Klausa Perlepasan Dalam Kontrak Haaland Bersama City Didedahkan

Klausa perlepasan dalam kontrak Erling Haaland bersama Manchester City telah didedahkan dan ia dilaporkan dua kali ganda dari nilai beliau ke Etihad.

Mesin pencetak gol berkualiti tinggi itu telah menandatangani kontrak selama lima tahun bersama Juara bertahan saingan Premier League itu.

Berita tentang perpindahan beliau telah disahkan pada awal minggu ini dengan Haaland akan sah menjadi pemain Man City bermula pada musim panas nanti.

Manchester City berjaya melengkapkan urusan perpindahan itu dengan yuran bernilai £51 juta dan jumlah keseluruhan yang perlu dibayar oleh The Citizens adalah sekitar £85 juta.

Pemain yang berjaya menjaringkan 85 gol dari 88 penampilan bersama Borussia Dortmund itu dilaporkan menerima gaji bernilai £375,000 seminggu.

Beliau bakal menjadi penerima gaji tertinggi kelab sebaik tiba di Etihad nanti dan gaji beliau sebenarnya setanding dengan gaji yang diterima oleh Kevin De Bruyne.

Walau bagaimanapun, menurut sumber laporan dari media Jerman, BILD, Haaland sebenarnya boleh meninggalkan Manchester City pada 2024 nanti andai klausa perlepasan dalam kontraknya diaktifkan.

Nilai klausa dalam kontrak terbaru Haaland bersama Manchester City adalah bernilai £128 juta dan ia dua kali ganda dari apa yang City bayar untuk dapatkan khidmatnya.

Boleh dikatakan sepanjang karier Haaland, beliau senantiasa mahu ada klausa perlepasan terkandung dalam kontraknya.

Bersama Red Bull Salzburg, beliau mempunyai klausa perlepasan bernilai £17 juta dalam kontraknya dengan Borussia Dortmund sangat beruntung kerana mendapatkan beliau dengan harga bawah pasaran kerana mengaktifkan klausa tersebut.

Hal yang sama berlaku ketika kariernya bersama Borussia Dortmund dengan Haaland turut mempunyai klausa perlepasan dalam kontraknya yang telah diaktifkan oleh Manchester City.

Manchester United dan Real Madrid merupakan dua pasukan yang turut mencuba nasib mahu mengaktifkan klausa tersebut, namun Man City yang akhirnya berjaya menamatkan rundingan.

Haaland dilaporkan sudah menjalani medical di Brussels dengan legenda Manchester City, Vincent Kompany yang membantu kelab dalam melancarkan urusan tersebut.

Stuart Brennan dari The Manchester Evening News melaporkan yang Haaland sebenarnya memilih City berbanding gergasi Eropah lain adalah berdasarkan ’emosi’ dan bukan kerana duit.

Beliau boleh mendapatkan tawaran gaji yang lebih lumayan berbanding apa yang beliau terima di Etihad namun Haaland tetap mahu memilih menyertai Man City.

Beliau sebenarnya memiliki hubungan istimewa dengan Manchester City terutama kerana sejarah ayahnya pernah beraksi bersama The Citizens dan masih kekal menjadi penyokong setia gergasi Premier League itu.

Haaland juga dilaporkan sememangnya tak mahu melepaskan peluang dapat bekerjasama dengan Pep Guardiola dan beliau mahu lihat bagaimana pengurus dari Sepanyol itu mampu mengembangkan bakatnya lagi.

Tanpa pemain penyerang utama, Pep Guardiola mampu membina skuad mantap yang memiliki rekod jaringan terbanyak dalam saingan Premier League musim ini.

Bayangkan saja bagaimana hebat dan bahayanya skuad Man City musim hadapan, ketika adanya Erling Haaland di bahagian jentera serangan mereka.

Dengan kualiti penyudah yang beliau miliki, jelas sekali Haaland akan mampu membina gandingan yang sungguh luar biasa mantap bersama Kevin De Bruyne, Bernardo Silva, Phil Foden, Raheem Sterling, Riyad Mahrez, IIkay Gundogan dan jentera serangan City yang lain.

Jelas sekali ramai peminat yang sudah tidak sabar mahu melihat bagaimana hasilnya gandingan Haaland dan skuad City yang sudah sedia ada hebat itu.

Kehadiran beliau jelas sekali menaikkan lagi semangat kem Man City untuk memburu Piala idaman mereka, Champions League pada musim hadapan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  UCL 2022/23: Gol Kungfu Haaland Sempurnakan Kebangkitan City