Hanya Kerana Bermain Untuk Kelab Russia, Pemain Poland Tidak Dibenarkan ke Piala Dunia

Seorang pemain Poland, Maciej Rybus, berkemungkinan besar tidak akan dibawa bersama pasukan kebangsaan negaranya ke Piala Dunia Qatar 2022, hanya kerana dia membuat keputusan untuk kekal di Russia tatkala negara tersebut melakukan operasi ketenteraan ke atas negara jiran, Ukraine.

Pada awal tahun ini, Poland merupakan antara beberapa negara terawal yang memberikan tekanan kepada FIFA, kerana pada waktu itu mereka dijadualkan untuk bertemu Russia dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia.

Selepas tekanan demi tekanan daripada penjilat barat, akhirnya FIFA mengambil tindakan menggantung Russia daripada sebarang pertandingan di bawah kendaliannya, sekaligus menutup peluang negara tersebut untuk beraksi di Qatar pada bulan November ke Disember 2022 nanti.

Poland yang diberikan kemenangan percuma, telah bertemu Sweden dalam perlawanan akhir pusingan kelayakan akan tetapi pemain yang pernah menyumbang, Rybus, tidak akan dipilih untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan kerana mengambil keputusan untuk kekal bermain bersama kelab Russia.

Kontrak pemain yang bermain di posisi bek kiri ini bersama Lokomotiv Moscow telah tamat pada hujung musim lalu, dan berbanding meninggalkan negara bekas Soviet itu, Rybus mengambil keputusan untuk menandatangani kontrak bersama pasukan di bandaraya yang sama, Spartak Moscow.

Tindakannya tersebut menyebabkan dia digugurkan daripada pasukan kebangsaan dan pengurus, Czeslaw Michniewicz telah membuangnya daripada pasukan ke Qatar nanti.

“Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Poland, Czeslaw Michniewicz, telah bercakap kepada Maciej Rybus, yang kini berada di Poland selepas latihan pusat pasukan kebangsaan berakhir pada minggu lalu,” kenyataan rasmi daripada FA Poland berbunyi.

“Ketua jurulatih telah memaklumkan bahawa, oleh kerana situasi di kelab semasanya, dia tidak akan dipanggil untuk menyertai latihan pusat pada bulan September bersama pasukan kebangsaan dan tidak akan diambil kira dalam pasukan yang akan pergi ke Piala Dunia di Qatar ketika pasukan disiapkan nanti.”

Pemain berusia 32 tahun itu telah melakukan 66 penampilan buat pasukan kebangsaan tetapi jumlah tersebut tidak akan bertambah dalam masa terdekat ini dan Poland mungkin akan merindui pengalaman dan aksi pemain ini dalam kempen piala teragung di dunia itu nanti.

Mereka bakal berdepan pasukan Argentina, Mexico dan Arab Saudi dalam saingan kumpulan C dan berpeluang untuk bertemu penyandang juara, Perancis pada pusingan kedua nanti.

Pun begitu, jika mereka berjaya layak ke pusingan kalah mati, itu merupakan kejayaan pertama kali sejak tahun 1986 dan sejak tahun tersebut, Poland hanya mampu layak ke pusingan akhir Piala Dunia sebanyak tiga kali sahaja.

Menurut laporan Gol24 dari Poland, keputusan Rybus adalah sesuatu yang sukar untuk dipilih memandangkan isteri dan dua anaknya merupakan warganegara Russia. Malah dia sendiri juga mempunyai passport Russia.

Lagi pula, tindakannya untuk kekal di Russia adalah satu tindakan yang logik kerana demi menjaga keselamatan keluarganya di negara tersebut dan jika dia menyertai kelab lain, sukar untuknya memberikan perlindungan sepenuhnya buat darah dagingnya sendiri.

Walaubagaimanapun, bekas rakan sepasukan kebangsaan Rybus, Grzegorz Krychowiak dan Sebastian Szymanski masih lagi kekal dalam pasukan kebangsaan Poland, walaupun kedua-dua pemain tersebut mewakili pasukan dari negara Russia.

Akan tetapi, situasi mereka berbeza dengan Rybus.

Krychowiak, bekas pemain pinjaman di West Bromwich Albion di Liga Inggeris, pernah bermain untuk Krasnodar tetapi mengambil kesempatan di atas keputusan penggantungan FIFA ke atas Russia dengan menyertai kelab Greece, AEK Athens, pada bulan Mac lalu.

Szymanski pula masih belum meninggalkan Dynamo Moscow secara rasminya tetapi dia dikatakan sedang dalam proses untuk keluar daripada kelab tersebut. Pemain berusia 23 tahun ini dikatakan sedang berada dalam radar pasukan Liga Perdana Inggeris, Brentford, untuk menggantikan Christian Eriksen yang telah tamat kontrak enam bulannya bersama pasukan tersebut.

Eriksen kini sedang dalam perbincangan dengan beberapa kelab untuk kembali beraksi di pentas tertinggi dan bekas kelabnya, Tottenham Hotspur, dikatakan destinasi pilihannya walaupun dia turut dihubungi oleh Manchester United.

Tiada komen Rybus dalam ditemukan di dalam carian di internet, tetapi dia boleh dianggap sebagai mangsa pertelagahan antara pihak hipokrit di atas dunia ini.

Sumber : SB

BACA:  Kelayakan Piala Dunia: England 2-1 Poland