Mount Dan Chilwell Terpaksa Jalani Sesi Kuarantin Selepas Jadi Kontak Rapat Gilmour

England telah mengeluarkan kenyataan yang Mason Mount dan Ben Chilwell terpaksa dikuarantinkan selepas kedua-dua mereka menjadi kontak rapat kepada pemain Scotland, Billy Gilmour.

Pemain muda Chelsea itu telah disahkan positif C0V-19 dan telah pun dikuarantinkan pada ketika ini, dan kerana kedua-dua pemain England itu menjadi kontak rapatnya, maka mereka turut melakukan hal yang sama.

Ketiga-tiga pemain Chelsea itu dilihat berbual dan bermesra di atas padang ketika aksi terikat 0-0 yang menemukan antara England bertemu Scotland di Wembley sebelum ini.

Selepas tersebarnya berita yang mengatakan bahawa Gilmour disahkan positif C0V-19 dan akan menjalani kuarantin wajib selama 10 hari, duo England itu turut diasingkan dari rakan sepasukannya yang lain sebagai langkah pencegahan awal.

England selepas ini akan bertemu dengan Czech Republic untuk aksi perlawanan terakhir peringkat kumpulan D.

Dan sepertinya kedua-dua pemain itu mungkin akan terlepas untuk turun beraksi dalam perlawanan tersebut, kerana mereka masih dalam tempoh kuarantin.

Pihak FA England telah mengeluarkan kenyataan yang menyatakan:

“Sebagai langkah pencegahan pada ketika ini dan atas nasihat dari Public Health England (PHE), Ben Chilwell dan Mason Mount akan dikuarantinkan selepas mereka menjadi kontak rapat pemain Scotland, Billy Gilmour dalam perlawanan pada jumaat lalu.”

“Kedua-dua mereka akan diasingkan dari bersama dengan rakan sepasukan yang lain dan sementara rundingan lebih lanjut bersama pihak PHE akan diteruskan.”

“Kesemua pemain skuad England telah diuji pada petang Isnin lalu dan sekali lagi semuanya negatif, sama seperti ujian yang UEFA lakukan selepas tamat perlawanan hujung minggu lalu.”

“Kami akan terus berusaha untuk mematuhi kesemua protokol berkait peraturan Cov-19 dan melakukan ujian seperti diminta oleh UEFA, serta terus berhubung dengan pihak PHE.”

Mount sepatutnya dijadualkan akan turun dalam sesi sidang media bersama Gareth Southgate selepas ini, namun pihak FA dengan panik terus menyemak semula situasi tersebut dengan pihak UEFA dan Public Health England.

England mungkin tidak begitu cemas dengan hal ini memandangkan mereka sememangnya sudah berjaya melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

Walaupun belum turun beraksi bertemu Czech Republic, namun jumlah kutipan mata yang dikutip oleh The Three Lions ketika ini sudah cukup untuk membawa mereka ke peringkat kalah mati, walau tewas dalam aksi perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Jika England tewas, mereka akan mengakhiri saingan peringkat kumpulan di kedudukan kedua atau ketiga, bergantung kepada keputusan perlawanan antara Scotland bertemu Croatia, dan jika menang, mereka akan mara ke pusingan seterusnya sebagai Juara kumpulan.

Jika England mara ke peringkat seterusnya sebagai Juara kumpulan, lawan mereka selepas ini adalah antara Jerman, Perancis, Hungary atau Portugal.

Melihat kepada liciknya akal Gareth Southgate, beliau mungkin akan berusaha untuk mengelak mara sebagai juara kumpulan, kerana tidak mahu bertemu dengan lawan yang sukar.

Ia kerana England sebelum ini pernah ada sejarah melakukan hal yang sama ketika aksi Piala Dunia 2018, yang mana mereka sengaja tewas kepada Belgium untuk mara sebagai naib Juara.

BACA:  [Analisis] Risk & Reward Onana, Larian Mount, Pengaruh Antony Dan Transisi Menyerang