Eriksen Hanya Perlukan 2 Minit Untuk Jaring Gol Selepas Kembali Bersama Denmark

Cristian Eriksen membuat kepulangan penuh emosi ke pangkuan skuad kebangsaan Denmark dan telah menjaringkan satu gol hanya selepas dua minit berada di dalam padang.

Sembilan bulan lalu di kejohanan EURO 2020, Ketua pasukan Denmark itu telah mengalami serangan jantung ketika perlawanan yang hampir meragut nyawa dan hampir menamatkan karier bola sepaknya.

Denmark bertemu Belanda dalam perlawanan persahabatan sempena rehat untuk memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa dan Cristian Eriksen kembali dipanggil untuk menggalas tugas bersama negaranya.

Steven Bergwijn membuka gol perlawanan pada minit ke-16 untuk meletakkan Belanda di hadapan namun gol itu hanya bertahan empat minit sahaja.

Jannik Vestergaard kembali mengimbangi perlawanan dengan gol penyamaan. Pada minit ke-29 Nathan Ake meletakkan Belanda kembali dihadapan.

Kurang 10 minit tempoh 45 minit pertama tamat, Memphis Depay terus menjarakkan kedudukan buat Belanda dengan gol ketiga melalui sepakan penalti.

Cristian Eriksen masuk pada separuh masa kedua menggantikan Jesper Lindstrom dan kepulangan semula Eriksen disambut dengan tepukan gemuruh di Johan Cruyff Arena termasuklah dari pengurus lawan, Louis Van Gaal.

Hanya dua minit sahaja Cristian Eriksen di padang sudah memberi impak segera apabila terus mengurangkan kembali defisit kepada 3-2.

Itulah sentuhan pertama yang merupakan percubaan pertama Cristian Eriksen dalam perlawanan ini yang terus menghasilkan gol.

Tidak cukup dengan gol tersebut, Cristian Eriksen hampir menjaringkan gol kedua peribadi namun percubaannya telah terkena tiang.

Steven Bergwijn pada minit ke-71 telah menjaringkan gol keempat Belanda dengan satu jaringan bola lencong yang sangat cantik dan padu untuk memberi Belanda kemenangan 4-2.

Kekalahan Denmark dan jaringan cantik Steven Bergwijn tidak boleh menandingi detik kepulangan semula Eriksen ke pentas bola sepak antarabangsa dengan jaringan segera.

Detik ini akan menjadi satu detik antara yang terbaik musim ini.

Beberapa bulan lalu selepas membuat kepulangan semula ke Premier League bersama Brentford, Eriksen menerima standing ovation apabila membuat kemunculan pertama sejak mengalami serangan jantung di EURO 2020.

Pemain berusia 30 tahun itu diberikan sambutan yang mampu menaikkan bulu roma daripada penyokong Brentford dan juga Newcastle United yang merupakan lawan mereka pada hari itu apabila namanya disebut sebagai pemain gantian pada minit ke-52.

Para pemain Newcastle United telah memberikan penghormatan dengan bertepuk tangan apabila pemain tengah Denmark itu masuk ke padang.

Cristian Eriksen menyertai Brentford dengan perjanjian selama 6 bulan bagi membolehkan beliau mendapat tempat dalam pasukan Denmark untuk ke Piala Dunia 2022 di Qatar.

“Sasaran aku adalah untuk bermain Piala Dunia di Qatar, aku mahu bermain. Itulah yang bermain difikiran aku selama ini. Itu satu sasaran, satu impian.”

“Samada aku akan dipilih atau tidak itu perkara lain. Impian aku adalah untuk kembali. Aku pasti aku akan kembali kerana aku tidak merasakan sebarang perbezaan.”

Piala Dunia sudah pasti menjadi impian terbesar bagi pemain bola sepak dan begitu juga dengan Eriksen. Pemain negara kerdil sekalipun pasti mempunyai impian yang sama.

Apatah lagi buat Eriksen kerana Denmark telah layak ke pusingan akhir Piala Dunia.

“Secara fizikal, aku kembali kepada tahap terbaik. Itulah sasaran aku dan masih perlukan sedikit masa.”

“Sehingga waktu itu tiba, aku perlu terus bermain bola sepak dan buktikan aku telah kembali ke tahap asal.”

Di Serie A pemain yang mengalami serangan jantung dan mendapat rawatan tidak dibenarkan beraksi. Situasi ini memaksa kontrak Eriksen bersama Inter Milan dibatalkan.

Perlawanan ketiga Euro 2020 dan perlawanan pembukaan bagi kumpulan B menemukan Denmark dan Finland telah ditangguhkan selepas Cristian Eriksen secara tiba-tiba rebah ke padang dan tidak sedarkan diri.

Ketika perlawanan berlangsung melepasi minit ke-40 perlawanan, pemain perancang pasukan Denmark, Cristian Eriksen rebah di Stadium Parken.

Eriksen kemudian dengan tidak semena-mena rebah dan tidak sedarkan diri sebelum menimbulkan panik pemain-pemain lain di dalam padang yang memanggil bantuan kecemasan.

Pasukan perubatan terus bergegas masuk ke padang untuk memberikan bantuan segera dan pemain Denmark telah membuat benteng bagi menghalang rakaman diambil ketika Eriksen diberikan rawatan kecemasan.

Bantuan kecemasan pernafasan turut dilakukan oleh pegawai perubatan Denmark, dan seluruh stadium senyap sepi kerana risaukan pemain itu.

Cristian Eriksen kemudian dilaporkan telah sedar dan mampu mengangkat tangan ketika beliau dibawa keluar dari padang.

BACA:  Eriksen Dedah Situasi Membimbangkan Bilik Persalinan Man Utd