Haaland Anggap Nilai €175 Juta Terlalu Mahal Untuk Seorang Manusia

Penyerang Borussia Dortmund, Erling Haaland sangat berharap yang berita bahawa Chelsea sudah menyediakan dana bernilai €175 juta untuk mendapatkan beliau hanyalah rumours semata-mata.

Haaland mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana beliau percaya nilai tersebut sebenarnya sangat mahal untuk seorang manusia.

Bintang handalan Norway itu tidak diragukan lagi merupakan salah seorang penyerang terhebat dalam dunia bola sepak masa kini.

Aksi hebat beliau telah menyebabkan begitu banyak kelab gergasi dunia berebut untuk mendapatkan khidmatnya.

Bahkan banyak kelab yang sanggup mengeluarkan dana bernilai £150 juta hanya untuk mendapatkan tandatangan dari pemain muda Borussia Dortmund itu.

Juara saingan Champions League musim lalu, Chelsea antara pasukan yang paling berminat untuk mendapatkan Haaland dan bersedia untuk membayar berapa saja tanda harga yang diletakkan oleh Dortmund.

Walau bagaimanapun, Haaland ketika ini sedang bersama dengan skuad Borussia Dortmund dalam aksi pra musim dan beliau sama sekali tidak mahu memikirkan soal masa depannya buat masa ini.

Bahkan, Haaland turut bercakap dengan media baru-baru ini dengan mendedahkan yang beliau sebenarnya sudah lama tidak berhubung dengan ejennya, Mino Raiola.

Haaland turut memberikan pandangan jujurnya tentang nilai yang ditawarkan oleh Chelsea untuk mendapatkan khidmat beliau.

“Sebelum semalam, saya sudah sebulan tidak bercakap dengan ejen saya.”

Jelas Haaland di padang latihan Borussia Dortmund.

“Jadi kamu dah dapat jawapan dia. Saya harap semua ini hanya khabar angin, kerana ia melibatkan duit yang terlalu banyak untuk seorang manusia.”

“Apa yang paling penting sekali, saya masih ada baki tiga tahun dalam kontrak saya.”

“Saya menikmati masa saya di sini. Tapi sudah tentu Piala juga penting kerana itu memang keutamaan saya.”

Bekas penyerang utama Red Bull Salzburg itu berjaya menjaringkan 41 gol dalam semua pertandingan untuk Dortmund musim lalu, termasuk 27 gol dalam saingan Bundesliga.

Beliau turut memenangi anugerah Bundesliga Player Of The Season pada musim lalu, dan turut membantu Borussia Dortmund memenangi gelaran DFB Pokal.

Haaland meledak dua gol ketika aksi perlawanan akhir saingan DFB Pokal musim lalu bertemu RB Leipzig, seterusnya membantu BVB mengakhiri musim lalu dengan satu Piala.

Borussia Dortmund pada musim hadapan akan diuruskan oleh Marco Rose dan Haaland jelas berasa teruja untuk memulakan saingan musim baharu nanti.

“Bagi saya, saya perlu berkembang lebih banyak lagi. Saya perlu dapatkan ruang lebih banyak di atas padang dan kami perlu menjadi pasukan yang lebih stabil.”

“Kami perlu menang lebih banyak perlawanan dan menjadi lebih baik bersama sebagai satu pasukan. Saya percaya dengan Marco Rose.”

Chelsea sememangnya sangat berminat untuk mendapatkan Haaland dengan pengurus mereka, Thomas Tuchel sangat ingin bekerjasama dengan bintang Norway itu.

Selain Chelsea, Manchester City juga merupakan satu lagi pasukan yang sangat berminat untuk mendapatkan khidmat Haaland, namun skuad kendalian Pep Guardiola itu ketika ini lebih menumpukan perhatian mereka untuk menandatangani Harry Kane.

Real Madrid dan Barcelona juga antara pasukan yang senantiasa bersedia untuk mendapatkan Erling Haaland, namun masalah ekonomi kedua-dua kelab sepertinya menjadi penghalang.

Kerana kesemua kelab itu sepertinya tidak mungkin untuk mendapatkan Haaland, maka Chelsea jelas pasukan yang mampu dan berpotensi untuk menandatangani bintang Borussia Dortmund itu.

Thomas Tuchel sudah mempunyai rancangan untuk Haaland di Stamford Bridge

Selepas kehilangan Sancho yang dilepaskan ke United, Dortmund sepertinya tidak mungkin akan kehilangan seorang lagi pemain utama mereka pada musim panas ini.

Namun begitu, selagi jendela perpindahan tidak ditutup, segalanya mungkin boleh berlaku dan tiada yang mustahil untuk berlaku.

Sumber: SB

BACA:  Jurgen Klopp Jelaskan Kenapa Haaland Sangat Cocok Dengan City