Empat Pemain Remaja Yang Bakal Cipta Nama Pada Musim Baru

Setiap tahun, setiap musim pasti akan ada pemain-pemain remaja yang meningkat naik dan meraih perhatian orang ramai. Daripada senarai pemain muda yang timbul, ada yang menjadi dan ada yang tidak.

Pun begitu, bakat dan kebolehan mereka seringkali menambat perhatian dan aksi mereka di atas padang memang seronok ditonton.

Berikut adalah empat pemain muda yang dijangka akan mencipta nama pada musim baru nanti.

Benjamin Sesko

Pemain RB Salzburg yang berusia 19 tahun ini dikhabarkan sudah berada dalam radar beberapa kelab Eropah. Pemergian Haaland, Patson Daka dan Karim Demeyi telah memberikan ruang dan peluang yang sempurna kepada pemain ini bersama kelab Austria tersebut.

Mempunyai ketinggian 193 sentimeter, penyerang ini merupakan seorang pemain yang mampu melakukan tekanan dengan baik, mampu mengetuai barisan serangan selain dapat menjadi penghubung kepada rakan sepasukan.

Kepintarannya di dalam kotak penalti juga sudah dapat dilihat dan wajar dipuji. Sesko seringkali berjaya meletakkan dirinya di tempat dan waktu yang betul tatkala menunggu bola tampanan atau hantaran daripada rakan sepasukan.

Meskipun masih muda, Sesko kini sudah tampil sebanyak 13 kali buat pasukan kebangsaan Slovenia.

Mathys Tel

Mathys Tel adalah seorang penyerang berbakat yang baru sahaja dibeli oleh Bayern Munich dari kelab Perancis, Rennes pada harga 30 juta Euro. Pada musim lalu, Tel telah menjaringkan sembilan gol dalam 18 penampilan.

Pemain berusia 17 tahun ini dilihat mempunyai kepantasan yang mengkagumkan dan juga cukup tangkas dengan pecutan yang menakutkan. Dia juga mempunyai kecergasan dan kekuatan yang baik di mana dia rajin melakukan tekanan untuk memenangi bola di dalam kawasan paasukan lawan. Kepantasan kakinya pula membolehkan dia menjadi pemain sayap yang ditakuti.

Pemain ini sudah bermain untuk pasukan bawah-17 tahun Perancis. Walaupun dibeli pada harga yang tinggi, tidak dapat dipastikan apakah rancangan Bayern terhadap pemain ini.

Calvin Ramsay

Bek kanan berusia 18 tahun ini telah menyertai Liverpool pada harga 6.4 juta Euro dan The Reds percaya bahawa mereka telah berjaya mendapatkan pemain yang cukup bagus.

Ramsay mempunyai kebolehan menggunakan kedua-dua kakinya. Kepantasan dan visinya di atas padang telah membolehkan dia memainkan bola di ruang yang berbahaya.

Selain itu, pemain ini juga mampu untuk melakukan hantaran berkualiti dari set-piece. Walaupun masih banyak yang perlu dia pelajari, keyakinannya dalam menggelecek bola untuk keluar dari masalah menunjukkan dia mempunyai keberanian yang tinggi.

Pada musim terburuk Aberdeen musim lalu, remaja ini masih mampu merekodkan empat assist dan satu gol dalam 21 perlawanan liga.

Secara keseluruhan, pemain ini cukup mirip Trent Alexander-Arnold dan jika mendapat bimbingan sewajarnya daripada pemain senior Liverpool tersebut, Ramsay bakal menjadi tonggak utama kelab pada suatu hari nanti.

Yunus Musah

Lahir di Amerika Syarikat, Yunus merupakan seorang pemain tengah sejati dan juga mampu bermain di posisi sayap kanan. Berusia 19 tahun, Yunus banyak diturunkan di bahagian sayap di Valencia.

Pemain ini mempunyai kepantasan dan mampu menggelecek bola dengan baik – satu karakter yang ada pada pemain sayap klasik.

Yunus juga mempunyai keupayaan untuk melakukan hantaran dengan baik, tapi ada beberapa sisi lagi yang boleh diperbaiki. Selepas bermain untuk akademi Arsenal, dia berhijrah ke Valencia pada tahun 2020 dan berjaya meletakkan dirinya di dalam pasukan utama.

Remaja ini dikhabarkan lebih suka jika diturunkan sebagai pemain tengah box-to-box dan pada musim lalu, dia telah menjaringkan satu gol dalam 29 penampilan.

Sumber : AF

BACA:  Richarlison Menganjing Liverpool Tanpa Belas Selepas Tewas Perlawanan Akhir Champions League