Harvey Elliott Mengalami Kecederaan Ngeri Ketika Aksi Bertemu Leeds

Harvey Elliott mengalami kecederaan ngeri ketika aksi bertemu Leeds United dalam saingan Premier League, di Elland Road malam semalam.

Beliau terpaksa di usung keluar dengan perlawanan turut terhenti selama hampir lima ke lapan minit selepas melihat keadaan kakinya yang sangat mengerikan.

Bintang meningkat naik yang kini berusia 18 tahun itu telah dikasari oleh Pascal Struijk pada aksi babak kedua permainan, dengan kakinya dilihat berpusing dari kedudukan asal.

Apa yang lebih menyedihkan lagi, Elliot sebenarnya memang mahu dikeluarkan untuk digantikan oleh ketua pasukan, Jordan Henderson dan insiden ngeri itu berlaku sekitar 1 ke 2 minit sahaja sebelum beliau dikeluarkan.

Struijk telah dilayangkan kad merah atas terjahan tersebut dan beliau dilihat langsung tidak membantah keputusan pengadil, sebaliknya lebih memberi tumpuan pada keadaan Elliot.

Insiden tersebut berlaku betul-betul di hadapan Mohamed Salah yang pada ketika itu segera memanggil petugas kesihatan untuk masuk ke padang.

Melihat kepada reaksi Salah, keadaan Elliot sangat teruk dengan siaran langsung semalam tidak menyiarkan ulang tayang insiden tersebut.

Sebelum bola berhenti dimainkan petugas kesihatan sudah masuk dan kesemua pemain kemudiannya berkumpul di tepi padang untuk memastikan Elliot dalam keadaan baik-baik sahaja.

Klopp dan para pemain Liverpool kemudiannya meminta pengadil melihat ulang tayang insiden dan menghukum Struijk atas terjahan yang boleh membunuh karier Elliot itu.

Pengadil perlawanan kemudiannya melayangkan kad merah, dengan Raphinha dan pemain Leeds yang lain cuba membantah keputusan pengadil perlawanan.

Struijk walau bagaimanapun, sama sekali tidak membantah keputusan pengadil dan beliau redho sahaja dihukum sambil menunjukkan rasa simpati ke atas Harvey Elliott.

Beliau dilihat begitu menyesal dengan apa yang berlaku dan kerap menghampiri Elliot untuk melihat keadaannya.

Elliott turun beraksi dalam kebanyakkan perlawanan awal Liverpool pada musim ini selepas beliau mengharungi karier yang menakjubkan bersama Blackburn Rovers musim lalu sebagai pemain pinjaman.

Perlawanan ini merupakan aksi ketiga berturut-turut beliau berada dalam kesebelasan utama Jurgen Klopp, selepas beraksi dalam aksi kemenangan bertemu Burnley dan seri bertemu Chelsea bulan lalu.

Liverpool berjaya menewaskan Leeds United 3-0 selepas Mo Salah, Fabinho dan Sadio Mane muncul sebagai penjaring gol.

Salah terlebih dahulu membuka tirai jaringan selepas menyempurnakan bola hantaran dari Trent Alexander Arnold, seterusnya merekodkan gol ke-100 beliau dalam saingan Premier League.

Hanya empat pemain dalam sejarah yang mampu mencatatkan rekod tersebut dalam tempoh yang begitu pantas.

Liverpool kemudiannya berjaya menggandakan kedudukan pada aksi babak pertama menerusi Thiago Alcantara, namun gol tersebut dibatalkan kerana beliau dalam kedudukan offside.

Hasil sepakan penjuru, Liverpool berjaya juga menggandakan kedudukan kali ini menerusi Fabinho.

Mane beberapa kali memperoleh peluang untuk menjaringkan gol namun beliau kerap mensia-siakan peluang yang ada.

Beliau akhirnya berjaya juga menjaringkan gol, seterusnya melengkapkan kemenangan 3-0 Liverpool menewaskan Leeds United.

Kemenangan ini membawa Liverpool naik ke kedudukan ketiga liga, berkongsi mata bersama Manchester United dan Chelsea.

Sementara itu, skuad kendalian Marcelo Bielsa pula kini berada di kedudukan ke-17 dengan mereka masih belum merekodkan sebarang kemenangan.

Jurgen Klopp tentunya kecewa dengan situasi ini kerana Elliot baru sahaja menjadi pemain terpenting dalam sistem kendalian beliau.

Semoga kecederaan yang menimpa Elliot tidak merencatkan kariernya dengan beliau walau baru berusia 18 tahun sudah beraksi dengan sangat cemerlang.

‘Get well soon Harvey Elliott!’

Sumber: SPORTbible

BACA:  Foster Terkejut Dan Kagum Dengan Soalan Yang Ditanya Oleh Salah