Pemain Boca Juniors Bertumbuk Dengan Polis Selepas Tersingkir Dari Saingan Copa Libertadores

Lapan orang dari skuad Boca Juniors telah ditangkap malam kemarin, selepas para pemain dan staff bertumbuk dengan pihak polis ekoran tersingkirnya mereka dari saingan Copa Libertadores.

Boca Juniors mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan bertemu Atletico Mineiro di Brazil kemarin, bermakna aksi kedua-dua leg dalam pusingan 16 terbaik berkesudahan dengan seri tanpa jaringan.

Pasukan tuan rumah kemudiannya berjaya memenangi perlawanan tersebut menerusi penentuan sepakan penalti untuk layak ke peringkat seterusnya.

Wakil dari Argentina itu sedikit terganggu selepas berdepan dengan satu keputusan yang kontroversi dari VAR yang jelas tidak memihak kepada mereka.

Bukan sekali, namun dua kali berturut-turut VAR mencetuskan kontroversi dengan tidak memihak kepada Boca Juniors sebelum mereka tersingkir dari pertandingan tersebut.

Marcus Rojo antara salah seorang dari lapan individu yang ditangkap oleh pihak polis

Marah bercampur bengang dengan keputusan tersebut, ditambah kecewa kerana tersingkir dari saingan Copa Libertadores menjerumuskan skuad Boca Juniors ke arah hal yang tidak baik selepas tamat perlawanan.

Para pemain Boca Juniors berusaha untuk masuk ke bilik persalinan para pemain Mineiro dan menyebabkan mereka bertumbuk dengan pihak polis dan pengawal keselamatan.

Video pertama menunjukkan bagaimana Carlos Izquierdoz dan Marcos Rojo dengan tiba-tiba bertumbuk dengan pengawal keselamatan.

Para pemain Boca Juniors kemudiannya dirakam sedang berusaha untuk masuk ke bilik persalinan para pemain Mineiro.

Salah seorang pemain kemudiannya telah mengambil potongan pagar besi dan mencuba untuk melemparnya ke arah polis, namun beliau telah dihalang oleh rakan sepasukannya yang lain.

Keadaan di situ dilihat semakin panas dan huru hara dengan para pemain Boca Juniors jelas koyak serta hilang pertimbangan.

Bekas pemain pertahanan Manchester United, Rojo sekali lagi terlibat dengan beliau dilihat dihalang oleh rakan sepasukannya ketika beliau mahu menggunakan pemadam api untuk menghentak pihak polis ketika mereka sedang bergaduh.

Nampak kemain ganas dia bila sampai kampung halaman, dulu main dekat Premier League elok je bersopan santun dan berbudi bahasa.

Tidak lama selepas itu, para pemain Mineiro memuat naik gambar mereka yang dilihat mengalami kecederaan ke media sosial selepas berlakunya insiden buruk itu.

Menurut laporan sama, lapan pemain dan staff dari Boca Juniors telah ditangkap selepas insiden tersebut, yang mana ia termasuk pengarah pasukan.

Rombongan dari Boca Juniors menolak untuk meninggalkan kawasan tersebut selagi mana kesemua lapan dari mereka dibebaskan dari tahanan.

Laporan sama mendakwa yang kesemua mereka telah pergi ke balai polis selepas kedutaan Argentina di Belo Horizonte masuk campur untuk membantu warga negara mereka yang ditahan di situ.

Ini bukanlah kali pertama Boca Juniors terlibat dalam insiden tidak bermoral seperti ini dalam saingan Copa Libertadores dalam sejarah mereka.

Pada tahun 2018, Boca Juniors ketika bertemu pasukan seteru utama mereka, River Plate dalam aksi perlawanan akhir saingan Copa Libertadores, turut berlaku insiden yang hampir serupa.

Insiden buruk berlaku di luar stadium menjelang aksi leg kedua yang memperlihatkan bas milik Boca Juniors diserang di pintu masuk.

Hal itu menyebabkan perlawanan tersebut terpaksa dipindahkan ke Santiago Bernabeu dan dilangsungkan di gelanggang rasmi Real Madrid itu.

Marcus Rojo menjadi satu-satunya pemain yang berjaya menyempurnakan sepakan penalti untuk Boca Juniors dalam perlawanan ini sementara tiga pemain lagi, Sebastian Villa, Esteban Rolon dan Carlos Izquierdoz gagal untuk menjaringkan gol.

Atletico Mineiro pula berjaya menjaringkan tiga gol menerusi Nacho Fernandez, Junior Alonso dan Everson, sementara pengambil sepakan penalti pertama mereka, Hulk gagal untuk menjaringkan gol.

Atletico Mineiro mara ke peringkat seterusnya selepas mencatatkan kemenangan 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti untuk menyingkirkan Boca Juniors.

Kesimpulannya, kekecohan dan pergaduhan besar-besaran ini berlaku hanya kerana kesilapan/kontroversi dari VAR.

Nampak kesan dari keputusan VAR? Mujur tak ada kemalangan jiwa atau kecederaan parah yang menimpa mana-mana pemain dari kedua-dua pasukan.

Apa yang pasti, tindakan para pemain Boca Juniors sememangnya tidak boleh diterima kerana ia jelas sekali melanggar peraturan dan merupakan tauladan yang tidak patut dicontohi.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Final Copa Libertadores Terpaksa Ditangguh Selepas Bas Boca Juniors Diserang