Jamie Redknapp Anggap Yang Kritik Pemain Liverpool Itu Sebenarnya Sampah

Jamie Redknapp anggap mereka yang kritik pemain Liverpool sebenarnya sampah dan tak faham apa-apa tentang peranan pemain dalam dunia bola sepak.

Thiago sebelum menyertai Liverpool, beliau baru sahaja membantu Bayern Munich menjuarai saingan Champions League dan melengkapkan gelaran treble.

Musim pertama beliau dalam saingan premier league pada musim lalu tidak begitu baik dengan pemain kebangsaan Sepanyol itu sering dibelenggu masalah kecederaan.

Beliau sering dikritik dan dianggap ‘flop of the season’ kerana gagal untuk mendapatkan rentak persembahan terbaiknya.

Minggu ini, bekas pemain Barcelona itu telah membuktikan bagaimana bagusnya beliau dengan mempamerkan aksi dominan ketika kemenangan 3-0 The Reds menewaskan Leeds United.

Selain kecederaan ngeri yang menimpa Harvey Elliott, aksi persembahan Thiago Alcantara antara detik terbaik yang berlaku sepanjang perlawanan tersebut.

Selepas tamat perlawanan tersebut, penyampai Sky Sports dan bekas midfield Liverpool, Redknapp mendakwa yang sesiapa saja mengkritik aksi pemain berusia 30 tahun itu, mereka sebenarnya tak faham peranan pemain.

“Saya ada dengar ramai orang yang bercakap tentang Thiago. Ketika Liverpool mengharungi musim yang hambar, orang dengan mudah akan salahkan dia dan kata, ‘dia perlahankan permainan dan tak boleh urus intensiti perlawanan.’ sebenarnya tu semua sampah.”

“Thiago Alcantara merupakan salah seorang pemain yang mempunyai teknik terbaik yang pernah kamu lihat dalam dunia bola sepak dan tidak kira tekanan apa yang kamu letakkan ke atas dia, dia tak pernah cemas.”

“Dia sangat tenang dengan bola. Ada beberapa kali (bertemu Leeds United) yang mana dia berada di kedudukan yang tepat untuk membantu barisan pertahanan.”

“Dia sangat menakjubkan untuk ditonton dan sejak tahun lalu lagi saya dengar orang-orang yang tak faham dengan peranan midfield. Bagaimana mahu menyimpan bola, apa perlu buat, macam mana mahu berada di kedudukan yang betul. Bagaimana untuk tunjukkan kualiti, bagaimana untuk buka peluang pada pemain lain.”

“Ini semua kerana mereka mahu cari kambing hitam. Jadi orang pilih untuk salahkan dia. Dia sangat hebat dan kerana itulah Jurgen Klopp turunkan dia hari ini.”

“Sangat mudah untuk menurunkan Naby Keita atau Jordan Henderson dan cuba mengalahkan skuad Leeds. Tapi dia sedar dia perlukan otak. Dia perlukan seseorang yang boleh tunjukkan ketenangan, yakin dengan bola dan bermain untuk kelab. Dan itu semua adalah apa yang dia lakukan.”

Gary Neville turut memberi pujian kepada Thiago, dengan beliau membandingkan pemain Liverpool itu dengan dua legenda Manchester United.

“Thiago mengingatkan saya kepada cara Paul Scholes bermain di Anfield. Tentunya akan berlaku situasi panik dalam perlawanan dan dengan tiba-tiba ada seorang lelaki kecil di tengah padang yang akan dapatkan bola dan dia akan tenangkan semula keadaan.”

“Michael Carrick juga lakukan hal yang sama dan Thiago juga lakukan hal itu hari ini. Ia merupakan contoh mengapa beliau ditandatangani dan untuk apa dia dibeli.”

“Ketika suasana tertekan dan terdesak, kamu cuma perlu kawal bola, dan membuat hantaran untuk buka semula permainan, itulah apa yang dia lakukan.”

Liverpool berjaya menewaskan Leeds United dengan keputusan 3-0 selepas Mo Salah, Fabinho dan Sadio Mane mencatat nama sebagai penjaring gol.

The Reds kini berada di kedudukan ketiga dalam carta liga, dengan mengumpul 10 mata bersama Chelsea dan Manchester United.

Walau tidak berbelanja besar pada jendela perpindahan musim panas ini, Liverpool dilihat sedang berada di landasan terbaik untuk mencabar kejuaraan liga musim ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Redknapp: Van Dijk Bakal Bawa Liverpool Ke Tahap Lebih Tinggi