Erik Ten Hag Kongsi Peranan Mount Bantu Man Utd Tewaskan Leeds

Pengurus Manchester United Erik ten Hag berpuas hati dan bangga dengan aksi pertama Mason Mount untuk kelab baharunya itu dalam perlawanan persahabatan menentang Leeds pada malam tadi.

Pemain tengah berusia 24 tahun itu menyerlah sepanjang 45 minit aksi untuk membantu United menang 2-0 ke atas Leeds di Oslo.

Mount menyertai United daripada Chelsea dengan nilai £55 juta beraksi sebagai pemain kesebelasan utama sebelum Ten Hag melakukan 11 pertukaran sebelum perlawanan bersambung selepas waktu rehat.

Mengulas kualiti yang dibawa oleh Mount ke dalam pasukan, Ten Hag berkata: “Dia akan membawa dinamik ke dalam permainan dan itulah perkara yang digariskan untuk ditambahbaik pada musim lalu,” kata Ten Hag kepada MUTV.

“Visi yang dimilikinya ialah untuk menyerang. Tetapi dia juga mahu menjadi pemain yang mampu memainkan banyak peranan. Dia mahu menjadi pemain serba lengkap.

“Apabila anda bermain di tengah, anda harus menyerang, tetapi pada masa sama juga harus tahu untuk bertahan. Kami harus menjadi lebih dinamik di bahagian tengah.

“Saya pasti dia akan menyumbang kepada kejayaan United selepas ini kerana dia adalah pemain yang berkualiti.”

Pemain kesebelasan utama Ten Hag adalah kombinasi pemain muda dan berpengalaman.

Lisandro Martinez, Raphael Varane dan Jadon Sancho digandingkan dengan prospek muda akademi seperti Kobbie Mainoo dan Omari Forson.

Jaringan oleh United bagaimanapun tiba pada minit ke-67 selepas pemain sayap berusia 18 tahun dari Norway, Isak Hansen-Aaroen berjaya melorongkan bola untuk Noam Emeran yang kemudiannya berjaya melakukan penyudah klinikal menewaskan Dani van den Heuvel.

Kemudian giliran Emeran pula mencipta bantuan gol yang disempurnakan oleh Joe Hugill untuk kedudukan menkadi 2-0, 10 minit sebelum perlawanan tamat.

Mount pula mencipta peluang terbaik untuk United berada di hadapan pada minit ke-10 perlawanan selepas hantaran kepada Amad Diallo berjaya memecah barisan terakhir pertahanan lawan.

Hantaran Diallo kepada Hannibal Mejbri yang cuba melakukan penyudah bagaimanapun dikecewakan penjaga gol Leeds, Kristoffer Klaesson.

Tidak lama selepas itu Mount sekali lagi terlibat dalam satu lagi gerakan yang hampir menghasilkan jaringan pembukaan.

Berjaya merampas bola dengan pressing di bahagian depan, Mount melakukan satu percubaan bola lambung yang hampir memerangkap Klaesson.

“Saya rasa sangat hebat ketika beraksi,” kata Mount.

“Kami bekerja keras ketika latihan dan ia sangat bagus apabila hasilnya dapat dilihat melalui perlawanan ini. Kami banyak berlatih pelbagai taktik.

“Saya sangat gembira dengan peranan diberikan hari ini. Beraksi sedikit ke bawah untuk memulakan gerakan dan diberikan lesen untuk ke hadapan dan berlari ke dalam kotak penalti untuk menyerang.

“Saya gemar melakukan tekanan dari awal, ia akan membuatkan lawan berfikir dan ini akan membantu kami melakukan ancaman dengan rentak kami sendiri.”

Selepas ini Man Utd akan menentang Lyon di Edinburgh pada Rabu sebelum terbang ke Amerika Syarikat untuk perlawanan menentang Arsenal, Wrexham, Real Madrid dan Borussia Dortmund.

BACA:  Pengurusan Tertinggi Man Utd Terpaksa Campur Tangan Redakan Ketegangan Di Antara Ten Hag Dan Sancho