Harry Maguire Dedah Bapanya Antara Mangsa Yang Dipijak Ketika Rusuhan di Wembley

Bintang pertahanan England mendedahkan bapanya merupakan antara mereka yang tidak bernasib baik selepas terperangkap dalam insiden rusuhan penyokong England ketika perlawanan akhir Euro 2020 di Stadium Wembley.

Kekalahan pasukan Tiga Singa tersebut dibayangi oleh aksi memalukan para penyokong yang dikatakan tertinggal otak di rumah, di mana ribuan daripada mereka yang tidak mempunyai tiket telah merempuh masuk ke dalam stadium sebelum sepak mula.

Banyak video telah dikongsi di laman media sosial menunjukkan sikap tidak bertamadun para penyokong England, di mana ada daripada mereka yang bertindak membelasah dan memukul sesama mereka dan juga penyokong Itali.

Berkata kepada The Sun, Maguire berkata bapanya turut terlibat dan menjadi mangsa dalam kekecohan tersebut.

“Ha’ah, aku rasa dia ada kena pijak sikit. Aku rasa dia ada cedera juga. Rasanya tulang rusuk dia,” ujar Maguire.

“Tapi, macam aku cakap, memang menakutkan. Aku ada sembang dengan dia dan dia cakap dia takut sangat.

“Macam aku cakap juga, aku taknak sesiapa pun melalui pengalaman yang macam ni semasa menonton bola, terutamanya dalam perlawanan akhir.

“Aku dah tengok banyk kali video ni dan dah bercakap dengan ayah aku pasal ni, dan keluarga.

“Aku rasa yang paling banyak kena adalah ayah aku dan ejen aku. Memang gerun sungguh dan kecewa juga pada masa yang sama.

“Aku harap kita boleh tengok balik dan pastikan benda ni dah tak jadi dah.”

Dalam pada itu, FA England akan berdepan hukuman disebabkan oleh kekecohan ini dan pada masa yang sama mereka juga mungkin didenda UEFA di atas insiden yang lain termasuk pencerobohan ke atas padang oleh seorang penonton, selain para penyokong mereka yang mencemuh lagu kebangsaan pasukan Itali.

Organisasi bola sepak Eropah itu telah mengeluarkan kenyataan rasmi tentang perkara ini;

“Siasatan tatatertib telah dibuka ekoran kejadian dalam perlawanan akhir UEFA EURO 2020 antara pasukan kebangsaan Itali dan England (1-1, Itali menang 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti. kikikikiki) dimainkan pada 11 Julai 2021 di Stadium Wembley, London.

“Pertuduhan ke atas Persatuan Bola Sepak England:

  • Pencerobohan ke padang oleh penyokong mereka –  Artikel 16(2)(A) daripada Peraturan Tatatertib UEFA
  • Membaling objek daripada penyokong mereka – Artikel 16(2)(B) daripada Peraturan Tatatertib UEFA
  • Gangguan yang ditimbulkan oleh penyokong ketika lagu kebangsaan dimainkan – Artikel 16(2)(G) daripada Peraturan Tatatertib UEFA
  • Pembakaran bunga api oleh penyokong –  Artikel 16(2)(C) daripada Peraturan Tatatertib UEFA

“Kes ini akan diuruskan oleh Badan Kawalan, Etika dan Tatatertib UEFA (CEDB) secepat mungkin.

“Pada masa yang sama, bersabitan dengan Artikel 31(4) daripada Peraturan Tatatertib UEFA, seorang penyiasat Etika dan Tatatertib UEFA telah dilantik untuk menjalankan siasatan tatatertib dalam insiden yang melibatkan penyokong yang berlaku di dalam dan sekitar stadium.

“Maklumat tentang perkara ini akan diumumkan kepada awam dengan kadar segera.”

Selain mencetuskan kekalutan tak tentu pasal di stadium, sesetengah penyokong England turut menjadikan pemain sebagai mangsa salahlaku perkauman ekoran kekalahan kepada Itali tersebut.

Dalam penentuan sepakan penalti, tiga pemain – Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bukayo Saka, gagal menyempurnakan sepakan penalti masing-masing.

Mereka kemudiannya menerima cacian dan makian berbaur perkauman di laman sosial masing-masing. Bukan setakat di laman sosial sahaja, lukisan mural Rashford di Manchester turut dirosakkan dan diletakkan carutan perkauman oleh ‘penyokong’ pasukan.

Gara-gara komen perkauman ini, seorang lelaku juga telah digantung daripada bekerja oleh syarikatnya, Savills – sebuah syarikat ejen hartanah, selepas lelaki tersebut menciap kata-kata berbaur perkauman.

Seperti biasa, selepas kantoi, lelaki tersebut mengatakan dia sebenarnya kena godam.

Rujukan : Mirror

BACA:  Pengulas Ini Dengan Kejam Memanggil Maguire Si Kepala Besar