IFAB Kemaskini Peraturan Ofsaid

Badan penggubal undang-undang bola sepak dunia, IFAB, telah mengemaskini peraturan ofsaid buat kesekian kalinya selepas banyak kali insiden gol kontroversi terjadi dan memberikan kelebihan kepada penyerang yang berada dalam kedudukan ofsaid.

Antara insiden yang berprofil tinggi adalah seperti gol kemenganan hasil jaringan Kylian Mbappe, dalam perlawanan akhir Liga Negara-Negara UEFA antara Perancis menentang Sepanyol.

Dalam penghasilan gol tersebut, Mbappe jelas sekali berada dalam kedudukan ofsaid bila mana Theo Hernandez melakukan satu hantaran leret ke arah boss besar Paris Saint Germain tersebut.

Akan tetapi, pertahanan Sepanyol, Eric Garcia telah membuatkan Mbappe berada dalam keadaan onsaid apabila dia bertindak menyentuh bola ketika cuba menyekat hantaran tersebut.

Pengadil, Anthony Taylor, mengiktiraf gol tersebut kerana Garcia dikatakan telah dengan sengaja cuba memainkan bola dan keputusan ini telah disokong oleh VAR.

Ketua pegawai pengadil UEFA, Roberto Rosetti, yang turut menjadi lembaga pengarah IFAB, meminta peraturan tersebut dikemaskini kerana ia bertentangan dengan semangat sukan ini jika penyerang yang berada di kedudukan ofsaid dibenarkan untuk mendapat kelebihan.

Walaupun IFAB sendiri telah menegaskan bahawa peraturan ini tidak beubah, mereka telah mengeluarkan satu garis panduan untuk frasa – deliberate play, atau dalam Bahasa Malaysia disebut sengaja memainkan.

Ini bermaksud, hanya tindakan yang terkawal seperti hantaran tidak sempurna, akan set semula fasa ofsaid.

Garis panduan bagi ‘deliberate play’ adalah seperti berikut.

  • Bola datang dari jarak yang jauh dan pemain dapat melihat bola dengan jelas
  • Bola tidak bergerak dengan laju
  • Hala tuju bola yang tidak dijangka
  • Pemain mempunyai masa untuk mengubah atau mengawal pegerakan badan, tetapi ini tidak termasuk pergerakan atau lompatan spontan, atau pergerakan yang mempunyai sentuhan yang terhad.
  • Bola bergerak di atas tanah adalah lebih mudah untuk dimainkan berbanding bola di udara

Oleh sebab itu, dengan pengenalan garis panduan yang baru ini, maka gol Kylian Mbappe tidak akan dikira di bawah peraturan ofsaid yang dikemaskini. Ini adalah kerana pergerakan Garcia dikategorikan sebagai pergerakan spontan.

Hasil kemas kini peraturan ini juga dijangka akan dipanjangkan dan diteruskan tanpa sebarang perubahan dalam kempen Piala Dunia 2022 di Qatar nanti. Lagi pula, FIFA bakal menggunakan teknologi terbaharu – ofsaid semi automatik.

Teknologi ini dijangka bakal memudahkan kerja pegawai perlawanan yang menjaga video dan juga yang berada di tengah padang untuk membuat keputusan yang lebih cepat, tepat, padat, sendat dan boleh diharapkan di dalam kejohanan yang terbesar di dunia ini.

Sistem ofsaid semi automatik ini telah pun diuji sepenuhnya dalam kejohanan Piala Arab FIFA 2021, dan juga dalam Piala Dunia Kelab FIFA pada tahun. Menerusi teknologi canggih ini, pegawai yang menjaga VAR akan menerima notifikasi amaran ofsaid dan akan disemak secara manual sebelum menghubungi pengadil di tengah padang.

Canggih, bukan?

Selain itu, komunikasi bersama penyokong di dalam stadium juga akan dinaik tarafkan dengan paparan 3 dimensi (3D) di skrin besar serta di kaca televisyen bagi penonton di rumah dan kedai mamak, menunjukkan bagaimana keputusan ofsaid itu dicapai.

Bagaimanakah Sistem Ini Berfungsi?

Teknologi terbaru ini menggunakan 12 kamera pengesanan (tracking cameras) yang khas, diikat di bawah bumbung stadium untuk mengesan bola dan juga sehingga 29 titik data daripada setiap pemain sebanyak 50 kali dalam masa sesaat, dan melakukan kiraan tentang kedudukan yang tepat di atas padang.

