Iker Casillas Dikejarkan Ke Hospital Berikutan Serangan Jantung Ketika Menjalani Latihan

Penjaga gol Porto, Iker Casillas terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami serangan jantung ketika menjalani sesi latihan bersama kelabnya semalam.

Penjaga gol berusia 37 tahun itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil buat masa sekarang tetapi masih lagi berada dalam pengawasan doktor.

Casillas dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan. Mujurlah

Ikon Real Madrid itu melenyapkan segala kerisauan terhadap keadaan kesihatannya apabila memuat naik satu status di Twitter rasmi beliau.

“Segalanya dalam keadaan terkawal di sini, memang menakutkan tetapi masih lagi baik. Terima kasih atas segala ucapan.”

Casillas dianggap antara penjaga gol terbaik yang pernah dilahirkan Real Madrid dan Sepanyol dan memiliki puluhan trofi sepanjang kariernya.

Casillas melakukan 725 penampilan untuk Los Blancos sepanjang 16 tahun beliau bersama kelab tersebut, dimana beliau berjaya memenangi 3 trofi Liga Juara-Juara Eropah dan 5 kejuaraan La Liga.

Dianggap kapten pasukan kebangsaan paling berjaya di era moden

Beliau juga merupakan sebahagian daripada skuad Sepanyol yang menguasai arena antarabangsa bermula dari 2008 sehingga 2012. Sepanjang 4 tahun tersebut, Sepanyol berjaya menjuarai 2 kejohanan Eropah disamping Piala Dunia 2010.

Porto turut mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai situasi kesihatan Casillas ketika ini dimana penjaga gol tersebut mengalami serangan ‘acute myocardial infarction’.

Sesi latihan juga terpaksa diberhentikan serta merta bagi memberi bantuan kecemasan kepada Casillas yang kini dirawat di Hospital CUF Porto. Porto turut mengeluarkan kenyataan mengesahkan keadaan Casillas yang kini sudah stabil dan masalah jantungnya juga telah berjaya diselesaikan.

Kelab lama Casillas, Real Madrid turut mengeluarkan kenyataan mengucapkan sokongan mereka terhadap proses penyembuhan Casillas dari serangan jantung tersebut.

BACA:  Iker Casillas Anggap Anugerah Bola Sepak Sebenarnya Suka Susahkan Benda Yang Mudah