Final Copa Libertadores Terpaksa Ditangguh Selepas Bas Boca Juniors Diserang

Perlawanan timbal balik final Copa Libertadores terpaksa ditangguhkan selepas bas yang membawa pemain Boca Juniors ke stadium pada hari perlawanan diserang peminat River Plate.

Serangan tersebut menyebabkan sekurang-kurangnya dua pemain Boca Juniors terpaksa dikejarkan ke hospital manakala bas pasukan Boca Juniors hampir hancur.

Polis dikerahkan untuk mengawal situasi di luar stadium

Buat pertama kali dalam sejarah, final Copa Libertadores tahun ini menemukan dua seteru tradisi, River Plate dan Boca Juniors yang bermusuhan sejak sekian lama. Ketegangan mula timbul di ibu kota Argentina, Buenos Aires apabila kedua-dua pasukan berjaya mengesahkan tempat dalam perlawanan akhir.

Perlawanan pertama final Copa Libertadores berlangsung di halaman Boca Juniors hampir dua minggu lalu dengan kedua-dua pasukan terikat 2-2. Tiada sebarang kejadian yang tidak diinginkan berlaku walaupun perlawanan terpaksa ditunda 24 jam kerana hujan lebat.

Walau bagaimanapun, perkara yang paling ditakuti peminat bola sepak akhirnya terjadi semalam. Ketika bas Boca Juniors dalam perjalanan membawa pemain ke stadium, mereka telah disambut dengan balingan botol dari peminat River Plate yang menunggu di tepi jalan.

Usaha polis untuk meredakan situasi dengan menggunakan gas pemedih mata gagal berhasil kerana perusuh melempar gas tersebut ke dalam bas selepas terdapat tingkap yang telah dipecahkan.

Gas yang memenuhi bas telah memberi kesan yang buruk kepada Carlos Tevez dan rakan-rakannya. Walau bagaimanapun, bas tersebut masih mampu sampai ke stadium dalam keadaan yang hampir hancur.

Akibat serangan tersebut, beberapa pemain dilaporkan menunjukkan tanda-tanda sakit berikutan terhidu gas pemedih mata yang dilempar peminat River Plate.

Pemain yang paling terjejas dengan serangan tersebut adalah pemain tengah Boca Juniors, Pablo Perez. Beliau terpaksa menerima rawatan perubatan selepas kaca tingkap yang pecah terkena pada matanya.

Perez dan seorang lagi pemain, Gonzalo Lamardo dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan manakala puluhan ribu peminat River Plate sudah menunggu di dalam stadium meunggu pengesahan rasmi mengenai status perlawanan.

Dua pemain yang cedera akibat serangan peminat River Plate

Pada awalnya, perlawanan terpaksa ditunda selama sejam bagi membolehkan pihak yang terlibat berbincang sama ada untuk meneruskan perlawanan atau tidak.

Persekutuan Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBAL) pada asalnya mahu final Copa Libertadores diteruskan selepas pemeriksaan yang dilakukan pegawai perubatan dari badan induk itu menunjukkan pemain Boca Juniors mampu beraksi di atas padang.

Walau bagaimanapun, Boca Juniors dan River Plate tidak berapa selesa dengan idea untuk meneruskan permainan selepas apa yang berlaku di luar stadium.

Bintang Boca Juniors, Carlos Tevez mendakwa pasukannya dan River Plate dipaksa bermain dalam perlawanan tersebut oleh CONMEBAL walaupun pemain Boca Juniors tidak bersedia untuk berada di atas padang.

“Pertama sekali, saya ingin memberitahu semua keluarga yang terlibat yang semua pemain berada dalam keadaan selamat. Kebanyakan pemain selamat, tetapi terdapat 3 atau 4 pemain yang mengalami kecederaan.”

Selepas berjam-jam menunggu, akhirnya perlawanan ditunda. Final mungkin diadakan dalam stadium tertutup hari ini

“Kami dipaksa untuk bermain dalam perlawanan ini. Saya baru sahaja melihat Pablo Perez menerima rawatan di bahagian matanya.”

Selepas hampir 3 jam menunggu, akhirnya CONMEBAL mengambil keputusan untuk menunda perlawanan tersebut sehingga hari Ahad (hari ini). Antara pilihan yang ada pada badan induk tersebut adalah meneruskan perlawanan timbal balik dalam stadium tertutup.

BACA:  Pemain Boca Juniors Ini Mendakwa Lambat Ke Tempat Latihan Kerana Diculik Makhluk Asing