Eriksen Dedah Situasi Membimbangkan Bilik Persalinan Man Utd

Christian Eriksen berkongsi situasi semasa bilik persalinan Manchester United yang suram selepas pasukan itu tewas buat kali keenam daripada 10 perlawnan di semua pertandingan yang dilalui pada musim ini.

Terbaru Setan Merah dimalukan dengan jaringan 2-3 di hadapan penyokong mereka sendiri di saingan UEFA Champions League pada awal pagi tadi.

Dua kali mendahului dalam perlawanan tersebut, United dikecewakan oleh benteng pertahanan yang membenarkan Galatasaray bangkit menyamakan kedudukan pada setiap babak permainan, sebelum harapan untuk kembali ke landasan kemenangan dileburkan oleh Mauro Icardi pada minit ke-81 perlawanan.

Bekas penyerang Paris Sait-Germain dan Inter Milan itu gagal menyempurnakan sepakan penalti selang beberapa minit sebelum itu, tetapi menebus kekecewaan dengan memanfaatkan kesilapan Andre Onana di hadapan gol.

United turut beraksi dengan 10 pemain apabila Casemiro dilayangkan kad kuning kedua sebelum itu selepas dipersalahkan menjatuhkan Dries Mertens dalam usaha menyelamatkan keadaan hasil kesilapan Onana.

Eriksen dibawa masuk oleh Erik ten Hag pada kedudukan sedang terikat 1-1 untuk menambah kreativiti di tengah padang.

Berkongsi situasi merisaukan di dalam kem United, Eriksen ketika ditemubual TNT selepas perlawanan berkata: “Ia amat mengecewakan. Seluruh bilik persalinan senyap sunyi dan sepi.

“Saya berpendapat ketikanya kami menampilkan permainan yang baik dalam perlawanan ini. Tidak, ini [kekalahan] bukan kerana keyakinan diri.

“Ia mengenai fokus dan ketajaman selain keputusan salah pada masa yang salah. Banyak yang harus dilakukan untuk membaiki keadaan. Ia adalah mengenai butiran dalam permainan kami. Jika kami tidak melakukan kesilapan, maka kami tidak dibolosi dengan gol sedemikian.

“Mujurlah ini hanya permulaan kempen di pertandingan ini, dan kami tahu masih banyak perlawanan perlu dilalui [untuk perbetulkan keadaan].”

Kekalahan tersebut bermakna United kini menghuni kedudukan terbawah Kumpulan A selepas dua kekalahan daripada dua perlawanan. United tewas 4-3 kepada Bayern Munich dua minggu yang lalu.

Skuad kendalian Erik ten Hag kini akan kembali fokus kepada saingan domestik menentang Brentford – pasukan yang menewaskan mereka 4-0 pada musim lalu – pada Sabtu akan datang sebelum tempoh rehat antarabangsa.

Untuk menghidupkan peluang mereka di pertandingan Champions Leagye, United wajib menewaskan FC Copenhagen di Old Trafford pada 24 Oktober hadapan.

BACA:  'Flying Kiss' Varane Buat Penyokong The Hatters Lebih Terluka