Gol Terpantas Liga Malaysia Tercipta Dalam Perlawanan Perak Menentang Pulau Pinang

Perlawanan minggu ke-17 Liga Super Malaysia telah berlangsung malam tadi dengan sebanyak tiga perlawanan telah berlangsung. Juara bertahan Johor Darul Takzim telah berjaya menewaskan pasukan adik beradik, Melaka 1-0 hasil gol tunggal menerusi sepakan penalti Bergson da Silva menerusi sepakan penalti seawal minit kedua.

Pasukan Selangor pula dengan tenang menewaskan budak-budak universiti dua gol tanpa balas hasil jaringan Shahrul Nazeem pada minit ke-24, dan juga penyerang sensasi Ifedayo Omosuyi pada minit ke-57.

Namun, perlawanan yang paling mencuri tumpuan adalah perlawanan yang berlangsung di stadium Ipoh di mana pasukan tuan rumah bolos lima gol buat kali ketiga dalam tempoh empat perlawanan, dan kali ini kepada pasukan jiran di utara Semenanjung Malaysia, Pulau Pinang.

Separuh masa perlawanan ini berlangsung dengan cukup gila tuan-tuan, dengan enam gol dihasilkan dalam tempoh 35 minit pertama!

Paling padu, Rafael Vitor mencipta rekod Liga Malaysia apabila dia menjaringkan gol terpantas – ketika perlawanan baru memasuki saat yang kesepuluh!

Kronologi jaringan ini adalah seperti berikut.

Saat pertama – pengadil tiupkan wisel lantas pemain Pulau Pinang melakukan sepak mula.

Saat kedua – bola dihantar ke belakang.

Saat ketiga – hantaran jauh ke atas daripada Azwan Aripin

Saat keempat – Cassagrande cuba menanduk bola hantaran Azwan Aripin

Saat kelima – bola muntah ke depan Charlie Machell, sambil nama pengulas, Shaukei Kahar, baru dipamerkan di skrin

Saat keenam – Machell dan Endrick Dos Santos mengejar bola

Saat ketujuh – Machell tertampan bola ke arah penjaga gol, Hafizul Hakim

Saat kelapan – bola ditampan Hafizul Hakim dan jatuh ke depan Rafael Vitor

Saat kesembilan – Vitor menarik kaki ke belakang untuk menghayun satu sepakan

Saat kesepuluh – Bola menerjah jaring Perak

Saat kesebelas sehingga kelima belas – Vitor berlari ke penjuru padang

Saat keenam belas – Vitor melompat dan melakukan slide di atas padang yang kering

Saat ketujuh belas – kedengaran suara orang gelak, tak pasti daripada siapa.

Nasib baik penyokong tidak dibenarkan menonton perlawanan di stadium. Kalau dibenarkan, pasti ramai yang tak sempat tengok gol tersebut sebab baru nak cari tempat duduk.

Pada minit kelapan, gol Perak bolos lagi selepas sepakan percuma daripada Endrick ditanduk oleh Cassagrande ke arah Hafizul Hakim. Tandukan tersebut ternyata sangat padu sehinggakan penjaga gol Perak tersebut gagal menangkap kemas bola, lalu muntah di hadapan Vitor.

Vitor tanpa membuang masa terus merembat padu dari jarak dekat untuk gol kedua Pulau Pinang.

Pada minit ke-16, Radiudin Rudin menolak bola kepada Zulkifli Zakaria yang kemudiannya membuat satu penetrating pass yang cantik dan berjaya dikejar oleh Nana Poku di dalam kotak penalti Pulau Pinang, sebelum pemain import dari Ghana ini melakukan rembatan menewaskan penjaga gol Sam Sommervile yang cuba menghalang.

Pada minit ke-20, Azwan Aripin menghatar bola lintang kepada Endrick yang berada di dalam kotak penalti Perak. Endrick kemudiannya menggelecek Machell lalu melakukan hantaran melambung ke depan pintu gol Perak, lantas ditanduk padu oleh Cassagrande, menewaskan Hafizul Hakim yang sedikit tergelincir ketika cuba mencabar bola.

Tujuh minit kemudian, sepakan sudut lencong daripada Endrick telah ditanduk oleh Cassagrande namun tandukan lemah akibat tersalah timing ketika melompat tersebut menyebabkan bola melantun ke arah Machell.

Ternyata perlawanan semalam boleh dikatakan sebagai mimpi ngeri buat pemain import dari England yang pernah bermain bersama Newcastle United ini. Tandukan lemah Cassagrande tersebut hanya mampu ditolak lemah oleh Machell, dan bola muntah ke hadapan Vitor.

Tanpa membuang masa, Vitor lantas melakukan rembatan deras, sekali lagi menewaskan Hafizul Hakim sekaligus mencipta hatrik pertama daripada pemain pertahanan tengah ini.

Pada minit ke-34, bola yang dihantar ke depan gol Pulau Pinang dicabar oleh Nana Poku, namun tidak semena-mena Somerville melonjak ke depan dan mengkasari pemain import Perak tersebut, meskipun Ryuji Utomo sudahpun dapat mengawal keadaan.

Pengadil tidak teragak-agak untuk menganugerahkan sepakan penalti kepada pasukan The Boss Gaurus yang kemudiannya disempurkan oleh Nana Poku sendiri, yang merembat kencang ke sebelah kanan Somerville meskipun penjaga gol Pulau Pinang tersebut dapat membaca arah tendangan tersebut.

Keputusan dua gol berbalas empat ini kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada minit ke-56, Perak sekali lagi dianugerahkan sepakan penalti selepas Firdaus Saiyadi dijatuhkan oleh Azwan Aripin. Sekali lagi Nana Poku berjaya menyempurnakan sepakan penalti ini dengan Somerville tertipu arah tendangan tersebut, sekaligus memberikan hatrik buat pemain import Perak ini.

Perak terus mengatur gerak untuk mencari gol penyamaan dalam perlawanan ini, namun gol yang dicari tidak kunjung tiba.

Pada minit ke-87, menerusi satu gerakan di sebelah kanan, Quentin Cheng melakukan hantaran persis Dani Alves di zaman kemuncaknya, ke dalam kotak penalti Perak. Hantaran cantik ini kemudiannya disambut oleh Azim Rahim, yang melakukan looping header, melemaskan dan menewaskan Hafizul Hakim yang berada sedikit di depan.

Gol ini juga mengesahkan kemenangan pasukan Pulau Mutiara tersebut, sekaligus melonjakkan pasukan yang kini digelar sebagai Panther ini ke tangga ketiga liga dengan 28 mata, di belakang Johor dan Terengganu yang masing-masing telah berjaya mengutip 42 dan 31 mata setakat  ini.

Perak pula terjerumus ke tangga kedua terakhir dengan 13 mata daripada 17 perlawanan, dengan UiTM FC masih konsisten di tangga terbawah liga dengan dua mata daripada 16 perlawanan.

BACA:  Mehmet Bangga Dengan Semangat Juang Anak Buah Ketika Tumpaskan Terengganu