Poland Tewas Kepada Pasukan Ranking Ke-171 Dunia Selepas Tumpaskan Jerman

Moldova berada di ranking yang lebih rendah berbanding Malaysia tetapi berjaya bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk menewaskan Poland 3-2 dalam aksi perlawanan pusingan kelayakan Euro 2024 pada awal pagi tadi.

Sebagai perbandingan, Moldova kini menduduki rangking ke-171 dunia. Malaysia pula yang cemerlang menewaskan Papua New Guinea 10-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada malam tadi berada di kedudukan ke-138 dunia.

Malah Papua New Guinea yang dibelasah Malaysia sebenarnya memiliki ranking yang lebih baik berbanding Moldova kerana menduduki ranking ke-159 dunia di dalam senarai FIFA.

Poland pula berada di kedudukan ke-23 dunia dan dianggap sebagai antara pasukan terbaik di Eropah kerana memiliki beberapa pemain ternama seperti Robert Lewandowski dan Arkadiusz Milik – masing-masing beraksi bersama Barcelona dan Juventus.

Kemenangan bersejarah tersebut bermakna Moldova berjaya merekodkan kemenangan kedua mereka di pusingan kelayakan sejak 2013.

Poland sebelum ini cemerlang mengejutkan Jerman 1-0 pada Jumaat lalu.

Dalam perlawanan pada awal pagi tadi, Arkadiusz Milik memberikan pendahuluan kepada skuad kendalian Fernando Santos pada minit ke-12 perlawanan sebelum mebantu Lewandowski menjaringkan gol ke-79 di peringkat antarabangsa untuk kedudukan selesa 2-0 pada minit ke-34.

Kemudian Ion Nicolaescu yang beraksi bersama kelab bawahan Israel, Beitar Jerusalem menjaringkan dua gol untuk mengikat kedudukan.

Dua jaringan tersebut membenarkan pemain berusia 24 tahun dengan 34 kaps itu kini mengumpul 12 gol sepanjang karier antarabangsanya bersama Moldova untuk rekod penjaring terbanyak baharu negaranya.

Rekod sebelum ini dipegang oleh Serghei Clescenco yang menghasilkan 11 gol – kini pengurus skuad kebangsaan Moldova.

Berjaya mengikat pasukan seperti Poland sudah dianggap satu kejayaan besar buat pasukan seperti Moldova. Apatah lagi sekiranya Moldova berjaya menewaskan Poland.

Dan impian mereka itu menjadi realiti pada minit akhir perlawanan apabila tandukan Vladyslav Baboglo yang melakukan penampilan kedua bersama negaranya membolosi gawang Poland.

Baboglo yang melakukan penampilan antarabangsa pertamanya pada minggu lalu sebelum itu hanya dimasukkan sebagai pemain gantian 23 saat sebelum jaringan tersebut terhasil apabila dibawa masuk menggantikan Nicolaescu.

Untuk rekod Moldova yang turut berada di bawah Myanmar, St Lucia dan Vanutu hanya pernah menang sekali daripada 43 perlawanan kelayakan Euro dan Piala Dunia – menewaskan Andorra 1-0 pada 2019.

Kejayaan pada awal pagi tadi juga bermaksud kini Moldova melonjak ke kedudukan ketiga Kumpulan E dan memintas Poland.

BACA:  Kelayakan Piala Dunia: England 2-1 Poland