Sangat Jelas Saya Sudah Tiada Dalam Perancangan Masa Depan Chelsea – Mount

Mason Mount mendedahkan dia sudah tahu dirinya tidak lagi berada di dalam perancangan Chelsea untuk musim hadapan sejak beberapa bulan lalu.

Situasi itu menyebabkan dirinya bertekad meninggalkan Stamford Bridge sebelum melengkapkan perpindahan ke Old Trafford dengan nilai perpindahan £55 juta + bonus pada Rabu lalu.

Pemain berusia 24 tahun itu adalah tunjang utama The Blues sejak beberapa musim lalu, namun Mount mulai bergelut dengan konsistensi sepanjang musim 2022/23.

Merupakan pemain akademi Chelsea, Mount kemudiannya mendedahkan perkara yang mendorongnya meninggalkan kelab yang disertainya sejak zaman kanak-kanak.

“Sejak beberapa bulan lalu, sangat jelas saya sudah tidak ada di dalam perancangan masa depan Chelsea,” kata Mount.

Situasi seperti itu menyebabkan Mount tawar hati dan enggan menandatangani kontrak baharu untuk kekal bersama Chelsea pada musim lalu.

“Dan sebaik sahaja saya mendapat tahu minat daripada Manchester United, saya sudah membuat keputusan itu,” sambungnya lagi.

“[Man Utd] adalah sebuah kelab besar dengan ramai pemain ikonik dan saya juga mahu menjadi sebahagian daripada itu.

“Berada di sini sejak dari mula sebelum pra musim juga adalah apa yang saya mahukan.”

Liverpool, Arsenal dan Manchester United – adalah tiga kelab awal dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat itu sejak perkhabaran pemain itu menolak kontrak Chelsea mulau tersebar pada tahun lalu.

Ketiga-tiga kelab ini turut disahkan oleh laporan The Athletic dan Fabrizio Romano telah menghubungi Chelsea untuk Mount.

Manakala laporan media luar turut mengaitkan pemain berusia 24 tahun itu dengan Bayern Munich.

Dan setelah Liverpool dan Bayern menarik diri, tinggallah Arsenal dan United yang bersaing dan menjadi pilihan untuk Mount.

Namun Man Utd kemudiannya menjadi pilihan Mount setelah berjaya diyakinkan oleh Erik ten Hag.

Kaedah Erik ten Hag meyakinkan Mount dengan menjelaskan secara terperinci bagaimana dia boleh membantu pemain itu sebagai pemain utama pasukan menjadi sebab utama mengapa dia terbuka untuk menyertai United.

“Ten Hag bercakap mengenai posisi dan peranan berbeza untuk Mount – dan juga perkara di pertandingan peringkat tertinggi. Dan kedua-duanya menemui titik persamaan dan persetujuan di antara satu sama lain,” kongsi wartawan The Athletic dan koresponden Man Utd.

Secara statistik Mason Mount adalah pemain terbaik Chelsea sejak melakukan debut untuk kelab London itu pada 2019.

Secara keseluruhan Mount telah mengasilkan 227 peluang (chances created), 27 jaringan, 22 bantuan gol daripada 129 penampilan di Premier League.

BACA:  Hojlund Adalah Haaland 'In The Making' - Neville