rudiger.

“Kami jelas sekali menerima dan sepenuhnya sedar tentang kepentingan Toni dan peranan yang dia mainkan baik dalam mahupun di luar padang.”

“Tidak ada keraguan tentang itu. Ia sangat betul yang tiada sesiapa lebih besar berbanding kelab dan ini adalah usaha dari sebuah kelab yang besar.”

“Ia bukan hanya tentang Toni dan saya maksudkan ia dengan cara terbaik kerana kami tahu apa yang dia buat dan kami sedar sepenuhnya tentang itu.”

“Pada akhirnya, kami cuma perlu bersabar.”

Chelsea baru-baru ini terikat 2-2 bertemu Liverpool dalam aksi saingan Premier League di halaman mereka sendiri.

Keputusan itu menyebabkan kedua-dua pasukan semakin jauh ditinggalkan oleh Manchester City yang sedang berada di puncak saingan liga.

Skuad kendalian Thomas Tuchel itu pada ketika ini 10 mata dibelakang Manchester City dan mereka satu mata di hadapan Liverpool.

Walau bagaimanapun juga, Liverpool berpotensi untuk memintas mereka selepas ini kerana skuad kendalian Jurgen Klopp itu memiliki kelebihan satu perlawanan yang belum dimainkan.

Rudiger sudah tentu sangat diharapkan oleh Tuchel untuk membantu skuad The Blues mencabar kejuaraan liga pada musim ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Rudiger Tidak Percaya Cerita Kebaikan dan Rendah Diri Kante Sehinggalah Sertai Chelsea