Faham tak?

Kalau tak faham, macam ni cerita dia.

Setiap pemain ini ada titik data. Titik data yang ada sebanyak 29 titik ini adalah seperti kedudukan tangan dan kaki, badan dan juga bahagian-bahagian yang boleh membawa kepada ofsaid. Setiap data ini pula diambil sebanyak 50 kali dalam masa sesaat.

Ini bermaksud, kalau seseorang pemain tu korek hidung pun, data pergerakan tangan dia akan dapat direkod oleh kamera yang mempunyai resolusi yang tinggi gila ni.

Faham dah kan?

Tambahan kepada sistem ini adalah bola yang akan digunakan di dalam perlawanan di Piala Dunia itu sendiri.

Bola Adidas Al Rihla fi Shaati’il Bahri ma’a Asdiqo’ie ini akan memberikan maklumat dan elemen tambahan untuk mengesan insiden ofsaid yang sangat sipi-sipi dengan sensor unit pengesanan inertia (inertial measurement unit [IMU]) akan diletakkan di dalam bola.

Sensor ini, diletakkan di tengah-tengah bola akan menghantar data kepada pengadil yang menjada video di bilik operasi sebanyak 500 kali setiap saat, sekaligus bakal memberikan detik yang paling tepat tentang persoalan bilakah bola disepak.

Dengan menggabungkan alat pengesnan data pergerakan tangan dan bola yang dipadankan dengan kecerdikan tiruan atau disebut artificial intelligence, teknologi baru ini akan memberikan notifikasi amaran ofsaid kepada pengadil video di bilik operasi video apabila setiap kali bola diterima oleh para pemain yang melakukan serangan yang berada di kedudukan ofsaid pada saat bola dihantar oleh rakan sepasukan.

Pengadil di bilik video kemudiannya akan menerima detik yang menunjukkan bola disepak dan juga garisan ofsaid yang dijana secara automatik. Selepas data ini disemak secara manual, pengadil video akan menyampaikannya kepada pengadil di atas padang.

Pada masa yang sama, selepas data ofsaid ini disahkan oleh pengadil video, data yang sama ini akan menghasilkan animasi 3D yang menunjukkan posisi tangan dan kaki pemain pada ketika bola dimainkan.

Animasi 3D ini akan dipaparkan di skrin besar di stadium dan kaca televisyen di rumah, sekaligus memberikan gambaran yang lebih jelas kepada penyokong dan menutup ruang kepada kritikan dan kecaman.

Nampak macam lama, kan?

Tapi sebenarnya proses ini hanya mengambil masa selama beberapa saat sahaja dan ini bermaksud keputusan ofsaid dapat dibuat dengan lebih cepat dan tepat.

Pengenalan teknologi ini mendapat pujian dan sokongan daripada pengadil legenda, Perluigi Collina.

VAR memang sudah pun memberikan impak positif kepada bola sepak dan kita boleh tengok banyak kesilapan besar telah berjaya dikurangkan,” ujarnya yang juga merupakan pengerusi jawatankuasa pengadil FIFA.

“Kita jangkakan bahawa sistem ofsaid semi automatik ini akan membawa kita terus melangkah dengan lebih jauh. Kita maklum bahawa kadang-kala proses untuk mengesahkan kedudukan ofsaid ni mengambil masa yang lama terutamanya kalau kedudukan ofsaid tu sangat sipi-sipi.

“Maka di sinilah teknologi ofsaid semi auto ini akan digunakan – untuk menawarkan keputusan yang lebih cepat dan tepat.

“Pengujian ini telah pun mencapai kejayaan yang besar dan kami yakin di Qatar, kita akan mendapat sokongan yang sangat berharga untuk membantu pengadil dan pembantu pengadil mendapatkan keputusan terbaik dan paling tepat di atas padang.

“Saya tahu ada orang yang panggil benda ni sebagai ofsaid robot – bukan gitu pun sebenarnya. Pengadil dan pembantu pengadil masih lagi merupakan pembuat keputusan tentang apa yang berlaku di atas padang.”

Berita : ESPN

BACA:  Mbappe Dianggap Pemain Paling Tamak Kerana Menolak Untuk Menghantar Bola Kepada Messi