Kad oren sepertimana yang digunakan di dalam sukan ragbi bakal digunakan selepas International Football Association Board (IFAB) bersetuju untuk menguji peraturan ‘sin bin’ di dalam bola sepak.
Langkah tersebut mendapat sokongan ketika mesyuarat IFAB yang diadakan di London dan ia bertujuan untuk menambahbaik kelakuan pemain di atas padang terutama terhadap pengadil.
Buat masa ini peraturan sin bins yang digunakan untuk mengawal perbuatan berbalah dengan pengadil dan kesalahan taktikal akan diuji di pertandingan utama selepas kejayaan pelaksanaannya di pertandingan peringkat pembangunan dan akar umbi.
Setakat ini Sin bins dianggap cara paling berkesan untuk mengelak pemain daripada menyerang pengadil di pertandingan peringkat remaja. Peraturan sama turut boleh digunakan untuk kesalahan taktikal.
IFAB keen to introduce sin bins for professional football after grassroots trial https://t.co/48zvKrE4tt
— Indy Football (@IndyFootball) November 28, 2023
Menurut Telegraph keberkesanan peraturan itu seperti yang diamalkan di sukan ragbi akan membenarkan pengadil melayangkan kad oren untuk kesalahan yang lebih teruk daripada sekadar layangan kad kuning (sebagai tanda amaran), namun tidak sampai ke tahap untuk dilayangkan kad merah.
Antara contoh kesalahan yang membenarkan pengadil menggunakan peraturan tersebut adalah seperti ketika pemain pertahanan Itali Girgio Chiellini menarik baju pemain England Bukayo Saka di perlawanan akhir Euro 2020 – yang hanya diakhiri dengan layangan kad kuning pada ketika itu.
Layangan kad oren diterima pemain bermakna pemain tersebut harus keluar daripada padang permainan selama 10 minit seperti yang diamalkan di dalam ragbi.
IFAB dilaporkan sudah mencapai persetujuan agar peraturan tersebut diuji di pertandingan elit seperti Premier League seawal musim hadapan.
The International Football Association Board (IFAB) has approved proposed trials whereby only the team captain may approach the referee and for sin bins to be tested at a higher level 🚨
— Sky Sports News (@SkySportsNews) November 28, 2023
Menurut rekod pada musim ini tiga pemain iaitu Nicolas Jackson (Chelsea), Lucas Paqueta (West Ham), dan Sean Longstaff (Newcastle) telah dilayangkan kad kuning kerana bertengkar dengan pengadil.
Ketiga-tiga pemain berpotensi dikenakan tindakan menggunakan peraturan sin bins sekiranya peraturan tersebut digunakan pada musim ini.
Dalam perkembangan berkaitan IFAB turut mencadangkan hanya kapten pasukan dibenarkan untuk berinteraksi dengan pengadil dalam situasi tertentu.
Mesyuarat IFAB turut menyentuh kaedah dan strategi mengelakkan perbuatan membuang masa ketika perlawanan dan mempercepatkan proses membuat keputusan oleh VAR.
Teknologi pengesan semi-auto untuk mengesan offside akan terus digunakan untuk membantu pegawai perlawanan di padang untuk membuat keputusan pantas.