Kecederaan Harmstring Mason Mount Lebih Teruk Daripada Sangkaan Awal

Manchester United kini mengalami kerisauan bintang baharu yang didatangkan pada jendela perpindahan musim panas ini, Mason Mount mengalami kecederaan harmstring yang lebih teruk daripada jangkaan awal.

Pemeriksaan awal mendapati pemain yang didatangkan dengan nilai £55 juta dari Chelsea itu berkemungkinan terpaksa menerima rawatan dan pemulihan selama tiga minggu – selepas mengalami kecederaan dalam perlawanan menentang Tottenham.

Namun kini terdapat kebimbangan pemain itu terpaksa melupakan aksi selama enam minggu, yang bermakna Mount turut terpaksa direhatkan dalam perlawanan menentang Brighton selepas tempoh rehat antarabangsa, selain turut terlepas perlawanan pertama peringkat kumpulan Champions League.

Selain dua perlawanan tersebut, Mount turut hampir pasti terlepas perlawanan menentang Nottingham Forest pada hujung minggu ini, dan perlawanan getir berhadapan Arsenal selepas itu.

United kini sememangnya masih aktif di pasaran pemain untuk memburu seorang lagi pemain tengah. Namun perkembangan terkini ini bermakna United turut terpaksa mengekalkan Scott McTominay.

Pemain antarabangsa Scotland itu beraksi dalam perlawanan persahabatan tertutup yang berkesudahan dengan kekalahan 3-0 kepada Burnley semalam, dan turut menarik perhatian beberapa kelab Premier League lain.

Skuad kendalian Erik ten Hag memulakan kempen musim baharu Premier League dengan agak goyah namun berharap mampu berada ke prestasi terbaik mereka dalam masa terdekat.

Bernasib baik mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Wolves pada perlawanan pertama, United kemudiannya tewas 2-0 menentang Tottenham pada perlawanan berikutnya.

Walaupun pasukannya tidak menampilkan aksi seperti yang diharapkan pada awal musim ini, Ten Hag tetap positif situasi pasukan itu akan berubah selepas ini.

“Ia soal kepercayaan, dan kami percayakan pemain-pemain ini kerana musim lalu mereka mampu beraksi dengan baik dan menjaringkan gol,” kata Ten Hag.

Selepas ini United akan beraksi menentang Nottingham Forest pada Sabtu hadapan.

BACA:  Ten Hag Senaraikan Aspek Yang Buatkan Dirinya Kagum Dengan Maguire